Showing posts with label Beliawanis. Show all posts
Showing posts with label Beliawanis. Show all posts

Ijazah dan Risalah



TAHNIAH diucapkan kepada beliawanis PEMBINA yang dengan rasminya telah bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen yang telah berlangsung di beberapa buah IPT pertengahan Ogos yang lepas.

Sesungguhnya tanggungjawab sebagai aktivis tidaklah menghalang urusan sebagai seorang mahasiswa/i. Malah ia lebih memberi input tambah kepada belia dalam mengharungi liku-liku kehidupan dengan lebih dewasa. Selain itu, ia juga menambahkan pengalaman yang sememangnya tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Apa yang lebih penting, kita tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang muslim sejati walaupun bergelar mahasiswa/i.

Sesungguhnya juga, di usia inilah peluang untuk kita mengenali rakan-rakan kita di alam kampus terbuka luas dan kesibukan masih belum melanda. Gunakan kesempatan ini untuk mengajak mereka sama-sama menyumbang segala fikiran dan tenaga bagi memajukan agama, umat dan bangsa.


Satu renungan.....

Daripada Sayyid Abu A’la al Maududi:
"...Sukalah saya melahirkan perasaan gembira yang tersemat di hati saya. Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam yang beriman penuh dengan aqidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Peranan ini patut sangatlah mendapat sanjungan, penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu tanggungjawab. Mereka ini menunaikan tanggungjawab itu secara aktif dengan penuh kesedaran di pusat-pusat pengajian tinggi dalam semua bidang pendidikan , sekalipun sistem pendidikan di seluruh dunia Islam sekarang ini dikuasai oleh cara berfikir dan tradisi barat"


Zahratul Sobah
PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Menyelusuri Dan Menghayati Kemuliaan Dan Kelebihan Bulan Ramadhan Di Daurah Ramadhan


BANDAR BARU BANGI; 22 & 23 OGOS (SABTU DAN AHAD), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) telah berjaya menganjurkan satu program sempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak iaitu program DAURAH RAMADHAN. Program istimewa ini telah diadakan di Pejabat ISMA Daerah Hulu Langat dengan kehadiran seramai 31 beliawanis sekitar Daerah Hulu Langat.

Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan ialah Pengisian tentang Kesyumulan Islam, Mengenal Allah dan Cara Mendekatkan Diri dengan Allah. Bengkel tentang realiti kehidupan beliawanis di masa kini juga turut dikupas secara dekat dengan kehidupan sebenar pelajar pada masa kini. Daripada bengkel ini kebanyakan para peserta sebelum ini kadang-kadang tidak mengetahui cara penyelesaian kepada satu-satu situasi ketika mereka hadapi. Namun, setelah diberi maklumat dan pengetahuan melalui kajian kes, mereka dapat memahami suatu keadaan dengan jelas dan mengetahui bagaimana langkah yang tepat dan betul seperti yang digariskan oleh syariat cara terbaik untuk menghadapinya. Selain solat berjemaah bersama-sama, para peserta juga sempat membaca ayat suci Al-Quran sebanyak satu juzuk seorang. Selain itu,para peserta juga turut mengisi borang mutabaah Ramadhan agar masing-masing dapat buat semakan diri untuk peningkatan diri dari segi amal ibadah di bulan barakah ini. Semangat berlumba-lumba untuk buat amal kebajikan amat terserlah di kalangan semua beliawanis yang hadir hasil daripada sesi muhasabah tersebut. Yang paling menarik adalah aktiviti berjalan kaki bersama-sama ke Masjid Hasanah yang terletak berdekatan dengan pejabat untuk iftar, solat maghrib, isyak dan tarawikh di sana.


Usai solat tarawikh, para peserta berjalan kaki beramai-ramai pulang ke pejabat ISMA DHL untuk menikmati jamuan moreh dan meraikan hari ulang tahun kelahiran Ukht Shazamawati, ahli senior PEMBINA yang mesra dikenali sebagai Kak Shaza. Mereka semua berpeluang merasai kek batik dan air bandung cincau ais yang disediakan khas sempena hari ulang tahun kelahiran beliau. Disamping menikmati jamuan tersebut, para peserta sempat mengambil peluang untuk saling berkenalan dan bersilaturrahim antara mereka. Secara tak langsung, program ini dapat memantapkan ukhuwwah sesiapa yang hadir.

Para peserta juga mengambil sedikit masa membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Kemudian, Daurah Ramadhan diteruskan dengan qiamullail di sepertiga malam dan seterusnya solat subuh secara berjemaah. Usai solat subuh, para peserta dan ajk mengisi masa dengan membaca mathurat beramai-ramai. Mereka semua juga berkesempatan untuk solat dhuha berjemaah sebelum pulang ke tempat masing-masing. Semoga segala aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat dan semangat kepada para peserta dan ajk untuk terus menambah amalan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya ingin mengambil peluang ini sebagai wakil daripada kumpulan Media, Teknikal dan Dokumentasi kami ingin mengucapkan Ramadhan Kareem... Moga ramadhan kali ini (1430H) adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Siti Nurfarehan
Wartawan
Media, Teknikal dan Dokumentasi Pembina DHL

Baca Selanjutnya...

