Showing posts with label Kesihatan. Show all posts
Showing posts with label Kesihatan. Show all posts

Denggi: musuh yang sering dipandang ringan


Saban hari, kita mendengar pesakit dijangkiti demam denggi, bahkan ada yang meninggal disebabkan oleh demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi. Pihak kementerian berusaha sedaya-upaya untuk menyedarkan masyarakat tentang peri-pentingnya menghalang pembiakan nyamuk Aedes seterusnya mengurangkan kes Denggi. Terlalu banyak fakta yang perlu disebutkan, tetapi artikel yang terlalu panjang tentunya membosankan. Saya cuba yang terbaik agar dapat dimanfaatkan semua.

FAKTA SATU

Denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh arbovirus, tergolong dalam famili flaviviridae. Terdapat 4 jenis iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Virus ini dibawa oleh nyamuk betina Aedes. Menurut data epidemiologi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, kes denggi menunjukkan peningkatan iaitu daripada 44.3 kes / 100 000 populasi (pada 1999) kepada 181 kes / 100 000 populasi (pada tahun 2007). Kadar kematian yang disebabkan oleh Denggi di kalangan orang dewasa juga menunjukkan peningkatan. 70% - 80% kes Denggi berlaku di kawasan bandar (urban area).

Mengapa kita perlu tahu tentang fakta di atas?

Ini adalah supaya kita boleh menilai berapa tinggi risiko dan kemungkinan untuk kita mendapat penyakit ini. Contohnya, sekiranya kita tinggal di kawasan bandar, kita mempunyai kemungkinan (probability) yang lebih tinggi untuk mendapat Denggi. Kita perlu lebih berjaga-jaga dan memandang serius sebarang simptom denggi agar kita boleh memberi rawatan sewajarnya sebelum terlambat.

FAKTA DUA

Satu perkara yang amat penting untuk difahami mengenai Denggi ialah faktor masa. Prognosis (sequlae / outcome) seseorang pesakit yang telah dijangkiti virus Denggi amat bergantung kepada secepat mana pesakit itu dibawa berjumpa doktor dan mendapat rawatan di hospital. Sekiranya rawatan diberi awal, kemungkinan seseorang pesakit itu untuk mati akibat komplikasi denggi adalah rendah. Dalam jangkitan denggi, terdapat 3 fasa yang akan dilalui oleh pesakit.

1. Fasa demam (Febrile phase)
Pesakit akan mengalami demam sekitar 3 - 4 hari. Suhu boleh mencapai 40°C. Fasa ini biasanya akan menyebabkan pesakit datang untuk berjumpa dengan doktor.

2. Fasa kritikal (critical phase)
Selalunya terjadi pada hari ke-4 dan ke atas. Demam akan beransur hilang. Fasa ini dipanggil kritikal kerana pada waktu inilah komplikasi denggi akan terjadi. Pada waktu yang kritikal ini, adalah penting untuk pesakit berada di hospital agar rawatan sewajarnya dapat diberikan andainya komplikasi denggi berlaku.

3. Fasa penyembuhan
Selalunya pada hari ke-7 dan ke atas. Fasa ini adalah fasa di mana pesakit mula sembuh.

Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?

Ada sesetengah pesakit lebih suka merawat demam mereka sendiri di rumah tanpa merujuk doktor. Ini menyebabkan denggi tidak dapat dikesan lebih awal. Lebih-lebih lagi, apabila pesakit tinggal di kawasan endemis (endemic area). Apabila pesakit mengalami komplikasi seperti pendarahan dalaman, ia mungkin terlalu lewat untuk diselamatkan.

Seperkara lagi, sesetengah pesakit rasa mereka sudah pulih apabila demam mereka mula berkurangan. Denggi adalah berbeza. Seandainya pesakit mengidap Denggi, fasa ketika demam hilang adalah fasa yang sangat kritikal dan perlu kepada pemerhatian doktor di hospital.

