Showing posts with label Berita. Show all posts
Showing posts with label Berita. Show all posts

PEMBINA MMU Menghayati Maulud Nabi di Gelanggang Futsal

Pada 26 Februari 2010, bersempena cuti Maulidur Rasul, PEMBINA Bangi mengambil kesempatan untuk menganjurkan acara Futsal di Kompleks Komuniti Cyberjaya. Program dianjur khas oleh ahli-ahli PEMBINA di Universiti Multimedia (MMU) bagi mengumpul para siswa MMU untuk bersama dalam aktiviti sihat disamping mengenang dan memahami tujuan perutusan Rasulullah.

Program ini dihadiri lebih 20 belia bersemangat, kebanyakkannya mahasiswa & warga MMU. Program juga turut dimeriahkan dengan kehadiran 2 bekas penuntut MMU dari PEMBINA Shah Alam. Acara penuh tenaga ini berlangsung selama 2 jam tanpa henti, bergilir-gilir bermain antara pasukan-pasukan yang dibentuk.

Seusai permainan, para peserta berkumpul untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Saudara Hamdan yang dijemput dari PEMBINA Shah Alam, yang merupakan mantan Ketua Majlis Perwakilan Pelajar MMU. Sempena Maulidur Rasul, beliau mengajak para peserta memahami tujuan perutusan Nabi Muhammad S.A.W., iaitu menyampaikan risalah Islam, dan mengajak para hadirin untuk meletakkan matlamat yang sama ke atas keberadaan kita di bumi. Seterusnya, Saudara Hamdan menyeru agar para belia berpegang teguh kepada Al-Quran & Sunnah Rasul, konsisten dengan amal-amal wajib & sunnat, dan mencontohi Rasulullah S.A.W. sebagai model aplikasi Islam dalam kehidupan.

Saudara Aizuddin Khalid, Ketua Cawangan PEMBINA Bangi, turut diberi kesempatan memperkenalkan PEMBINA serta menyampaikan perkembangan-perkembangan terkini PEMBINA. Menurut beliau, golongan belia akan berminat untuk menghampiri Islam apabila ia ditampilkan dalam realiti semasa yang praktikal kepada masyarakat. Beliau berkata, sejak penubuhannya, PEMBINA telah berjaya menonjolkan keluasan ufuk Islam dalam kehidupan dan menarik ramai golongan belia kepada aktivisme belia Islam.

Saudara Aizam yang juga pengarah program menutup program dengan mengungkap bahawa nilai-nilai Islam dan batas-batas syariat merupakan pembeza utama antara seorang Muslim dengan bukan Muslim. Oleh itu, prinsip-prinsip ini perlu dipatuhi oleh setiap Muslim bagi menjamin kebenaran identitinya. Beliau turut mengajak para siswa MMU untuk bersama dengan PEMBINA membangunkan para belia untuk menjadi generasi harapan negara.

Program keseluruhannya telah berjalan dengan baik, mengikat ukhuwwah antara PEMBINA dan siswa-siswa MMU, serta memupuk kesedaran dan semangat untuk bersama PEMBINA memartabatkan Islam demi menyambung perjuangan Rasulullah tercinta.


Baca Selanjutnya...

Saracens Menunjukkan Prestasi Baik di Hari Belia Bangi


Pada 21 Februari lalu, PEMBINA Bangi telah menghantar pasukan bola sepaknya yang semakin menyerlah, PEMBINA Saracens, ke Kejohanan Street Soccer 5 sebelah sempena Hari Belia Bangi 2010. Ini merupakan kali pertama Saracens menyertai kejohanan terbuka. Alhamdulillah, PEMBINA Bangi telah memenangi kesemua perlawanan pada peringkat kumpulan, menjadi johan kumpulan dan layak ke suku akhir. Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan Saracens apabila mereka tewas 1-0 di peringkat suku akhir.

PEMBINA Bangi mengucapkan ribuan tahniah kepada para pemain Saracens iaitu Faisal Kamarul Zaman, Muadz Md Zain, Hussairi, Ahmad Syahir & Mustafa Kamal di atas pencapaian dan usaha gigih pada kejohanan tersebut. Semoga PEMBINA Saracens dapat mempertingkatkan lagi prestasi, merangkul kejuaraan kejohanan-kejohanan terbuka seterusnya mengharumkan nama PEMBINA keseluruhannya.

