Karnival Sukan Belia Islam Nasional



Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Tawan Gunung Dato' Buat Kali Kedua Dalam 2009



Rembau 7 November 2009 - Puncak Gunung Dato’ sekali lagi menjadi saksi dalam misi ahli-ahli dan sahabat Pembina PEMBINA Daerah Hulu Langat menawan Gunung Dato’ yang mempunyai ketinggian setinggi 2900 kaki.

Ekspidisi bermula pada jam 10:30 pagi waktu tempatan dan disertai oleh 9 orang pendaki termasuk Ketua PEMBINA cawangan Hulu Langat, Sdr Aizuddin bin Khalid serta seorang pendaki cilik berumur 11 tahun. Semua peserta berkumpul di kediaman ahli Pembina di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan ke Rembau pada pukul 9:30 pagi. Perjalanan ke Rembau memakan masa selama 45 minit dan cuaca pada hari tersebut seakan berpihak kepada peserta walaupun di dalam cuaca yang tidak menentu dek musim hujan yang sedang membadai seluruh Malaya.



Saudara Abdul Shakur selaku Ketua Ekspidisi untuk misi kali ini telah memberikan beberapa taklimat perjalanan dan keselamatan sebelum diteruskan pula oleh acara warming up oleh seorang wakil peserta daripada UNITEN. Dengan berbekalkan azam, doa dan tawakkal serta sedikit bekalan makanan dan minuman, peserta ekspidisi melangkah gagah meredah hutan belantara untuk menawan puncak Gunung Dato’ ini.

Perjalanan ke puncak diselang-seli dengan Ice Breaking di kalangan peserta. Aktiviti ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk melepaskan lelah dan mengatur kembali nafas setelah bertungkus-lumus meredah trek yang merupakan antara yang tercabar di Malaysia. Setelah 1 jam setengah mendaki dengan penuh kesabaran, para peserta tampak begitu kaget dan terpesona melihat saujana pemandangan yang begitu mengasyikkan. Penat dan lelah seolah-olah terbayar dengan kecantikan yang lama menanti para peserta selama ini.



Peserta mula turun kembali ke kaki gunung setelah melihat awan Columbus yang begitu hitam yang hanya menunggu masa untuk mencurahkan rahmat dari Allah s.w.t. Beberapa keping gambar kenangan sempat diambil untuk ditunjukkan kepada warga Hulu Langat nanti. Dalam perjalanan turun juga, peserta sempat mengalaskan perut dengan beberapa keping roti yang berintikan sardin. Peserta begitu menginsafi akan nikmat sekeping roti yang dikunyah dek kepayahan mendapatkan hidangan yang lazat di tengah hutan belantara tersebut.

Perjalanan untuk turun juga memakan masa selama 1 jam setengah dan peserta terus bergegas memasuki kenderaan masing-masing kerana titisan air hujan mula menyambut kepulangan para pejuang yang baru berjaya melaksanakan misi mereka dengan jayanya. Alhamdulillah, perjalanan naik dan turun selama 3 jam dilindungi oleh Allah dari bahaya dan hujan.

Peserta kembali ke pekan Rembau untuk solat Zohor dan Asar secara jama’ dan qasar di Masjid Rembau dan menyantap makanan tengah hari bersama di sebuah gerai di medan selera Rembau. Sedikit perkongsian dan santapan rohani diberikan setelah peserta menjamah makanan masing-masing. Antara input penting yang diberikan oleh AJK Kreks iaitu Sdr Abdul Hakim adalah mengenai kekitaan (ukhuwwah) diantara sesama Islam. Antara pengajaran lain yang dikongsi bersama adalah sikap bersungguh-sungguh yang perlu ada dalam diri setiap muslim dalam menempuhi cabaran-cabaran di dalam hidup.

PEMBINA DHL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Diharap pada masa akan datang, aktiviti-aktiviti sebegini akan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengisi masa-masa para belia dengan aktiviti yang mampu membina jatidiri sebagai seorang muslim.