FAKTA TIGA

Simptom-simptom Denggi mempunyai spektrum yang luas. Bermula dengan demam yang tinggi suhunya, sehinggalah ia melibatkan organ-organ lain dalam badan seperti hati, paru-paru dan buah pinggang (sekiranya pesakit mengalami komplikasi akibat Denggi) dan berakhir dengan kematian.

Simptom-simptom yang perlu diberi perhatian ialah apabila pesakit mengalami demam yang suhunya mencecah 39°C ke atas. Demam yang berpanjangan (3 hari ke atas). Demam ini berlaku bersama beberapa simptom lain seperti lemah dan sengal tubuh badan, sakit pada bahagian sendi dan timbul bintik-bintik merah pada kulit. Sekiranya pesakit mempunyai simptom-simptom di atas dan kawasan rumah pesakit adalah kawasan wabak Denggi, sila rujuk klinik terdekat secepat mungkin.

Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?

Simptom demam Denggi adalah simptom yang umum dan tidak spesifik. Terdapat jangkitan-jangkitan lain yang mempunyai simptom yang sama. Tetapi, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor untuk memastikan pesakit tidak mempunyai jangkitan Denggi. Justeru, bertindak awal adalah sangat penting.

FAKTA EMPAT

Nyamuk Aedes betina adalah vektor (pembawa) virus ini. Selalunya membiak dalam air jernih yang bertakung lama (3 hari dan ke atas). Seperti yang dinyatakan dalam fakta di atas, kebanyakan kes berlaku di kawasan bandar. Tempat-tempat yang perlu diberi perhatian lebih ialah tayar-tayar buruk yang ditinggalkan dan pasu-pasu bunga atau bekas-bekas yang menakung air hujan. Kalau pembaca tengok dalam air yang bertakung lama begini, cuba suluhkan lampu, pembaca akan nampak jentik-jentik yang bergerak secara zig-zag. Jentik-jentik ini menjadi aktif apabila disuluh cahaya.

Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?

Tugas mengenalpasti dan merawat adalah bidang tugas doktor tetapi mencegah pembiakan nyamuk dan mencegak jangkitan adalah tanggungjawab semua. Ingat, mencegah itu adalah sentiasa lebih baik daripada merawat. Kalau saya ingin panjangkan artikel ini, tentunya saya pilih untuk menulis lebih panjang dalam fakta ini.

Pencegahan

Ini adalah tugas yang mesti dipandang berat dan diberi perhatian lebih oleh pembaca.
Luangkan masa 10 minit setiap hari untuk memastikan tidak ada takungan-takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes. Kalau saudara biarkan, nyamuk bukan sahaja boleh menjangkiti saudara, bahkan jiran-jiran yang berdekatan. Takkan nak tunggu ahli keluarga kita menemui ajal akibat denggi, baru kita nak ambil tindakan serius? ataupun mungkin kita yang menjadi mangsa. Tentunya ia sudah terlalu lewat untuk mencegah apabila jasad tidak lagi bernyawa.
Mudah-mudahan sedikit coretan ini mampu menyumbang kepada kesedaran dalam menangani wabak Denggi. Saya galakkan pembaca mencari lebih banyak maklumat mengenai Denggi dan ia mudah didapati di mana-mana. Selamat membaca!
Allahu a'lam.

Dr Naim

Baca Selanjutnya...

Manis Yang Membunuh



Ketika wabak H1N1 melanda, seluruh dunia panik dan takut. Orang awam ketakutan dan mengambil langkah berjaga-jaga. Virus H1N1 seolah-olah menjadi satu racun yang tersebar ke seluruh dunia, dan semua orang sibuk memperkatakannya.

Kenapa?
Kerana ia mudah menjangkiti manusia. Hanya perlu menghirup titisan air hembusan daripada orang yang dijangkiti, maka kita adalah terdedah kepada jangkitan H1N1.
Malangnya, kita terlepas pandang tentang penyakit yang merebak hampir ke seluruh dunia, malahan ia cukup dikenali ramai.