Pantun Ramadhan Beliawanis PEMBINA-DHL 1430H



Kehadiranmu dinantikan,
Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan,
Bulan Penuh Keberkatan,
Lailatul Qadr menjadi Idaman.

Pahala 1000 bulan, mana nak dapat,
Sedangkan hidup seketika cuma,
Infaq dan zakat mendapat berkat,
Kaya di dunia, kaya di syurga.

Qiyamullail dilakukan jiwaku tenteram,
Segala amalan tidaklah berat,
Jika dihayati dengan mendalam.
InsyaAllah diberkati dunia akhirat.

Mega Sale telah tiba,
Para pembeli berlumba-lumba,
Bulan Ramadhan sudah tiba,
Pahala menjadi berganda-ganda.

Anak-anak bermain guli,
Bermain guli di siang hari,
Ramadhan datang setahun sekali,
Kalau tak rebut pasti rugi.


Ramadhan 1430H
Beliawanis PEMBINA-DHL



Baca Selanjutnya...

Trip Mesra PEMBINA Mantapkan Ukhuwah Semarakkan Dakwah

HULU LANGAT, 1-2 Ogos - Beliawanis Pembina DHL telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu jaulah ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan bersempena Malam Aspirasi Seni 2009:Bersamamu Palestin yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional Negeri Sembilan (Pembina N9), Aman Palestin Berhad dan Gabungan NGO Dakwah Negeri Sembilan.


Jaulah ini dinamakan TRIP MESRA PEMBINA atau lebih dikenali dengan TMP yang dihadiri oleh golongan pelajar dan beliawanis sekitar Daerah Hulu Langat. Program bermula pada jam 3.00 petang hari sabtu dan berakhir pada jam 8.00 pagi hari ahad ini telah membuka banyak peluang dan ruang kepada para peserta untuk menjalinkan ikatan ukhuwah, berkongsi ilmu dan pengetahuan serta memperluaskan jaringan PEMBINA IPT.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada pukul 3 petang. Penglibatan peserta amat memberangsangkan dimana seramai 56 orang peserta dari UKM, UNITEN, IPIS, UPM, KPTM, KUIS, IPTEK, HUKM, UNIKL-MIAT dan terrmasuk luar daerah iaitu UITM Shah Alam telah mendaftrkan diri. Para peserta telah didedahkan dengan Pengenalan PEMBINA dan program-program yang telah dijalankan oleh PEMBINA. Selain itu, para peserta juga diberi sedikit pengisian rohani tentang Hadis 12-IMAM NAWAWI oleh pensyarah UNITEN iaitu Dr. Fazrena Azlee Hamid. Seterusnya sesi ice-breaking bersama semua peserta diadakan dimana setiap peserta dikehendaki mencari dan mengenali peserta-peserta lain dalam 10 minit. Alhamdulillah, semua peserta dapat berinteraksi dan berkenalan sesama mereka dengan baik walaupun dalam masa yang singkat.

Usai solat asar berjemaah, kira- kira jam 5.30 petang, trip ke Malam Aspirasi Seni Bersamamu Palestin di Paroi, Negeri Sembilan bermula dengan sebuah bas dan 3 buah kereta dan sampai kira-kira jam 7.00 petang. Para peserta sangat teruja apabila melihat Pusat Dakwah Islamiah Paroi dilimpahi dengan orang ramai sejak awal petang tersebut.Para peserta sempat mengabadikan kenangan di sini sebelum makan malam dan solat maghrib berjemaah. Malam Aspirasi Seni dimulakan kira-kira pukul 8.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam dengan perkongsian maklumat tentang Palestin kini oleh Mejar Nadzri Munsman iaitu Perunding Aman Palestin, Deklamasi Sajak oleh kumpulan Gapena dan persembahan nasyid dari Muadz. Selain itu kutipan dana juga turut dilancarkan pada malam tersebut. Trip pulang kami sampai di Bandar Baru Bangi kira-kira 12.30 pagi.

Sesi qiamullail bermula jam 5.00 pagi dan disusuli dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah subuh mengenai tokoh Zainab oleh pelajar dari IPIS iaitu Nurul Azizah Omar. Semua peserta menikmati sarapan pagi sekitar jam 7.00 pagi dan bersiap untuk pulang ke tempat masing-masing pada pukul 8.00 pagi. Semoga ukhuwah, pengalaman dan kenangan yang terbina semasa trip ini berkekalan dan akan berterusan di program-program akan datang. InsyaAllah


Siti Nurfarehan bt Samsurkhar
Wartawan
Kumpulan Media Pembina DHL

Baca Selanjutnya...