Abdul Shakur bin Zamani
AJK Program
PEMBINA DHL








Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Menyambut Lawatan PEMBINA Pulau Pinang Dengan Pengisian Fikri & Jasmani



B.B.Bangi, Sabtu, 14 Nov – Kehadiran PEMBINA Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi dalam satu program jaulah anjuran mereka telah disambut dengan baik & meriah oleh PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL). Di samping menyambut tetamu secara tradisi dengan berta’ruf dan menyampaikan sedikit pengisian & perkongsian pengalaman, PEMBINA DHL turut menghidangkan aktiviti riadah sebagai santapan jasmani buat tetamunya kali ini.

Pertemuan kedua cawangan PEMBINA ini bermula dari petang hingga ke malam. Pada sebelah petang, PEMBINA DHL telah menganjurkan program riadah khas untuk menyambut tetamu-tetamu dari Penang ini. Para beliawanis telah berkumpul di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi untuk beriadah bersama dalam acara-acara sukaneka. Manakala para belia telah disegarkan dengan permainan Futsal 5 sebelah. Permainan Futsal persahabatan ini disusun untuk mempertemukan pasukan Penang menentang tuan rumah dari DHL. Permainan telah dihangatkan dengan pelbagai aksi serta penguasaan permainan yang silih ganti antara pasukan DHL & Penang. Alhamdulillah, PEMBINA P. Pinang telah berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti riadah yang telah dipersembahkan oleh PEMBINA DHL.

Pada sebelah malam pula, PEMBINA P. Pinang telah berpeluang untuk mendengar pengisian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk menyambut tetamu dari utara. Beliau, dalam ucapannya, telah menekankan kepentingan melakukan tugas-tugas memperbaiki & membimbing masyarakat, sebagaimana telah diterangkan dalam satu hadis Rasulullah S.A.W., yang mengibaratkan institusi masyarakat seperti sebuah bahtera yang berlayar. Dr. Kamil, yang merujuk penulisan Muhammad Qutb, turut memberi gambaran-gambaran realiti semasa akibat mengabaikan tanggungjawab sosial dalam memimpin masyarakat berlandaskan agama Islam. Akhir sekali, beliau telah menyeru para hadirin untuk berganding bahu agar bersama memikul bebanan dakwah ini yang tak mungkin mampu dilaksanakan secara berseorangan.

Majlis pada malam tersebut juga telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan PEMBINA DHL, Aizuddin Khalid, yang juga turut meluahkan ikatan perasaanya dengan negeri Pulau Pinang kerana sejarahnya bersekolah di sana serta peranan ayahanda mertuanya yang masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Penang.

Diharap pertemuan yang singkat ini telah cukup untuk menyemai kemanisan iman, pertukaran pengalaman, serta melebarkan rangkaian ukhuwwah dikalangan ahli PEMBINA.





Media PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Tarbiyyah Melahirkan Practitioner


21 Nov 2009 - “Tarbiyyah bukan semata-mata untuk melahirkan ilmuan, tapi untuk melahirkan practitioner Islam”. Begitulah ujar Saudara Aizuddin Khalid, Ketua PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat dalam satu sesi menutup daurah melibatkan mahasiswa KUIS di Bandar Baru Bangi. Beliau merujuk kepada mahasiswa KUIS yang bersemangat melalui pendidikan berteraskan Islam. Beliau juga mengajak para belia khususnya, belia KUIS, untuk bersama-sama menyumbang kepada Islam mengikut kelebihan & kemampuan masing-masing.

Aizuddin yang turut mengambil kesempatan memperkenalkan PEMBINA menerangkan bahawa kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan PEMBINA bertujuan memupuk satu kefahaman atau paradigma kepada para belia mengenai keluasan & praktikaliti Islam dalam segala pengertiannya terutama pada era moden. Beliau juga mengatakan bahawa zaman belia adalah waktu terbaik membangunkan jiwa & potensi diri kerana sifat-sifat istimewa belia yang mampu mendokong ideologi yang diimani. Beliau mengungkap penulisan Hasan Al-Banna yang menggariskan sifat-sifat istimewa belia iaitu:
1. Hati yang cerdik ﺍﻟﻘﻠﺐﺍﻟﺬﻛﻰ
2. Sanubari yang jernih ﺍﻟﻔﻮﺍﺩﺍﻟﺘﻘﻰ
3. Perasaan yang mekar ﺍﻟﺸﻌﻮﺭﺍﻟﻘﻮﻱ
4. Keazaman pemuda ﺍﻟﻌﺰﻣ ﺍﻟﻔﺘﻰ