Mengapa ia tidak ditakuti sepertimana H1N1?
Kerana ia tidak merebak secara berjangkit. Lebih malang lagi, akibat sikap tidak berjaga-jaga, pengidap penyakit ini menunjukkan peningkatan dari segi bilangan pengidapnya. Kajian menunjukkan 48% daripada mereka yang berumur 30 tahun ke atas, tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini. Penyakit yang bahaya ini adalah kencing manis atau Diabetes Mellitus.

Apakah maksud kencing manis?
Kencing manis terjadi apabila badan tidak mampu mengawal paras gula (glukosa) dalam darah. Kesannya, paras gula dalam darah menjadi tinggi dan menyebabkan banyak komplikasi terhadap tubuh badan.


Apa faktor-faktor yang menyebabkan badan tidak dapat mengawal gula dalam darah?
Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan badan gagal untuk mengawal paras gula dalam darah. Antaranya ialah obeisiti, gaya hidup yang tidak aktif, mengambil makanan yang mempunyai kandungan kalori, gula atau lemak yang tinggi, mengandung dan keturunan. Pengambilan makanan yang mempunyai paras gula yang tinggi dalam tempoh yang panjang juga, dikatakan boleh menjadi antara faktor penyebab kepada terjadinya penyakit kencing manis.

Apakah simtom atau tanda-tanda paras gula tinggi dalam darah?
Tanda-tanda penyakit kecing manis ialah kerap bangun di waktu malam untuk kencing, cepat dan selalu berasa haus, cepat lapar, cepat letih dan hilang berat badan.


Komplikasi kencing manis
Gula yang terlalu tinggi dalam darah akan menyebabkan banyak komplikasi yang melibatkan banyak organ dalam tubuh. Salur darah terdapat di mana-mana dan paras gula yang tinggi dalam darah akan menyebabkan kerosakan pada salur darah seterusnya menyebabkan kerosakan pada organ.

Kencing manis yang tidak dikawal akan menyebabkan kerosakan pada organ-organ penting terutamanya mata (boleh menyebabkan buta), buah pinggang serta urat saraf. Kaki dan tangan akan menjadi kebas dan luka-luka pada tubuh badan sukar untuk pulih. Luka-luka yang tidak pulih ini akan merebak dan menyebabkan bahagian yang mati itu terpaksa dipotong.

Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi menyebabkan pesakit terpaksa menjalani dialisis untuk membersihkan racun dalam tubuh badan. Meskipun, ia membersihkan racun dalam badan, teknologi tersebut tentunya tidak dapat menapis sebagus buah pinggang ciptaan Allah swt.

Selain itu, pesakit kencing manis mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat penyakit jantung yang boleh menyebabkan jantung rosak atau kematian secara tiba-tiba.

Pencegahan
Perlu diingat, bahawa kencing manis adalah penyakit yang tidak boleh dipulihkan (irreversible). Ia hanya boleh dikawal agar tidak menjadi teruk. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting. Kandungan gula yang diambil dalam pemakanan seharian perlu dikawal. Cuba kurangkan tabiat memakan makanan manis serta amalkan gaya hidup yang sihat.

Pastikan anda menjalani riadhah setiap minggu, dan masa perlu diluangkan untuk bersukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap satu sesi. Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti umur melebihi 30 tahun, keturunan, obeisiti, simtom-simtom kencing manis, sila dapatkan nasihat di klinik-klinik berhampiran. Mungkin anda boleh menjalankan ujian saringan sekirangan anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kencing manis.

Isu-isu pengajaran
Sepanjang pengalaman saya menjadi pelajar perubatan, saya seringkali melihat pesakit yang mengidap kencing manis. Bilangan mereka sangat ramai. Ada di antaranya terpaksa dipotong kaki. Ada yang kehilangan penglihatan. Ada yang terpaksa menjalani dialisis pada umur yang muda. Hati saya benar-benar sayu melihat keadaan pesakit yang terpaksa berhadapan semua ini sedangkan ianya boleh dicegah sekirannya langkah awal diambil.