Potensi Beliawanis Dalam Pembinaan Tamadun

Oleh: Nor Hasni Hayati Binti Hanapi, PEMBINA Daerah Hulu Langat

Kedatangan Islam telah berjaya membawa satu perubahan agung dalam pembinaan tamadun manusia. Islam melihat bahawa setiap manusia, sama ada lelaki atau wanita, sempurna mahupun kurang upaya, mempunyai kebolehan, kebijaksanaan dan potensi yang tersendiri dalam memajukan dan mentadbir dunia. Jika kita melihat ke belakang, sejarah dunia telah mencatatkan peristiwa hitam di mana golongan wanita diperlekehkan malah dibunuh sejak masih bayi lagi.

Adam Jones dalam bukunya yang bertajuk “Gendercide and Genocide” telah mengupas sejarah pembunuhan anak-anak perempuan disebabkan pemikiran-pemikiran sempit dan kolot. Pada zaman Greek Purba, di kalangan 6000 buah keluarga, hanya 1 peratus darinya mempunyai 2 orang anak perempuan. Sewaktu zaman Renaissance pula, anak-anak kurang upaya sewenang-wenangnya dibunuh. Manakala dalam masyarakat Hindu, mereka mempunyai sistem kasta dimana anak-anak perempuan dibunuh atas alasan keluarga tidak mampu membayar mahar perkahwinan (dowry) mereka yang tinggi apabila anak2 mereka berkahwin kelak. Mereka juga menganggap anak-anak perempuan lemah dan tiada nilai sedangkan anak lelaki mempunya kudrat yang kuat untuk bekerja dan manjaga ibu bapa apabila ibu bapa telah tua. Berdasarkan bancian statistik yang dibuat dalam The Toronto Star, 1994, sebanyak 196 bayi perempuan dibunuh dari tahun 1993 hingga 1994 di kalangan masyarakat Tamil Nadu. Di kalangan mereka, ada yang dibiarkan mati kelaparan, di suap beras sehingga menembusi kerongkongnya, diberi makan serbuk baja beracun, dan dicekik dengan tuala. Masyarakat di tanah besar China pula membunuh anak-anak perempuan sebelum pengasasan People’s Republic pada tahun 1949 lagi. Pada tahun 1979 pula, kerajaan China telah memperkenalkan polisi “Satu Keluarga Satu Anak” dengan tujuan untuk mengawal populasi penduduk di China. Sesiapa yang melanggar polisi ini akan dikenakan hukuman potongan gaji dan disekat dari menggunakan sebarang perkhidmatan sosial. Tidak ketinggalan, masyarakat di zaman Arab Jahiliyah menanam anak-anak perempuan hidup-hidup kerana malu dengan status sosial wanita yang rendah di sisi masyarakat. Begitulah kolotnya pemikiran dan tindakan golongan yang tidak bertamadun.

Kini, kita melihat bawah Islam telah mengangkat darjat wanita sedangkan seluruh dunia seolah-olah tidak nampak langsung peranan wanita di muka bumi ini. Semenjak Islam mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita, wanita telah berjaya membuktikan satu persatu keupayaan mereka. Lihat sahaja peranan Siti Khadijah Binti Khuwaylid, isteri kepada tokoh terpenting dunia, Muhammad Bin Abdullah. Beliau adalah seorang isteri kepada seorang Rasul. Begitu besar peranannya sebagai isteri dalam memastikan tugas suaminya berjalan lancar dalam menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Begitu juga peranan isteri kedua Rasulullah yang bernama Siti Aishah Binti Abu Bakr, yang mempunyai keupayaan menghafal kata-kata dan mengingati perlakuan-perlakuan suaminya yang sehingga kini menjadi rujukan seluruh ummah. Anak Rasulullah yang bernama Fatimah Az-Zahra, juga tidak ketinggalan memainkan peranannya sebagai penghibur Rasulullah tatkala Rasulullah dilanda dugaan. Dialah yang membersihkan kepala ayahnya tatkala kepala ayahnya ditabur pasir-pasir dan segala jenis kotoran. Lihat pula Ummu Aiman yang turut menggalas beban membantu memberi minum kepada para mujahid di medan perang, Ummu Sulaim yang menggerakkan seluruh anggota keluarganya menyumbang kepada dakwah Islam dan Umm Nidal yang mewakafkan anak-anaknya mempertahankan bumi Palestin sehingga syahid kesemuanya. Tidak cukup nama-nama wanita-wanita yang telah banyak berjasa kepada sejarah peningkatan tamadun manusia untuk dikongsikan di sini. Namun, apa yang pasti, mereka telah membuktikan kehebatan dan potensi yang lahir daripada jantina yang telah diangkat darjatnya oleh Islam.

Di Malaysia, para wanita turut ke hadapan dan menonjol dalam agenda pembangunan negara. Namun begitu, ada juga yang agak ketinggalan dalam mengejar arus ketamadunan. Para wanita, terutama yang muda dan masih tergolong dalam lingkungan umur belia perlu mengambil inisiatif untuk bersama-sama mengorak langkah dalam menggarap segala potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sekiranya para belia, terutamanya beliawanis dapat membuktikan kemampuan dan kehebatan diri, insyaAllah mereka akan dapat menjamin masa depan ummah yang berjaya dan diredhaiNya.


Beliawanis PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...