Delegasi Pembina MMU Melaka ke DHL perluas jaringan ahli PEMBINA



Bangi, 29 mei 2009
- Buat julung-julung kalinya PEMBINA cawangan Daerah Hulu Langat (PEMBINA-DHL) telah menerima kunjungan dari PEMBINA-MMU Melaka dalam rangka program jawlah mereka sempena cuti semester. Jawlah merupakan satu kosa kata arab yang bermaksud ‘kembara’. PEMBINA-DHL dipilih sebagi ‘pit stop’ kerana lokasinya yang strategik yang berdekatan dengan Putrajaya dan MMU Cyberjaya.

Majlis bermula dengan sesi ta’aruf (pengenalan diri) antara tuan rumah dan tetamu. Antara ahli PEMBINA-DHL yang sempat hadir dalam majlis ini ialah Sdr. Abdul Shakur Bin Muhamad Zamani (JK Program), Sdr. Abdul Hakim B Adzman (JK Kesenian, Rekreasi dan Kesukanan), Sdr. Afizhi b Atan (Media PEMBINA Pusat) dan Sdr. Luqman (wakil PEMBINA MMU Cyberjaya).

Para tetamu kemudiannya diberikan sedikit pengenalan oleh Sdr. Abdul Shakur tentang keadaan semasa serta aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh PEMBINA-DHL.

Sebelum bersurai, penganjur telah menjemput Ustaz Annuar Salleh yang juga merupakan Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Daerah Hulu Langat (ISMA-DHL) untuk membekalkan sedikit penajam minda kepada para hadirin. Antara perkongsian yang disampaikan oleh beliau ialah tentang peri pentingnya belia terlibat dalam persatuan yang dapat membimbing diri mereka kepada kebaikan. Realitinya, sesebuah persatuan atau organisasi tidak memerlukan tenaga kita, tetapi kitalah yang perlu mencari dan mendapatkannya dalam menjamin masa depan yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana.

Ustaz Annuar juga turut sama berkongsi pengalamannya ketika sama-sama berjawlah sewaktu usia remaja dahulu. “Ust dulu tahan lori jer untuk nak sampai ke tempat yang nak ust pergi”, tambah beliau sambil berseloroh.

Jawlah ini merupakan satu inisiatif PEMBINA MMU Melaka untuk memperkenalkan wakil PEMBINA MMU Cyberjaya kepada peserta yang akan berpindah ke MMU Cyberjaya pada tahun hadapan.

Kedatangan peserta ke Bandar Baru Bangi ini digunakan juga untuk melawat Pejabat Aman Palestin (AP) yang terletak di Seksyen 3. AP merupakan sebuah badan yang memperjuangkan isu Palestin dan telah mengadakan pelbagai program berkenaan Palestin di seluruh negara. PEMBINA-DHL pernah bekerjasama dengan AP dalam mengadakan Malam Palestin pada awal tahun ini dan juga Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis di PWTC pada bulan lepas di bawah PEMBINA Pusat. Seterusnya, para peserta bergerak menuju ke Putrajaya untuk meneruskan aktiviti di sana.

Abdul Shakur Bin Muhamad Zamani
AJK Program PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL)


Baca Selanjutnya...

Potensi Beliawanis Dalam Pembinaan Tamadun

Oleh: Nor Hasni Hayati Binti Hanapi, PEMBINA Daerah Hulu Langat

Kedatangan Islam telah berjaya membawa satu perubahan agung dalam pembinaan tamadun manusia. Islam melihat bahawa setiap manusia, sama ada lelaki atau wanita, sempurna mahupun kurang upaya, mempunyai kebolehan, kebijaksanaan dan potensi yang tersendiri dalam memajukan dan mentadbir dunia. Jika kita melihat ke belakang, sejarah dunia telah mencatatkan peristiwa hitam di mana golongan wanita diperlekehkan malah dibunuh sejak masih bayi lagi.