Ini mendorong saya menulis artikel tentang kencing manis dengan harapan ia memberi kesedaran kepada pembaca betapa pentingnya pencegahan penyakit ini sebelum ia terjadi.

Komplikasi penyakit ini adalah dahsyat sehingga boleh menyebabkan kecacatan kekal pada tubuh (eg: buta, potong kaki, rosak buah pinggang)

Unsur yang paling penting dalam kesedaran ini ialah masyarakat menyedari ia BOLEH DICEGAH dan dikawal daripada melarat.
Mudah-mudahan sumbangan yang kecil ini boleh membantu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat.

Bayangkan, anda terpaksa mengharungi hari tua dengan keadaan kaki yang telah dipotong, hanya kerana tidak mengambil langkah-langkah pencegahan awal. Mahukah ianya terjadi? Renung-renungkan dan selamat beramal!


Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM


Baca Selanjutnya...

Susu Badan (Breastfeeding): Tanda kebijaksaan, rahmat dan kasih sayangNya



Anak-anak yang baru lahir adalah menjadi kurniaan dan amanah Allah swt kepada ibu bapa untuk mendidik, menjaga dan membesarkan sebaiknya. Antara tanggungjawab ibu bapa ialah memberi makan dan minum yang terbaik untuk anak-anak kurniaanNya. Allah dengan kebesaranNya telah melengkapkan ibu-ibu yang melahirkan anak-anak dengan susu yang dihasilkan oleh tubuh badan ibu itu sendiri, bukan sahaja melengkapkan dengan susu, bahkan susu yang dianugerah Allah itu jauh lebih baik dari segi kualitinya berbanding mana-mana susu yang dibuat melalui teknologi buatan manusia.


Apa kelebihan susu badan daripada susu formula buatan manusia?
Kelebihan ini boleh dilihat dari dua sudut, iaitu keuntungan kepada ibu dan keuntungan kepada anak yang telah dilahirkan:

1.Bagi seorang ibu yang baru melahirkan anak, proses penyusuan badan mewujudkan satu ikatan yang rapat di antara ibu dan anak.. Anak-anak yang minum susu badan mempunyai ikatan yang lebih rapat dengan ibunya berbanding anak-anak yang tidak minum susu badan. *

2. Selain itu, penghasilan susu badan yang berterusan akan memberikan ketidakhamilan (contraception) kepada ibu. Hanya ibu-ibu yang memberi anak mereka susu ibu sepenuhnya sahaja yang memperoleh kesan ketidakhamilan ini. Ketidakhamilan adalah penting bagi ibu-ibu yang baru melahirkan anak agar mereka dapat mengembalikan kesihatan mereka ke tahap optimum sebelum mereka mengandung semula. Sebaik-baiknya, dijarakkan dua tahun bagi setiap kelahiran.*

Bagi anak pula:
1. Susu ibu menyediakan nutrisi yang ideal kepada bayi untuk 4 – 6 bulan yang pertama.
2. Mengurangkan risiko jangkitan salur makanan terutamanya kepada bayi yang lahir tidak cukup bulan.
3. Membantu meningkatkan perkembangan kognitif kanak-kanak
4. Mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti diabetes type-1 dan penyakit bengkak usus (inflammatory bowel disease) pada masa akan datang.

Susu ibu juga telah dibuktikan secara saintifiknya mempunyai kandungan yang sangat bermanfaat untuk bayi seperti anti-jangkitan serta kualiti protein dan asid lemak yang terbaik. Manakala kandungan zat besi di dalam susu ibu lebih mudah diserap oleh bayi berbanding kandungan zat besi di dalam susu formula. Kesimpulannya, susu ibu yang Allah swt dalam tubuh badan manusia lebih baik daripada susu formula buatan manusia.