Keputusan peringkat kumpulan yang melayakkan ke suku akhir


Penolong Ketua Cawangan (Rusman Arief) bermesra dengan Saracens
Baca Selanjutnya...

BBMBBK di IPGM KPI Memberi Pencerahan Tentang Masalah Valentine & Ikhtilat

14 Februari yang lalu datang dan pergi bersama isu Valentine Day yang masih lagi menjadi amalan masyarakat Malaysia dari tahun ke tahun walaupun pelbagai medium telah digunakan bagi memperjelas dan menerangkan ke’boleh’an dan ke’tidakboleh’an meraikan sambutan hari tersebut. Usaha memperjelas dan menerangkan kepada masyarakat inilah salah satu usaha dakwah yang tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa.

Justeru, pada 21 Februari yang lepas, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersama-sama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGM KPI) telah menganjurkan satu forum berkaitan isu Valentine Day tersebut yang bertajuk “Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung”. Forum tersebut telah berlangsung di Dewan Syarahan Abdul Jalil, IPGM KPI dan menampilkan barisan ahli panel daripada PEMBINA iaitu saudara Aizuddin Khalid, Ketua Cawangan PEMBINA Bangi dan saudari Shazamawati serta ahli panel jemputan, saudara Amin Idris, pakar motivasi dan psikologi jiwa.

Forum yang berlangsung selama hampir tiga jam tersebut telah dihadiri lebih kurang 150 penuntut IPGM KPI, yang juga merupakan bakal-bakal guru. Forum ini telah berjaya mengupas topik sekitar Valentine Day yang juga dipanggil sebagai Hari Kekasih, amalan bercinta sebelum berkahwin, serta tatacara pergaulan antara muslim dan muslimah yang sepatutnya.

Saudara Aizuddin selaku panel pertama telah mengupas kesan tidak langsung Hari Valentine ke atas masyarakat Malaysia. Namun begitu, beliau mengulas bahawa isu Hari Valentine bukan terletak pada hari itu sendiri kerana ia merupakan simptom kemuncak kepada masalah pergaulan bebas yang sudah berakar dalam kehidupan kebanyakan masyarakat hari ini. Beliau turut memberi tips agar mencari pasangan yang berkongsi objektif dan idealisme sebagai da'i yang mana menjadi ikhtiar paling penting dalam membina rumah tangga yang hidup atas jalan Allah.

Saudari Shazamawati pula telah banyak berkongsi langkah-langkah untuk memelihara maruah diri sebagai muslim terutama apabila berhadapan dengan situasi pergaulan antara berlainan jantina. Menurut beliau, perasaan-perasaan minat itu adalah fitrah, namun perlu diatasi dengan cinta dan ingat kepada Allah SWT yang sepatutnya tidak menggugat pendirian seorang muslim. Beliau berkongsi beberapa doa & tatacara pergaulan untuk mengelak dari fitnah pergaulan dan memelihara pandangan hati.

Manakala, saudara Amin Idris banyak memberi tips dan berkongsi pengalaman untuk membina rumah tangga yang bahagia berasaskan prinsip-prinsip Islami. Sesuatu yang menarik juga apabila beliau menasihatkan para belia terutama golongan mahasiswa agar terlibat dalam aktiviti berpersatuan. Menurut beliau, aktiviti berpersatuan mampu menanam pelbagai elemen yang tidak mampu diajar dalam kuliah-kuliah di universiti, seperti kemahiran berinteraksi, kepimpinan, sahsiah, perjuangan, dan sebagainya. Beliau juga menyeru golongan yang ingin berdakwah agar berdakwah dalam wasilah-wasilah yang realistik agar mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat, bukan semata-mata orang yang sudah berminat kepada agama.

Kesimpulan cinta itu fitrah dan islam itu agama fitrah yang menyediakan jalan penyelesaian baginya telah menutup forum yang diharapkan dapat memberi kesedaran kepada bakal-bakal guru, para belia yang sedang menghadapi fasa dugaan cinta. Diharapkan juga bakal-bakal guru tersebut akan meneruskan usaha dakwah ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama para remaja kelak.


Disediakan oleh:

Muhammad Amiruddin Husain
PEMBINA IPGM KPI

Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Tawan Gunung Dato' Buat Kali Kedua Dalam 2009



Rembau 7 November 2009 - Puncak Gunung Dato’ sekali lagi menjadi saksi dalam misi ahli-ahli dan sahabat Pembina PEMBINA Daerah Hulu Langat menawan Gunung Dato’ yang mempunyai ketinggian setinggi 2900 kaki.