Adam Jones dalam bukunya yang bertajuk “Gendercide and Genocide” telah mengupas sejarah pembunuhan anak-anak perempuan disebabkan pemikiran-pemikiran sempit dan kolot. Pada zaman Greek Purba, di kalangan 6000 buah keluarga, hanya 1 peratus darinya mempunyai 2 orang anak perempuan. Sewaktu zaman Renaissance pula, anak-anak kurang upaya sewenang-wenangnya dibunuh. Manakala dalam masyarakat Hindu, mereka mempunyai sistem kasta dimana anak-anak perempuan dibunuh atas alasan keluarga tidak mampu membayar mahar perkahwinan (dowry) mereka yang tinggi apabila anak2 mereka berkahwin kelak. Mereka juga menganggap anak-anak perempuan lemah dan tiada nilai sedangkan anak lelaki mempunya kudrat yang kuat untuk bekerja dan manjaga ibu bapa apabila ibu bapa telah tua. Berdasarkan bancian statistik yang dibuat dalam The Toronto Star, 1994, sebanyak 196 bayi perempuan dibunuh dari tahun 1993 hingga 1994 di kalangan masyarakat Tamil Nadu. Di kalangan mereka, ada yang dibiarkan mati kelaparan, di suap beras sehingga menembusi kerongkongnya, diberi makan serbuk baja beracun, dan dicekik dengan tuala. Masyarakat di tanah besar China pula membunuh anak-anak perempuan sebelum pengasasan People’s Republic pada tahun 1949 lagi. Pada tahun 1979 pula, kerajaan China telah memperkenalkan polisi “Satu Keluarga Satu Anak” dengan tujuan untuk mengawal populasi penduduk di China. Sesiapa yang melanggar polisi ini akan dikenakan hukuman potongan gaji dan disekat dari menggunakan sebarang perkhidmatan sosial. Tidak ketinggalan, masyarakat di zaman Arab Jahiliyah menanam anak-anak perempuan hidup-hidup kerana malu dengan status sosial wanita yang rendah di sisi masyarakat. Begitulah kolotnya pemikiran dan tindakan golongan yang tidak bertamadun.

Kini, kita melihat bawah Islam telah mengangkat darjat wanita sedangkan seluruh dunia seolah-olah tidak nampak langsung peranan wanita di muka bumi ini. Semenjak Islam mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita, wanita telah berjaya membuktikan satu persatu keupayaan mereka. Lihat sahaja peranan Siti Khadijah Binti Khuwaylid, isteri kepada tokoh terpenting dunia, Muhammad Bin Abdullah. Beliau adalah seorang isteri kepada seorang Rasul. Begitu besar peranannya sebagai isteri dalam memastikan tugas suaminya berjalan lancar dalam menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Begitu juga peranan isteri kedua Rasulullah yang bernama Siti Aishah Binti Abu Bakr, yang mempunyai keupayaan menghafal kata-kata dan mengingati perlakuan-perlakuan suaminya yang sehingga kini menjadi rujukan seluruh ummah. Anak Rasulullah yang bernama Fatimah Az-Zahra, juga tidak ketinggalan memainkan peranannya sebagai penghibur Rasulullah tatkala Rasulullah dilanda dugaan. Dialah yang membersihkan kepala ayahnya tatkala kepala ayahnya ditabur pasir-pasir dan segala jenis kotoran. Lihat pula Ummu Aiman yang turut menggalas beban membantu memberi minum kepada para mujahid di medan perang, Ummu Sulaim yang menggerakkan seluruh anggota keluarganya menyumbang kepada dakwah Islam dan Umm Nidal yang mewakafkan anak-anaknya mempertahankan bumi Palestin sehingga syahid kesemuanya. Tidak cukup nama-nama wanita-wanita yang telah banyak berjasa kepada sejarah peningkatan tamadun manusia untuk dikongsikan di sini. Namun, apa yang pasti, mereka telah membuktikan kehebatan dan potensi yang lahir daripada jantina yang telah diangkat darjatnya oleh Islam.