Susu ibu & bayi
Penyusuan badan kali pertama seharusnya dimulakan secepat mungkin sebaik sahaja bayi lahir. Ini adalah kerana susu ibu yang awal mempunyai kandungan protein dan Immunoglobulin (khasiat yang membantu sistem pertahanan tubuh) yang tinggi. Penyusuan adalah penting untuk beberapa hari pertama kelahiran. Secara umumnya, susu ibu sahaja adalah cukup untuk bayi sehingga bayi berumur 6 bulan. Sungguhpun demikian, bayi boleh mula mengambil makanan seawal 4 bulan. Selepas 6 bulan, susu ibu adalah tidak mencukupi untuk bayi. Makanan harus mula diperkenalkan kepada bayi. Pengenalan terhadap makanan boleh dimulakan dengan kuantiti yang sedikit dan ditambah secara sedikit demi sedikit.

Kesedaran umum
Sehingga setakat ini, kesedaran untuk penyusuan badan adalah masih rendah. Kempen menyusu badan diadakan di hospital seluruh negara untuk memupuk ibu-ibu menyusukan bayi-bayi seterusnya menjamin generasi yang lebih sihat pada masa akan datang.

Isu pengajaran
1. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakan pemakanan yang terbaik untuk anak-anak. Bukan sahaja halal tetapi juga baik (toyyiban) agar anak-anak lahir menjadi muslim yang sihat dan bijak seterusnya menggalas beban dakwah pada masa akan datang.
2. Susu ibu adalah penting untuk perkembangan bayi dari segi emosi dan juga jasmani. Pada fasa awal perkembangan bayi, susu ibu adalah nutiren utama bagi anak-anak, manakala selepas 6 bulan, pemakanan pula perlu diperkenalkan kepada bayi.
3. Hikmah kebijaksanaan Allah terhadap makhlukNya menunjukkan betapa Allah tidak pernah lepas dan lelah dalam melihat dan menjaga manusia. Tidak dibiarkan manusia itu susah mencari makanan, tetapi disediakan susu ibu yang terbaik untuk bayi-bayi yang dilahirkan. Oleh itu, hikmah kejadian ini perlu menjadi renungan buat kita seterusnya meningkatkan keimanan kita padaNya. Ilmu dan teknologi yang bertambah tidak melarikan kita dariNya, bahkan mendekatkan dan menambah rasa cinta dan takut padaNya.

Allahu a’lam.

Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM
Baca Selanjutnya...

Antibiotik: satu perkongsian



Artikel kali ni akan menyentuh tentang antibiotik. Persoalan yang sering diajukan: Kenapa kena habiskan? Adakah antibiotic membunuh virus? Apa kesan antibiotik berlebihan? bagaimana antibiotik bertindak dalam badan? antibiotik dan kanak-kanak..bagaimana?

Pengenalan
Antibiotik adalah perkataan latin. ”anti” bermakna berlawanan (against) dan ”bios” bermaksud hidupan (life). Antibiotik adalah sejenis ubat yang mempunyai kesan toksid yang khusus ( selective toxicity) di mana ia akan membunuh organisma yang mengjangkiti tubuh tanpa memberi kesan buruk kepada tubuh itu sendiri.
Akan tetapi, dos perlu berada dalam lingkungan yang selamat dan mampu untuk membunuh organisma, ini dipanggil theraputic effect. Kurang dos menyebabkan antibiotik tidak berkesan manakala berlebihan boleh menyebabkan toksid.