Para siswa KUIS yang baru sahaja dibentangkan “Tarbiyyah Islam & Madrasah Hasan Al-Banna” menunjukkan keterujaan mereka untuk bersama-sama menjalani aktiviti-aktiviti tarbiyyah serta bersama PEMBINA berdakwah kepada masyarakat khususnya para belia. Semoga PEMBINA akan maju dan berterusan dalam melahirkan generasi Islamik yang dinanti-nantikan masyarakat.



Media PEMBINA DHL



Baca Selanjutnya...

Duduklah Bersama Mereka

Saudaraku,

Kebersamaan kita di jalan ini adalah kerana wujudnya kasih sayang dan cinta Allah dalam hati-hati kita. Mahal dan istimewanya kebersamaan kita pernah dituturkan oleh Saidina Umar Al-Khattab radhiyallahu anhu dalam kata-katanya: “Tidak ada nikmat Allah yang lebih baik bagi seseorang setelah ia masuk Islam melainkan nikmat memiliki saudara yang soleh.” Sahabat Rasulullah yang terkenal ketegasannya dalam membela kebenaran itu kemudian menyambung, “Jika di antara kalian ada yang merasa senang dengan saudaranya yang lain, hendaklah ia pegang saudaranya itu dengan kuat.” Kerana itu saudaraku, janganlah kita berjauhan daripada orang-orang soleh dan kuatkanlah tekad untuk tetap teguh bersama-sama di jalan ini.

Saudaraku,

Rakan-rakan yang soleh sangat kita perlukan dalam kehidupan kita seharian yang penuh dengan cabaran. Tika hati dibasahi ketaatan kepada Allah, rakan yang soleh akan mendorong kita membuat ketaatan yang lebih banyak lagi. Tika hati dalam keadaan lalai dan leka, rakan yang soleh akan menyedarkan kita daripada kelalaian tersebut. Tika hati terluka dengan dosa, rakan yang soleh akan membantu mengubati dan membuatkan kita pulih kembali.

Duduklah bersama orang-orang soleh. Membaca ayat-ayat Allah, merenungi petunjuk Rasulullah atau hanya sekadar bertatap muka. Itulah kebiasaan para salafussoleh dahulu. Mereka gemar ber-mujalasah atau duduk-duduk bersama orang soleh yang mampu mententeramkan hati. Ahmad bin Abi Al Hawari Ad Damsyiqi, salah seorang tokoh generasi Tabi’in, biasa duduk-duduk dan berdekatan bersama orang-orang soleh saat dia merasakan kekesatan hati. “jika engkau merasakan kekesatan dalam hatimu, maka duduklah dengan orang-orang yang berzikir dan orang-orang zuhud.” Begitu katanya.

Kunjungilah rumah orang-orang soleh sepertimana yang dilakukan oleh Maimun Bin Mahran yang pergi bertemu guru generasi Tabi’in, Hasan Al Basri rahimahullah. Maimun mengetuk pintu rumah Hasan Al Basri dan mengatakan, “Wahai Abu Said(panggilan Hasan Al Basri), aku mulai merasakan kekasaran dalam hatiku. Bantulah aku untuk melembutkannya kembali.”

Saudaraku,

Hakikatnya, memang ada orang-orang yang memiliki kekuatan ruhani seperti itu. Ada orang-orang yang mampu memberikan kesejukan dalam diri kita. Mereka adalah orang-orang yang selama ini ada dan berjalan bersama-sama kita di sini, di jalan menyebarkan dan mengajak kepada kebaikan, jalan yang telah ditempuh oleh para Nabi dan Rasul. Meskipun mereka tidak sebaik generasi para sahabat, para tabi’in dan salafussoleh, namun pancaran wajah mereka mampu membuat hati kita luluh. Meski mereka tidak setingkat dengan kualiti para sahabat, tabi’in dan salafussoleh, namun kata-kata mereka mampu membuat hati kita menjadi lembut.