Di Malaysia, para wanita turut ke hadapan dan menonjol dalam agenda pembangunan negara. Namun begitu, ada juga yang agak ketinggalan dalam mengejar arus ketamadunan. Para wanita, terutama yang muda dan masih tergolong dalam lingkungan umur belia perlu mengambil inisiatif untuk bersama-sama mengorak langkah dalam menggarap segala potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sekiranya para belia, terutamanya beliawanis dapat membuktikan kemampuan dan kehebatan diri, insyaAllah mereka akan dapat menjamin masa depan ummah yang berjaya dan diredhaiNya.


Beliawanis PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Nelayan Allah

Ku terjaga daripada tidurku yang lena
Walaupun Sang Suria masih belum tiba
Bukan kerana sudah biasa
Tetapi kerana terpaksa

Tanggungjawabku sebagai nelayan
Jauh mendahului kemahuan
Ku membuat persiapan
Untuk meredah lautan

Tatkala dilambung ombak
Jaringan dicampak
Demi mengaut ikan yang melonjak
Lebih sedikit ditangkap daripada banyak

Tatkala tangkapan ditarik ke atas
Banyak yang terlepas
Walaupun aku berhempas-pulas
Aku masih lagi tertewas

Tangkapan akhir hanya sedikit
Keletihan membuat dada menjadi sempit
Namun hasilnya buatku menjerit
Hilang sudah segala yang perit

Ku kembali ke pantai dengan bersemangat
Hasil hari ini sedikit tetapi isinya amat
Esok kini kelihatan semakin dekat
Takkan ku sabar walau sesaat

















Nazif Emran Farid
PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Merawat Pokok Bermula dari Akarnya

Setiap hari dalam perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja, saya akan pasangkan radio untuk mengisi kesunyian di dalam kereta. Seringkali rancangan radio tersebut akan mengadakan perbincangan dengan pendengar dengan tajuk yang berbeza-beza tetapi berpusing-pusing di sekitar tema yang sama – iaitu isu gejala sosial para belia. Daripada kes-kes kecil seperti budaya melepak, budaya berpasangan-pasangan cinta kayangan sehingga membawa kepada zina; kepada budaya hedonisme dan hiburan melampau di kalangan belia; sehinggalah kepada kes-kes jenayah merempit yang kini bertukar kepada aktiviti ‘menyamun’ dan membuli secara berkumpulan. Tidak lupa juga kepada kes-kes evergreen seperti penyalahgunaan dadah dan bohsia-bohjan yang masih kekal subur sejak sekian lama.

Secara keseluruhannya para pendengar yang memberikan pandangan bersetuju bahawa masalah-masalah ini adalah sesuatu yang real, bahkan semakin menular, tiada siapapun menafikannya. Yang lebih menarik perhatian saya adalah cadangan-cadangan penyelesaian yang dikemukakan. Ada yang memberikan cadangan yang tipikal seperti mengetatkan undang-undang. Tetapi ada yang menambahkan sedikit twist dlm penguasaan undang-undang ini - IBU-BAPAlah yang patut dikenakan tindakan undang-undangata kesalahan anak mereka kerana jenayah yang dilakukan berpunca daripada didikan ibu-bapa juga. Saya mempunyai hujah tersendiri terhadap pandangan ini, tapi itu adalah pada artikel yang berlainan. Cadangan lain pula adalah untuk mengenakan hukuman yang lebih keras seperti mengurung pesalah di bawah tanah dalam kawasan seluas sebidang kubur. Dalam isu merempit, ada yang mencadangkan supaya motorsikal dilarang terus daripada memasuki bandar-bandar besar dan selebihnya hanya menaiki kenderaan awam; bahkan ada yang lebih ekstrem dengan mencadangkan supaya diharamkan terus daripada sesiapa memiliki motosikal kecuali mendapatkan permit yang ketat dahulu. Walaupun nampak seperti mungkin menyelesaikan sebahagian masalah, tetapi ia seolah-olah mengenakan hukuman terhadap orang ramai di atas kesalahan yang hanya sebahagian kecil melakukannya.