Kenapa antibiotik perlu dihabiskan?
Antibiotik dan bakteria yang menjangkiti tubuh pesakit mempunyai perkaitan yang sedikit aneh. Bakteria mempunyai kapasiti untuk menjadi ”kebal” (resistant) daripada antibiotik tersebut seandainya ia tidak dihapuskan sepenuhnya. Kesannya, antibiotik tersebut tidak akan berkesan lagi untuk jangkitan seterusnya.
Walapun simptom pesakit bertambah baik, ia tidak bermakna semua bacteria telah dihapuskan. Oleh itu, dos antibiotik yang diberi, perlu dihabiskan agar bakteria tersebut hapus sepenuh seterusnya mengelakkan fenomena resistance berlaku.

Adakah antibiotik membunuh virus?
Tidak. Antibiotik tidak membunuh virus. Mungkin akan lebih difahami dalam huraian soalan seterusnya. Jangkitan virus mempunyai beberapa persamaan dengan jangkitan bakteria. Pesakit akan mengalami demam, sakit tekak, selsema dan batuk. Tetapi ada beberapa kriteria pembeza yang saya tidak berhasrat untuk menjelaskan di sini kerana mungkin tidak berapa sesuai dan boleh menyebabkan artikel terlalu panjang.
Mungkin cukup sekiranya saya nyatakan, sekiranya doktor suspek pesakit mempunyai jangkitan virus, doktor tidak akan memberi antibiotik. Ubat yang dipreskripsi akan lebih menjurus kepada rawatan simptom seperti ubat batuk, demam dan selsema. Jangkitan virus akan hilang dalam seminggu atau 2 minggu sekiranya tidak berlaku sebarang komplikasi.

Bagaimana antibiotik bertindak?
Antibiotik akan bertindak pada peringkat sell (cellular level). Caratindak antibiotik boleh dibahagikan kepada beberapa cara. Sebahagiannya bertindak dengan menghentikan proses sintesis protein bakteria, ada yang menghalang pembentukan dinding sel, dan ada yang menghalang proses metabolisma dalam sel bakteria tersebut. Oleh sebab cara tindak yang begini, antibiotik tidak berkesan terhadap virus. Virus mempunyai struktur kejadian yang berbeza.


Antibiotik dan kanak-kanak?
Secara generalnya, antibiotik boleh diberikan kepada kanak-kanak sekiranya jangkitan bakteria berlaku kepada mereka. Apa yang berbeza ialah seleksi (pemilihan) jenis antibiotik untuk mereka. Bayi, kanak-kanak dan perempuan mengandung adalah kumpulan-kumpulan pesakit yang khas, yang memerlukan pemilihan antibiotik yang sedikit berbeza daripada golongan remaja dan dewasa. Ada sesetengah antibiotik mempunyai kesan kepada pertumbuhan kanak-kanak. Justeru, ia perlu dielakkan.

Kesan sampingan antibiotik?
Satu perkara yang mesti kita ingat, setiap ubat ada kesan sampingan. Justeru, jangan ambil mudah dengan ubat.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku kesan pengambilan antibiotik ialah alahan. Adalah penting untuk memastkan pesakit tidak allergy pada antibiotik sebelum antibiotik diberi kepada pesakit, bagi mengelakkan alahan berlaku.
Selain kesan toksid akibat daripada pengambilan berlebihan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk makan antibiotik dalam dos yang ditetapkan.

Penutup
Kesedaran masyarakat tentang keperluan untuk menghabiskan antibiotik masih lagi kurang. Ini boleh menyebabkan fenomena resistance berlaku dalam masyarakat dan mengakibatkan antibiotik biasa tidak lagi berkesan dalam merawat jangkitan bakteria. Oleh itu, kesedaran dan maklumat ini perlu disebarluaskan untuk mendidik masyarakat menjadi lebih tahu seterusnya mengelakkan fenomena resistance ini daripada berlaku.

Mohon maaf segala kekurangan. Sebarang soalan, boleh diajukan pada ruangan komen. InsyaAllah, akan dijawab setakat termampu. Allahu a’lam.

Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM
Baca Selanjutnya...