Ekspidisi bermula pada jam 10:30 pagi waktu tempatan dan disertai oleh 9 orang pendaki termasuk Ketua PEMBINA cawangan Hulu Langat, Sdr Aizuddin bin Khalid serta seorang pendaki cilik berumur 11 tahun. Semua peserta berkumpul di kediaman ahli Pembina di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan ke Rembau pada pukul 9:30 pagi. Perjalanan ke Rembau memakan masa selama 45 minit dan cuaca pada hari tersebut seakan berpihak kepada peserta walaupun di dalam cuaca yang tidak menentu dek musim hujan yang sedang membadai seluruh Malaya.



Saudara Abdul Shakur selaku Ketua Ekspidisi untuk misi kali ini telah memberikan beberapa taklimat perjalanan dan keselamatan sebelum diteruskan pula oleh acara warming up oleh seorang wakil peserta daripada UNITEN. Dengan berbekalkan azam, doa dan tawakkal serta sedikit bekalan makanan dan minuman, peserta ekspidisi melangkah gagah meredah hutan belantara untuk menawan puncak Gunung Dato’ ini.

Perjalanan ke puncak diselang-seli dengan Ice Breaking di kalangan peserta. Aktiviti ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk melepaskan lelah dan mengatur kembali nafas setelah bertungkus-lumus meredah trek yang merupakan antara yang tercabar di Malaysia. Setelah 1 jam setengah mendaki dengan penuh kesabaran, para peserta tampak begitu kaget dan terpesona melihat saujana pemandangan yang begitu mengasyikkan. Penat dan lelah seolah-olah terbayar dengan kecantikan yang lama menanti para peserta selama ini.



Peserta mula turun kembali ke kaki gunung setelah melihat awan Columbus yang begitu hitam yang hanya menunggu masa untuk mencurahkan rahmat dari Allah s.w.t. Beberapa keping gambar kenangan sempat diambil untuk ditunjukkan kepada warga Hulu Langat nanti. Dalam perjalanan turun juga, peserta sempat mengalaskan perut dengan beberapa keping roti yang berintikan sardin. Peserta begitu menginsafi akan nikmat sekeping roti yang dikunyah dek kepayahan mendapatkan hidangan yang lazat di tengah hutan belantara tersebut.

Perjalanan untuk turun juga memakan masa selama 1 jam setengah dan peserta terus bergegas memasuki kenderaan masing-masing kerana titisan air hujan mula menyambut kepulangan para pejuang yang baru berjaya melaksanakan misi mereka dengan jayanya. Alhamdulillah, perjalanan naik dan turun selama 3 jam dilindungi oleh Allah dari bahaya dan hujan.

Peserta kembali ke pekan Rembau untuk solat Zohor dan Asar secara jama’ dan qasar di Masjid Rembau dan menyantap makanan tengah hari bersama di sebuah gerai di medan selera Rembau. Sedikit perkongsian dan santapan rohani diberikan setelah peserta menjamah makanan masing-masing. Antara input penting yang diberikan oleh AJK Kreks iaitu Sdr Abdul Hakim adalah mengenai kekitaan (ukhuwwah) diantara sesama Islam. Antara pengajaran lain yang dikongsi bersama adalah sikap bersungguh-sungguh yang perlu ada dalam diri setiap muslim dalam menempuhi cabaran-cabaran di dalam hidup.

PEMBINA DHL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Diharap pada masa akan datang, aktiviti-aktiviti sebegini akan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengisi masa-masa para belia dengan aktiviti yang mampu membina jatidiri sebagai seorang muslim.

Abdul Shakur bin Zamani
AJK Program
PEMBINA DHL








Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Menyambut Lawatan PEMBINA Pulau Pinang Dengan Pengisian Fikri & Jasmani



B.B.Bangi, Sabtu, 14 Nov – Kehadiran PEMBINA Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi dalam satu program jaulah anjuran mereka telah disambut dengan baik & meriah oleh PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL). Di samping menyambut tetamu secara tradisi dengan berta’ruf dan menyampaikan sedikit pengisian & perkongsian pengalaman, PEMBINA DHL turut menghidangkan aktiviti riadah sebagai santapan jasmani buat tetamunya kali ini.