Sungguh, usaha bersungguh untuk menyelesaikan masalah-masalah ini patut dipuji. Namun jika kita selami semua pendapat ini, kita akan dapati ia hanyalah merawat simptom-simptom tetapi tidak menyentuh isu-isu pokok. Mudah sahaja. Tarik motor perempit maka mat-mat rempit semua hanya tinggal ‘mat-mat’ sahaja. Untuk buang budaya melepak, letakkan ‘jaga’ di kaki-kaki lima atau tangga-tangga kompleks membeli belah. Atau, halalkan sahaja budaya hedonisme dengan mengadakan festival supaya paling kurang kesalahan yang dilakukan adalah “terkawal”. Mat-mat gian pula hantar sahaja pusat serenti jauh daripada pandangan umum; tiada di mata maksudnya tiadalah masalahnya. Mudah bukan?



Namun pada hakikatnya, walaupun tiada motor, mat-mat ini boleh sahaja merempit dengan cara-cara lain. Persoalannya adalah, adakah mat-mat rempit ini merempit kerana mereka mempunyai motor atau kerana mereka INGIN merempit dengan dengan apa sahaja ada pada meraka. Soalan lagi, adakah para belia yang melepak kerana mereka bercita-cita dari kecil untuk menjadi seorang pelepak tegar, ataupun di sana wujud satu persoalan lain tentang apakah aspirasi kehidupan mereka?

Sekiranya kita teliti, kita akan dapati terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada keruntuhan moral belia, tetapi tempat pertama bermulanya gejala sosial ini adalah jiwa anak-anak muda ini. Kita perlu lihat kepada apakah cita-cita mereka dalam kehidupan; siapakah diri mereka di mata mereka sendiri; apakah nilai dunia bagi mereka; di manakah kedudukan akhirat di sisi mereka; apakah peranan yang mereka rasa perlu dimainkan dan ke manakah akhirnya pengakhiran hidup mereka. Ini adalah persoalan-persoalan pokok yang sebenarnya memberikan jawapan kepada tujuan sebenar Allah menciptakan manusia.

“Dan tidaklah aku menciptakan jin dan manusia melainkan hanya untuk menyerahkan diri kepadaKu.” [Adz-Zaariyaat: 56]

Sekiranya mereka -bahkan semua umat manusia- memahami perkara ini, nescaya tiada masa akan tersia untuk melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak bermanfaat, apatah lagi yang merosakkan diri. Segala kehidupan mereka hanya diperuntukkan untuk beribadah kepada Allah dan berdakwah di jalanNya. Mereka juga secara tak langsung memahami bahawa ada tuturcara dan tingkahlaku yang telah diajarkan di dalam akhlak-akhlak Islam serta ada objektif yang lebih besar dalam kehidupan mereka iaitu mengajak seluruh umat manusia untuk menundukkan diri kepada Allah ta’ala. Sekiranya perkara ini dapat diterapkan di dalam jiwa-jiwa belia, kita akan lihat gejala-gejala sosial ini akan hilang dengan sendirinya, bahkan ditolak sendiri oleh pemuda tanpa perlu dipaksa di dalam “penjara kubur”.

Mungkin selepas ini, dalam perjalanan saya ke tempat kerja, saya akan dengar di radio suatu perbincangan yang berbeza. Pendengar-pendengar di radio berselisih pendapat tentang bagaimana cara terbaik menyalurkan semangat-semangat muda yang membara ini.

Allahlah sebaik-baik pembantu dan penolong.

Muadz M. Zain
Ketua PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL)
Baca Selanjutnya...