Ubat yang merosakkan



Artikel kali ini menyentuh tentang pengalaman penulis ketika berada dalam pengajian tahun 3 sebagai pelajar perubatan. Mudah-mudahan dapat diambail pengajaran dan manfaat supaya tahap pengetahuan masyarakat dapat dipertingkatkan seterusnya dapat mengelakkan penyakit-penyakit yang boleh dicegah (preventable disease).

Seorang pelajar yang berumur sekitar 17 tahun, belajar di politeknik di salah sebuah negeri di utara Malaysia dimasukkan ke dalam wad setelah mengadu tidak dapat buang air kecil dan kakinya semakin membengkak.

Doktor pakar buah pinggang (nephrologist) yang bertugas ketika itu berkata pesakit ini mengalami kegagalan buah pinggang kesan daripada pengambilan ubat yang salah dan memerlukan pembedahan untuk pemindahan buah pinggang (renal transplant).

Doktor pakar ketika itu meminta saya membawa pesakit berjumpa dengan seorang pesakit lain yang telah menjalani pemindahan buah pinggang untuk bertanya bagaimana taraf kehidupan (quality of life) selepas menjalani pembedahan tersebut.

Ketika dalam perjalanan membawa pesakit itu, saya sempat bertanya, bagaimana beliau boleh mendapat masalah kegagalan buah pinggang untuk berfungsi sedangkan beliau masih muda, tidak ada sebarang penyakit buah pinggang keturunan dan tidak ada penyakit-penyakit lain.


Beliau menerangkan, ayah beliau mempunyai penyakit Gout, (tinggi paras asid urik dalam darah) yang boleh menyebabkan sakit batu karang serta bengkak tangan dan kaki. Ayah beliau sedang menjalani rawatan untuk penyakit tersebut. Pada suatu hari, beliau mengadu mengalami sakit di bahagian kaki. Ayah beliau terus menyatakan bahawa beliau juga mengidap Gout dan memberi makan ubat yang sama. Ubat penyakit Gout, mempunyai kesan menghilangkan sakit (pain killer). Kesannya, pelajar itu rasa sakitnya hilang dan yakin dengan diagnosis yang diberikan oleh bapanya. Kesannya, mreka berdua makan ubat yang sama secara berterusan.

Bila saya tanya, macam mana boleh dapat ubat Gout daripada farmasi sedangkan beliau tiada preskripsi doktor, beliau berkata beliau menggunakan preskripsi bapanya. Akhirnya, si anak mengalami kegagalan fungsi buah pinggang kerana ubat yang digunakan tidak bersesuaian dengannya.

Isu-isu pengajaran

Tugas untuk men’diagnose’ sesuatu penyakit harus diberikan kepada doktor terlebih dahulu kerana mereka dilatih untuk mengesan penyakit (paling kurang penyakit-penyakit biasa). Saya tidak menyatakan bahawa tidak boleh berjumpa dengan pakar-pakar yang bukan doktor, tetapi setidak-tidaknya berjumpa lah doktor dahulu untuk kita mengeluarkan (exclude) penyakit-penyakit yang biasa (common) daripada senarai kemungkinan.

Setiap ubat mempunyai kesan rawatan (theraputic effect) dan kesan sampingan (side effect). Justeru, untuk mengambil ubat, nasihat doktor dan ahli farmasi adalah penting supaya kesan toksid daripada ubat-ubatan dapat dielakkan. Seseorang pesakit tidak boleh menggunakan preskripsi ubat orang lain untuk mendapatkan ubat untuk dirinya kerana penyakit yang dialami mungkin berbeza walaupun simptom-simptom yang dihadapi sama.

Mudah-mudahan coretan pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca seterusnya diambil manfaat bagi menjauhi penyakit-penyakit yang boleh dielakkan. Sesungguhnya mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat.


Naim Yaakob

PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM
Baca Selanjutnya...