Pertemuan kedua cawangan PEMBINA ini bermula dari petang hingga ke malam. Pada sebelah petang, PEMBINA DHL telah menganjurkan program riadah khas untuk menyambut tetamu-tetamu dari Penang ini. Para beliawanis telah berkumpul di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi untuk beriadah bersama dalam acara-acara sukaneka. Manakala para belia telah disegarkan dengan permainan Futsal 5 sebelah. Permainan Futsal persahabatan ini disusun untuk mempertemukan pasukan Penang menentang tuan rumah dari DHL. Permainan telah dihangatkan dengan pelbagai aksi serta penguasaan permainan yang silih ganti antara pasukan DHL & Penang. Alhamdulillah, PEMBINA P. Pinang telah berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti riadah yang telah dipersembahkan oleh PEMBINA DHL.

Pada sebelah malam pula, PEMBINA P. Pinang telah berpeluang untuk mendengar pengisian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk menyambut tetamu dari utara. Beliau, dalam ucapannya, telah menekankan kepentingan melakukan tugas-tugas memperbaiki & membimbing masyarakat, sebagaimana telah diterangkan dalam satu hadis Rasulullah S.A.W., yang mengibaratkan institusi masyarakat seperti sebuah bahtera yang berlayar. Dr. Kamil, yang merujuk penulisan Muhammad Qutb, turut memberi gambaran-gambaran realiti semasa akibat mengabaikan tanggungjawab sosial dalam memimpin masyarakat berlandaskan agama Islam. Akhir sekali, beliau telah menyeru para hadirin untuk berganding bahu agar bersama memikul bebanan dakwah ini yang tak mungkin mampu dilaksanakan secara berseorangan.

Majlis pada malam tersebut juga telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan PEMBINA DHL, Aizuddin Khalid, yang juga turut meluahkan ikatan perasaanya dengan negeri Pulau Pinang kerana sejarahnya bersekolah di sana serta peranan ayahanda mertuanya yang masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Penang.

Diharap pertemuan yang singkat ini telah cukup untuk menyemai kemanisan iman, pertukaran pengalaman, serta melebarkan rangkaian ukhuwwah dikalangan ahli PEMBINA.





Media PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Tarbiyyah Melahirkan Practitioner


21 Nov 2009 - “Tarbiyyah bukan semata-mata untuk melahirkan ilmuan, tapi untuk melahirkan practitioner Islam”. Begitulah ujar Saudara Aizuddin Khalid, Ketua PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat dalam satu sesi menutup daurah melibatkan mahasiswa KUIS di Bandar Baru Bangi. Beliau merujuk kepada mahasiswa KUIS yang bersemangat melalui pendidikan berteraskan Islam. Beliau juga mengajak para belia khususnya, belia KUIS, untuk bersama-sama menyumbang kepada Islam mengikut kelebihan & kemampuan masing-masing.

Aizuddin yang turut mengambil kesempatan memperkenalkan PEMBINA menerangkan bahawa kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan PEMBINA bertujuan memupuk satu kefahaman atau paradigma kepada para belia mengenai keluasan & praktikaliti Islam dalam segala pengertiannya terutama pada era moden. Beliau juga mengatakan bahawa zaman belia adalah waktu terbaik membangunkan jiwa & potensi diri kerana sifat-sifat istimewa belia yang mampu mendokong ideologi yang diimani. Beliau mengungkap penulisan Hasan Al-Banna yang menggariskan sifat-sifat istimewa belia iaitu:
1. Hati yang cerdik ﺍﻟﻘﻠﺐﺍﻟﺬﻛﻰ
2. Sanubari yang jernih ﺍﻟﻔﻮﺍﺩﺍﻟﺘﻘﻰ
3. Perasaan yang mekar ﺍﻟﺸﻌﻮﺭﺍﻟﻘﻮﻱ
4. Keazaman pemuda ﺍﻟﻌﺰﻣ ﺍﻟﻔﺘﻰ

Para siswa KUIS yang baru sahaja dibentangkan “Tarbiyyah Islam & Madrasah Hasan Al-Banna” menunjukkan keterujaan mereka untuk bersama-sama menjalani aktiviti-aktiviti tarbiyyah serta bersama PEMBINA berdakwah kepada masyarakat khususnya para belia. Semoga PEMBINA akan maju dan berterusan dalam melahirkan generasi Islamik yang dinanti-nantikan masyarakat.



Media PEMBINA DHL



Baca Selanjutnya...