Forum Perwakilan Mahasiswa: Gilap Potensi Belia melalui PEMBINA


Bangi, 2 Jun 2009 - PEMBINA DHL dengan kerjasama wakil-wakil dari pelajar universiti di sekitar Daerah Hulu Langat telah menganjurkan Forum Perwakilan Mahasiswa yang disertai hampir 20 orang pelajar. Objektif program ini adalah agar para perwakilan pelajar dapat berkongsi pengalaman dan berdiskusi berkenaan aktiviti-aktiviti PEMBINA hal ehwal pelajar di Universiti masing-masing.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Saudara Muadz Md Zain selaku Ketua PEMBINA DHL. Beliau menyatakan rasa gembira atas kejayaan PEMBINA DHL dalam usaha menjayakan Program Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis yang lepas. Beliau mengulas lagi, para pelajar dilihat perlu lebih bekerja keras agar aktiviti dan agenda PEMBINA DHL dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan tersusun pada masa akan datang.

Sesi diteruskan dengan mengimbas kembali aktiviti-aktiviti dan program yang melibatkan PEMBINA DHL sepanjang separuh awal tahun 2009. Para perwakilan mahasiswa berpeluang bertukar-tukar idea dan pendapat dalam merancang aktiviti PEMBINA DHL untuk baki tahun 2009 yang mendatang. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang oleh PEMBINA DHL, antaranya Pertandingan Futsal, Majlis Sukarelawan, Kembara, Booth Day dan banyak lagi. Justeru itu, PEMBINA DHL mengajak para belia untuk sama-sama menyertai program-program yang telah dirancang ini pada masa akan datang, dan seterusnya bersama-sama menggilap potensi dan bakat belia Malaysia khususnya di Daerah Hulu Langat.
Baca Selanjutnya...

Paintball Tournament



Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL sumbang tenaga jayakan Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis


9 Mei 2009 PWTC - Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) buat julung-julung kalinya telah tampil membawa isu Palestin secara besar-besaran kepada masyarakat. Dengan kerjasama Aman Palestin Berhad, sebuah NGO yg tidak asing lagi dalam memperjuangkan isu Palestin, konvensyen ini telah berjaya menarik lebih dari 3000 penyertaan dari seluruh pelusuk negara, dimana majoriti penyertaan adalah dari kalangan belia. Konvensyen ini telah dirasmikan oleh Sahibus Samahah Dr Juanda b. Jaya, Mufti Negeri Perlis dan diisi sebaiknya dengan pembentangan bertenaga oleh gandingan tokoh-tokoh antarabangsa seperti Dr Azzam Tamimi - speaker antarabangsa di dalam isu Palestin, Dr Mohsen Soleh - pengarah pusat penyelidikan Palestin Al-Zaytouna, dan Dr Roslan Mohd Nor - pemegang Ph.D dalam kajian
Jerusalem.




PEMBINA cawangan DHL turut aktif mengambil bahagian dalam menjayakan konvensyen ini. Bermula sebulan sebelum berlangsungnye konvensyen, promosi telah diadakan di taman-taman perumahan, pasar malam, masjid, surau, IPT dan kolej-kolej sekitar kawasan Bandar Baru Bangi. Hasilnya, penyertaan yang diperoleh dari daerah Hulu Langat ternyata amat memberangsakan dengan lebih 300 penyertaan direkodkan dari IPT seperti IPIS, MIAT, UNITEN, UKM, KUIS, UPM, MFI dan HUKM.




Semasa hari berlangsungnya program, wakil-wakil PEMBINA DHL juga telah memainkan peranan penting dalam menguruskan pendaftaran peserta-peserta dengan 15 kaunter diuruskan utk pendaftaran individu dan 5 kaunter utk pendaftaran organisasi dan kumpulan.

Alhamdulillah, berkat usaha yg digemblengkan oleh ahli-ahli PEMBINA dari seluruh cawangan dari seluruh Malaysia, konvensyen tersebut telah berjalan dgn jayanya dengan peserta rata-ratanya memberikan feedback positif terhadap kandungan dan pengurusan konvensyen. Lebih dari itu, pengalaman ahli-ahli PEMBINA DHL yang terlibat dalam menganjurkan konvensyen ini ternyata amat berharga. Ianya pasti dapat membantu dalam menjana keupayaan dan potensi ahli-ahli PEMBINA DHL dalam membawa arus kebaikan ke dalam masyarakat.




Baca Selanjutnya...