Indeks Berat Badan Sebagai Diagnosis Obesiti



Kita hari ini digembar gemburkan dengan H1N1, penyakit pernafasan yang semakin dahsyat menjangkiti seluruh dunia dan mencemaskan kita. Tapi kita terlupa dan terlepas pandang penyakit yang sudah lama menular di seluruh dunia iaitu Obesiti dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya.


WHO mengklasifikasikan penyakit kepada dua klasifikasi besar iaitu penyakit berjangkit (communicable disease) dan penyakit tidak berjangkit (non-cummnicable disease).
Penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi tidak berjangkit tetapi ia adalah sangat endemik dan menular seluruh dunia. Statistik tahun 1996, di Malaysia, 8 orang mengidap kecing manis dalam setiap 100 orang rakyat Malaysia. Itu 13 tahun yang lalu, sekarang mungkin meningkat.

Justeru, pencegahan itu sangat penting sebelum ia melarat menjadi penyakit.
BMI adalah ukuran objektif yang boleh dimanfaatkan untuk menentukan tahap risiko seseorang untuk menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.
Kebanyakan masyarakat sudah sinonim dengan BMI tetapi dari segi aplikasi BMI dalam kehidupan itu masih kurang. BMI perlu dijadikan ukuran objektif sebagai rujukan untuk menentukan tahap kesihatan seseorang.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa mereka sihat walaupun BMI mereka menunjukkan mereka adalah obese. Perlu kita ingat bahawa mencegah itu lebih baik dari mengubati. Dengan mengawal ukuran BMI, risiko utk kita mendapat penyakit itu lebih rendah. Jangan sampai sudah di diagnosa mengidap kencing manis, baru nak mengubah cara hidup, ia pastinya sangat sukar.

Apa itu BMI?
BMI adalah singkatan kepada Body Mass Index atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagi indeks jisim tubuh.
BMI adalah ukuran objektif yang digunakan untuk mengkalisifikasikan seeorang itu sama ada obese atau tidak.

Apa pentingnya mengetahui obese atau tidak?
Obesity akan mempengaruhi risiko seeorang itu untuk mendapat penyakit. Obesiti ialah simpanan lemak berlebihan berbanding jisim tubuh teras (lean body mass). Simpanan lemak berlebihan boleh menyebabkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi meningkat.



Bagaimana mengira BMI?
Formula BMI ialah berat dalam kilogram (kg) dibahagikan dengan kuasa dua tinggi dalam unit meter.





Ukuran: (berdasarkan kepada WHO)
< 18 =" kurang"> 18 – 25 = normal
> 25 = obesiti

Bagaimana hendak mengawal BMI pada paras normal?
Secara umumnya, ketinggian seseorang tidak akan bertambah apabila mencecah umur 20 tahun. Bagi perempuan, mereka mencapai tahap ketinggian maksima lebih awal dari itu. Oleh itu, di dalam formula tersebut, ketinggian adalah sesuatu yang malar. Apa yang boleh diubah ialah berat tubuh.
2 faktor yang mempengaruhi ialah pemakanan (input) dan aktiviti seharian (output). Seseorang itu perlu mengawal pemakanan dan menjalani aktiviti seharian yang aktif untuk memastikan keseimbangan tubuh dan mengelakkan obesiti.
Mungkin akan disentuh isu pemakanan dan aktiviti dalam artikel yang lain, insyaAllah.

Sungguhpun demikian, BMI mungkin sesuai untuk digunakan untuk kebanyakan orang, tetapi ia bukanlah ukuran yang paling tepat dalam menentukan kadar lemak dalam tubuh. Banyak lagi teknik ukuran lain yang boleh digunakan tetapi untuk tatapan kali ini, BMI adalah topik yg terbaik untuk disentuh, memandangkan ia sinonim dan mudah untuk dikira.

Marilah menjaga kesihatan. Cegah sebelum terlambat. Ayuh, jaga pemakanan dan mari bersukan dalam riadah berkala PEMBINA DHL. Akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang kuat!

Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM

Baca Selanjutnya...