Jamuan Aidilifitri PEMBINA DHL Meriah



Bangi 3 Oktober – Buat julung kalinya, semenjak penubuhan Persatuan Belia Islam Nasional Daerah Hulu Langat (PEMBINA DHL) pada tahun 2008, persatuan ini telah berjaya menganjurkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri. Majlis ini telah diadakan di Dewan Cempaka, Kompleks PKNS Bangi. Majlis tersebut telah mencatatkan kehadiran seramai lebih kurang 300 orang belia dan beliawanis dari institusi-institusi pengajian tinggi sekitar daerah Hulu Langat serta diceriakan lagi dengan kehadiran wakil-wakil organisasi belia dari ABIM Bangi, KARISMA Hulu Langat dan Persatuan Belia Sri Al-Ain (BERSAMA).

Antara objektif majlis ini diadakan adalah untuk mengeratkan ukhuwah di antara para ahli, serta memperkenalkan PEMBINA kepada para belia dan masyarakat.

Majlis tersebut menjadi lebih bermakna dengan kehadiran Pengerusi Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Dr. Tajul Ariffin Bin Noordin sebagai Tetamu Kehormat. Beliau menyatakan kegembiraannya menyaksikan kehadiran belia yang begitu ramai lantas membangkitkan semangat kebeliaan dalam diri beliau. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengingatkan para belia agar belajar berdikari dan jangan menjadikan diri sebagai alat monopoli oleh golongan tertentu seperti yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu.




Tidak ketinggalan ucapan Presiden PEMBINA sendiri, Dr Kamil Azmi Bin Tohiran yang penuh bersemangat, menyeru agar belia bersikap prihatin dengan masyarakat dan persekitaran, bukan hanya memikirkan keperluan diri sendiri sahaja seperti pelajaran dan kerjaya.

Suasana yang diceriakan dengan gurau senda dan senyum tawa para tetamu dimeriahkan lagi dengan persembahan nasyid yang penuh bersemangat dari Kumpulan Nasyid PEMBINA (Kumpulan Sohwah). Tayangan video PEMBINA turut dilayarkan sementara para tetamu menjamu selera dengan juadah Aidilfitri seperti ketupat, rendang, kuah lodeh, kari ayam, dan sebagainya.

Selepas para tetamu menjamu selera dengan juadah yang disediakan, Ketua PEMBINA DHL, saudara Aizuddin Bin Khalid sempat menyampaikan ucapan penutup buat para hadirin. Beliau meletakkan setinggi-tinggi harapan agar para belia dapat menghidupkan budaya “volunteerism” atau sifat kesukarelawanan tanpa mengharapkan imbalan materialisme daripada bakti-bakti yang dicurahkan kepada masyarakat.



Harapan pihak penganjur agar majlis ini berjaya mempertautkan hati tetamu yang hadir dan membuatkan para belia merasa lebih bersemangat untuk menyumbangkan tenaga kepada masyarakat bagi mengembalikan nilai akhlak yang tinggi di kalangan generasi belia kini.


Berita disediakan oleh,
Nor Hasni Hayati Binti Hanapi
PEMBINA DHL




Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL bersama warga kampus UniKL-MFI

Bangi 9 September 2009 - PEMBINA Daerah Hulu Langat telah mengambil bahagian dalam Hari Kesedaran Pengguna Islam anjuran UniKL-MFI dengan membuka gerai jualan dan meja pameran PEMBINA.

Ini merupakan salah satu usaha PEMBINA DHL untuk mendekati warga kampus, dan juga memperkenalkan PEMBINA kepada para pelajar dan staf UniKL-MFI.

PEMBINA DHL sangat berpuas hati dengan sambutan yang memberangsangkan dari siswa-siswi MFI. Sepanjang pameran berlangsung, PEMBINA DHL berjaya menarik sebanyak 19 sukarelawan untuk berdaftar.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak UniKL MFI yang sudi menjemput & memberi ruang kepada PEMBINA DHL membuka gerai serta mempromosikan aktivitinya.

Baca Selanjutnya...

Program Ramadhan: Beliawanis PEMBINA Ceria Bersama Di UNITEN

KAJANG, 4 September 2009 – Satu majlis berbuka puasa telah berjaya dianjurkan oleh ahli-ahli PEMBINA dari kalangan mahasiswi-mahasiswi UNITEN. Tujuan program adalah untuk mempertautkan ukhuwwah antara ahli-ahli PEMBINA, mengalu-alukan kedatangan mereka yang menuntut di IPT lain untuk melawat kampus UNITEN serta memperkenalkan PEMBINA kepada pelajar-pelajar yang berminat menyertainya.