Di manakah kita boleh berjumpa dengan orang-orang sebegitu? “Hati mampu merasakan apa yang tidak terlihat di mata,” itu kata Ibnu Taimiyyah rahimahullah. Hati yang akan memandu kita untuk mencari orang-orang soleh yang kita perlukan. Menurut Ibnu Taimiyyah lagi, orang-orang yang beriman seharusnya tidak sukar untuk dikenal. Kerana katanya, “Seseorang itu tidak mungkin mampu merahsiakan sesuatu dalam dirinya, kerana Allah akan menampakkan rahsia itu pada lembaran wajahnya dan tutur kata lisannya.”

Saudaraku,

Pertajamkan mata hati kita. Jangan kotori dengan noda-noda dosa yang membuatnya menjadi hitam. Hati orang beriman selalunya memiliki firasat untuk menilai sesuatu. Firasat keimanan namanya. Ia akan membantu kita untuk menemukan kebenaran. Seterusnya, menyendirilah bersama Allah. Jejaklah kaki di lantai masjid dan mengadulah pada Allah. Bermunajatlah kepada Allah bila saja engkau mahu kerana tiada perantara mahupun penghalang antara dirimu dengan Allah. Rasakanlah kebenaran yang disampaikan oleh Muslim Bin Yasar rahimahullah, “Tidak ada kenikmatan yang melebihi kenikmatan dalam bermunajat kepada Allah.”

Marilah kita sujud di hadapanNya, saudaraku. Syukurilah segala kebaikan, kemurahan, kasih dan sayang Allah kepada kita. Berterima kasihlah atas segala kurnia dan kesempatan, nikmat hidup, cinta dan kelembutanNya.

Saudaraku,

Jangan sia-siakan setiap kesempatan, ruang dan peluang yang kita ada untuk beramal soleh kerana setiap kali fajar pagi merekah, maka hari akan menyeru manusia, “Wahai anak adam, aku adalah hari baru. Amal-amalmu disaksikan pada hari ini. Manfaatkanlah aku kerana aku tidak akan kembali lagi hingga hari kiamat.”

Disunting daripada buku: BERJUANG DI DUNIA BERHARAP PERTEMUAN DI SYURGA SIRI 2, Muhammad Nursani, Januari 2008.
Baca Selanjutnya...

Manis Yang Membunuh



Ketika wabak H1N1 melanda, seluruh dunia panik dan takut. Orang awam ketakutan dan mengambil langkah berjaga-jaga. Virus H1N1 seolah-olah menjadi satu racun yang tersebar ke seluruh dunia, dan semua orang sibuk memperkatakannya.

Kenapa?
Kerana ia mudah menjangkiti manusia. Hanya perlu menghirup titisan air hembusan daripada orang yang dijangkiti, maka kita adalah terdedah kepada jangkitan H1N1.
Malangnya, kita terlepas pandang tentang penyakit yang merebak hampir ke seluruh dunia, malahan ia cukup dikenali ramai.

Mengapa ia tidak ditakuti sepertimana H1N1?
Kerana ia tidak merebak secara berjangkit. Lebih malang lagi, akibat sikap tidak berjaga-jaga, pengidap penyakit ini menunjukkan peningkatan dari segi bilangan pengidapnya. Kajian menunjukkan 48% daripada mereka yang berumur 30 tahun ke atas, tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini. Penyakit yang bahaya ini adalah kencing manis atau Diabetes Mellitus.

Apakah maksud kencing manis?
Kencing manis terjadi apabila badan tidak mampu mengawal paras gula (glukosa) dalam darah. Kesannya, paras gula dalam darah menjadi tinggi dan menyebabkan banyak komplikasi terhadap tubuh badan.