Majlis dimulakan seawal jam 6 petang di tepi tasik UNITEN bagi beramah mesra sesama ahli-ahli PEMBINA yang turut hadir dari insitusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar daerah Hulu Langat seperti Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGM-KPI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program diteruskan dengan berbuka puasa dan solat Maghrib bersama di Masjid UNITEN. Sementara menanti waktu Isyak dan solat Tarawikh, satu sesi penyampaian cenderahati oleh pihak penganjur diadakan. Cenderahati yang disampaikan berbentuk sebatang pen dan pensel yang terukir nama “Universiti Tenaga Nasional”. Majlis kemudian diakhiri dengan salam yang penuh dengan kehangatan ukhuwwah.

Diharap dengan majlis ringkas yang diadakan hasil usaha ahli-ahli PEMBINA di UNITEN ini akan diselit dalam lipatan kenangan semua yang menghadirinya dan menjadi pendorong untuk sama-sama memajukan belia di peringkat IPT masing-masing.


Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Beramah Mesra Dengan Mahasiswa MMU Cyberjaya

Cyberjaya, 2 September 2009 – Satu majlis ramah mesra antara wakil-wakil PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) dan mahasiswa Multimedia University (MMU) Cyberjaya telah berjaya dilangsungkan di Surau MMU. Tujuan program adalah untuk mempertautkan ukhuwwah antara PEMBINA DHL dan ahli-ahli PEMBINA dari kalangan mahasiswa MMU, disamping memperkenalkan PEMBINA kepada pelajar-pelajar yang berminat menyertainya. Ia juga merupakan salah satu program yang dirancang oleh ahli-ahli PEMBINA di MMU sempena bulan Ramadhan.

Program ini telah bermula dengan majlis iftar diikuti solat Maghrib dan makan malam bersama. Program diteruskan dengan satu sesi ringkas memperkenalkan PEMBINA yang disampaikan sendiri oleh Ketua PEMBINA DHL , Saudara Aizuddin Khalid. Beliau telah memperkenalkan PEMBINA sebagai sebuah persatuan belia unik yang menganjurkan program-program untuk menyalurkan tenaga belia yang dinamik dan bersemangat untuk manfaat Islam.


Alhamdulillah, majlis ramah mesra ini berjalan dengan baik dan berjaya mencapai objektifnya. PEMBINA DHL mendoakan ahli-ahli PEMBINA di MMU terus maju mempelopori amal-amal Islam di MMU serta menjadi qudwah yang baik dalam akademik, peribadi dan amal Islami secara amnya.

Baca Selanjutnya...

Menyelusuri Dan Menghayati Kemuliaan Dan Kelebihan Bulan Ramadhan Di Daurah Ramadhan


BANDAR BARU BANGI; 22 & 23 OGOS (SABTU DAN AHAD), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) telah berjaya menganjurkan satu program sempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak iaitu program DAURAH RAMADHAN. Program istimewa ini telah diadakan di Pejabat ISMA Daerah Hulu Langat dengan kehadiran seramai 31 beliawanis sekitar Daerah Hulu Langat.

Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan ialah Pengisian tentang Kesyumulan Islam, Mengenal Allah dan Cara Mendekatkan Diri dengan Allah. Bengkel tentang realiti kehidupan beliawanis di masa kini juga turut dikupas secara dekat dengan kehidupan sebenar pelajar pada masa kini. Daripada bengkel ini kebanyakan para peserta sebelum ini kadang-kadang tidak mengetahui cara penyelesaian kepada satu-satu situasi ketika mereka hadapi. Namun, setelah diberi maklumat dan pengetahuan melalui kajian kes, mereka dapat memahami suatu keadaan dengan jelas dan mengetahui bagaimana langkah yang tepat dan betul seperti yang digariskan oleh syariat cara terbaik untuk menghadapinya. Selain solat berjemaah bersama-sama, para peserta juga sempat membaca ayat suci Al-Quran sebanyak satu juzuk seorang. Selain itu,para peserta juga turut mengisi borang mutabaah Ramadhan agar masing-masing dapat buat semakan diri untuk peningkatan diri dari segi amal ibadah di bulan barakah ini. Semangat berlumba-lumba untuk buat amal kebajikan amat terserlah di kalangan semua beliawanis yang hadir hasil daripada sesi muhasabah tersebut. Yang paling menarik adalah aktiviti berjalan kaki bersama-sama ke Masjid Hasanah yang terletak berdekatan dengan pejabat untuk iftar, solat maghrib, isyak dan tarawikh di sana.


Usai solat tarawikh, para peserta berjalan kaki beramai-ramai pulang ke pejabat ISMA DHL untuk menikmati jamuan moreh dan meraikan hari ulang tahun kelahiran Ukht Shazamawati, ahli senior PEMBINA yang mesra dikenali sebagai Kak Shaza. Mereka semua berpeluang merasai kek batik dan air bandung cincau ais yang disediakan khas sempena hari ulang tahun kelahiran beliau. Disamping menikmati jamuan tersebut, para peserta sempat mengambil peluang untuk saling berkenalan dan bersilaturrahim antara mereka. Secara tak langsung, program ini dapat memantapkan ukhuwwah sesiapa yang hadir.

Para peserta juga mengambil sedikit masa membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Kemudian, Daurah Ramadhan diteruskan dengan qiamullail di sepertiga malam dan seterusnya solat subuh secara berjemaah. Usai solat subuh, para peserta dan ajk mengisi masa dengan membaca mathurat beramai-ramai. Mereka semua juga berkesempatan untuk solat dhuha berjemaah sebelum pulang ke tempat masing-masing. Semoga segala aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat dan semangat kepada para peserta dan ajk untuk terus menambah amalan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya ingin mengambil peluang ini sebagai wakil daripada kumpulan Media, Teknikal dan Dokumentasi kami ingin mengucapkan Ramadhan Kareem... Moga ramadhan kali ini (1430H) adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Siti Nurfarehan
Wartawan
Media, Teknikal dan Dokumentasi Pembina DHL

Baca Selanjutnya...

PEMBINA Timba Pengalaman Serantau di Program BAS MABIMS 2009



6-14 Ogos 2009 – Hasil kesinambungan daripada program kembara dakwah JAKIM baru-baru ini, 4 orang ahli PEMBINA telah berpeluangmenyertai program Bas Belia MABIMS 2009 yang bertempat di Singapura dan Malaysia yang melibatkan penyertaan belia-belia Negara anggota MABIMS. Program yang julung-julung kali diadakan ini telah dicetuskan oleh anggota mesyurat MABIMS hasil daripada perbincangan menteri agama anggota MABIMS yang bertujuan untuk membentuk pelapis dalam kepimpinan belia serta memberi peluang kepada peserta untuk salingbertukar-tukar pendapat dalam usaha melahirkan golongan belia muslim yang unggul di kawasan negara-negra serumpun. Usahama yang telah diadakan antara kerajaan singapura dan Malaysia sebagai penganjur tahun ini telah menghasilkan satu natijah yang cukup bermakna kepada para peserta dimana mereka berpeluang untuk berbincang strategi-strategi dakwah di negara masing-masing terutamanya dalam penggunaan teknologi serta media elektronik bertepatan dengan tema “ Peggunan media baru dan teknologi bagi mendekati golongan belia”.



Semasa program tersebut berlangsung, alhamdulillah penulis dapat mengambil peluang berkongsi pengalaman dan idea bersama salah sorang mahasiswa Singapura semasa kami dalam perjalanan ke Putrajaya. Apa yang menarik untuk dikongsi bersama ialah tentang bagaimana usaha mahasiswa islam disana mendalami ilmu agama dalam keadaan negara yang diterajui oleh system secular serta terdapatnya kawalan yang agak ketat jika dibandingkan dengan Malaysia. Walaupun mereka tidak berpeluang menikmati system pengajian islam secara formal di sekolah-sekolah dan IPT, mereka mengambil inisiatif sendiri untuk menghadiri sesi kuliah yang diadakan di masjid-masjid pada setiap minggu. Kesungguhan mereka dalam mendalami agama tersebut akhirnya menghasilkan golongan yang betul-betul menghargai perkongsian ilmu serta berjaya menerapkan penghayatan nilai-nilai islam dalam kehidupan mereka. Disamping itu, penulis juga tertarik dengan aktiviti-aktiviti serta pendekatan dakwah yang dijalankan oleh persatuan belia di Singapura dimana mereka menggunakan nama-nama program yang kreatif dan mudah diterima oleh golongan muda pada masa kini. Antara program mereka seperti Ramadhan rock, Night of Power, Movie Marathon, Ramadhan Youth challenge (RYC), muslim youth sport extravaganza (MYSPEX), living Islamic value everyday (ALIVE) telah berjaya menarik minat belia-belia islam untuk mengikuti pengisian agama serta menerima mesej-mesej islam untuk diaplikasikan dalam kehidupan harian mereka.