Apa faktor-faktor yang menyebabkan badan tidak dapat mengawal gula dalam darah?
Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan badan gagal untuk mengawal paras gula dalam darah. Antaranya ialah obeisiti, gaya hidup yang tidak aktif, mengambil makanan yang mempunyai kandungan kalori, gula atau lemak yang tinggi, mengandung dan keturunan. Pengambilan makanan yang mempunyai paras gula yang tinggi dalam tempoh yang panjang juga, dikatakan boleh menjadi antara faktor penyebab kepada terjadinya penyakit kencing manis.

Apakah simtom atau tanda-tanda paras gula tinggi dalam darah?
Tanda-tanda penyakit kecing manis ialah kerap bangun di waktu malam untuk kencing, cepat dan selalu berasa haus, cepat lapar, cepat letih dan hilang berat badan.


Komplikasi kencing manis
Gula yang terlalu tinggi dalam darah akan menyebabkan banyak komplikasi yang melibatkan banyak organ dalam tubuh. Salur darah terdapat di mana-mana dan paras gula yang tinggi dalam darah akan menyebabkan kerosakan pada salur darah seterusnya menyebabkan kerosakan pada organ.

Kencing manis yang tidak dikawal akan menyebabkan kerosakan pada organ-organ penting terutamanya mata (boleh menyebabkan buta), buah pinggang serta urat saraf. Kaki dan tangan akan menjadi kebas dan luka-luka pada tubuh badan sukar untuk pulih. Luka-luka yang tidak pulih ini akan merebak dan menyebabkan bahagian yang mati itu terpaksa dipotong.

Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi menyebabkan pesakit terpaksa menjalani dialisis untuk membersihkan racun dalam tubuh badan. Meskipun, ia membersihkan racun dalam badan, teknologi tersebut tentunya tidak dapat menapis sebagus buah pinggang ciptaan Allah swt.

Selain itu, pesakit kencing manis mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat penyakit jantung yang boleh menyebabkan jantung rosak atau kematian secara tiba-tiba.

Pencegahan
Perlu diingat, bahawa kencing manis adalah penyakit yang tidak boleh dipulihkan (irreversible). Ia hanya boleh dikawal agar tidak menjadi teruk. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting. Kandungan gula yang diambil dalam pemakanan seharian perlu dikawal. Cuba kurangkan tabiat memakan makanan manis serta amalkan gaya hidup yang sihat.

Pastikan anda menjalani riadhah setiap minggu, dan masa perlu diluangkan untuk bersukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap satu sesi. Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti umur melebihi 30 tahun, keturunan, obeisiti, simtom-simtom kencing manis, sila dapatkan nasihat di klinik-klinik berhampiran. Mungkin anda boleh menjalankan ujian saringan sekirangan anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kencing manis.

Isu-isu pengajaran
Sepanjang pengalaman saya menjadi pelajar perubatan, saya seringkali melihat pesakit yang mengidap kencing manis. Bilangan mereka sangat ramai. Ada di antaranya terpaksa dipotong kaki. Ada yang kehilangan penglihatan. Ada yang terpaksa menjalani dialisis pada umur yang muda. Hati saya benar-benar sayu melihat keadaan pesakit yang terpaksa berhadapan semua ini sedangkan ianya boleh dicegah sekirannya langkah awal diambil.

Ini mendorong saya menulis artikel tentang kencing manis dengan harapan ia memberi kesedaran kepada pembaca betapa pentingnya pencegahan penyakit ini sebelum ia terjadi.

Komplikasi penyakit ini adalah dahsyat sehingga boleh menyebabkan kecacatan kekal pada tubuh (eg: buta, potong kaki, rosak buah pinggang)

Unsur yang paling penting dalam kesedaran ini ialah masyarakat menyedari ia BOLEH DICEGAH dan dikawal daripada melarat.
Mudah-mudahan sumbangan yang kecil ini boleh membantu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat.

Bayangkan, anda terpaksa mengharungi hari tua dengan keadaan kaki yang telah dipotong, hanya kerana tidak mengambil langkah-langkah pencegahan awal. Mahukah ianya terjadi? Renung-renungkan dan selamat beramal!


Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM


Baca Selanjutnya...