Disamping perbincangan dan perkongsian, para peserta telah diberi peluang untuk turut serta dalam siri lawatan ke beberapa tempat di sekitar johor,Melaka, dan Selangor. Antaranya ialah Putrajaya, USIM, IKBN Dusun Tua, Sungai Gabai (aktiviti jungle tracking), perkampungan orang asli, Darul Quran JAKIM, pusat hub Halal Jakim dan PWTC (bersempena majlis tilawah al-quran peringkat antarabangsa). Walaupun jadual aktiviti yang padat dan meletihkan, kegembiraan jelas terpancar dikalangan peserta kerana dapat membina satu hubungan dan ukhwah islamiyyah yang erat walaupun dari berlainan negara, warna kulit serta perbezaan loghat bahasa . Kami yakin bahawa kesatuan umat ini lah akan memberi mekanisme baru kepada kekuatan umat islam dalam usaha meletakkan islam sebagai agama yang agung. “Al-islam ya’lu wa yu’ la alaih..”


Lawatan ke perkampungan orang asli


Jungle tracking di Kawasan sungai Gabai



Kenangan bersama delegasi Indonesia.


Lawatan ke Putrajaya


Persidangan tidak rasmi.


Majlis Ulangtahun MABIMS ke-20,PWTC

Pada hari terakhir program, para peserta sempat menghadiri majlis ulang tahun MABIMS ke-20 yang telah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato Jamil Khir Bahrom di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. Pada sesi majlis tersebut para peserta telah menerima cenderahati daripada pihak penganjur serta pengumuman negara Brunei sebagai tuan rumah MABIMS tahun 2010. Semoga melalui program sebegini, pimpinan belia islam dapat mencapai resolusi yang efektif dalam meghidupkan ruh islam dalam jiwa-jiwa pemuda/i dalam menongkah arus kemajuan pada masa kini. Wallahua’lam.


Disediakan oleh:
Muhamad Syakir bin Ibrahim
PEMBINA-DHL
KP PEMBINA-MIAT
Baca Selanjutnya...

Lawatan Mahabbah PEMBINA DHL ke IPGM-KPTEK


Pada 12 Ogos lalu, satu rombongan wakil PEMBINA Daerah Hulu Langat telah mengadakan lawatan tidak rasmi bertemu pihak jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP) Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) Kampus Pendidikan Teknik (KPTEK) di Surau Asy-Syakirin KPTEK Cheras.

Pertemuan tersebut berlangsung bagi membincangkan hala tuju dan aktivisme ahli-ahli PEMBINA di KPTEK. Pihak HEP KPTEK amat mengalu-alukan penglibatan PEMBINA dalam membina syakhsiah dan komitmen belia kepada agama dan negara, khususnya para bakal guru Malaysia. Pertemuan tersebut berjaya menjalin hubungan dan persefahaman antara PEMBINA dan HEP KPTEK disamping memberi pengenalan & penjelasan tentang aktiviti PEMBINA. HEP KPTEK juga telah mengeluarkan beberapa cadangan bernas bagi mencapai dan menggalakkan para bakal guru di seluruh Malaysia untuk menyertai PEMBINA di samping membina hubungan erat dengan jabatan pendidikan Islam dan moral IPGM seluruhnya.


Pertemuan dengan HEP telah disusuli dengan satu pertemuan ringkas dengan belia-belia kelab surau Asy-Syakirin KPTEK yang turut mengalu-alukan kedatangan PEMBINA dan mengharapkan kerjasama rasmi di masa akan datang antara pihak surau & PEMBINA. Para wakil PEMBINA amat terharu dengan layanan yang diberikan oleh pihak HEP dan para pelajar KPTEK.



PEMBINA DHL mendoakan kecemerlangan IPGM, khususnya KPTEK, dan berdoa agar IPGM akan melahirkan para guru yang berkaliber yang bukan sekadar mampu menyampaikan ilmu, tapi membangkitkan kesungguhan dan nilai-nilai Islam dalam generasi anak-anak murid mereka.
Baca Selanjutnya...