Mesyuarat Jawatankuasa PEMBINA DHL dipengerusikan Ketua Cawangan Baru



Mesyuarat terbaru AJK PEMBINA DHL pada 4/8/2009 telah dipengerusikan Ketua PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) yang baru iaitu Saudara Aizuddin b Khalid. Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat pertama yang dipengerusikan beliau semenjak peralihan portfolio yang berkuatkuasa pertengahan Julai lalu. Dalam ucapan pendahuluan mesyuarat tersebut, Saudara Aizuddin telah berpesan agar para ahli jawatankuasa PEMBINA DHL berlaku amanah, berakhlaq, bekerja dan ikhlas dalam amal. Beliau juga telah mengajak para AJK agar menghidupkan budaya berorganisasi disamping menjiwai objektif dan sasaran PEMBINA DHL dan bersungguh-sungguh menjayakannya. Beliau juga menyeru agar setiap biro bekerja dengan cergas, responsif dan penuh tanggungjawab kerana tugasan ini adalah amanah dari umat Islam.

Semoga barisan jawatankuasa PEMBINA DHL pimpinan Saudara Aizuddin akan meneruskan kecemerlangan dan meningkatkan prestasi dan pencapaian PEMBINA DHL. PEMBINA DHL bercita-cita menggarap seramai mungkin belia dan mahasiswa sekitar daerah Hulu Langat untuk menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Baca Selanjutnya...

Ubat yang merosakkan



Artikel kali ini menyentuh tentang pengalaman penulis ketika berada dalam pengajian tahun 3 sebagai pelajar perubatan. Mudah-mudahan dapat diambail pengajaran dan manfaat supaya tahap pengetahuan masyarakat dapat dipertingkatkan seterusnya dapat mengelakkan penyakit-penyakit yang boleh dicegah (preventable disease).

Seorang pelajar yang berumur sekitar 17 tahun, belajar di politeknik di salah sebuah negeri di utara Malaysia dimasukkan ke dalam wad setelah mengadu tidak dapat buang air kecil dan kakinya semakin membengkak.

Doktor pakar buah pinggang (nephrologist) yang bertugas ketika itu berkata pesakit ini mengalami kegagalan buah pinggang kesan daripada pengambilan ubat yang salah dan memerlukan pembedahan untuk pemindahan buah pinggang (renal transplant).

Doktor pakar ketika itu meminta saya membawa pesakit berjumpa dengan seorang pesakit lain yang telah menjalani pemindahan buah pinggang untuk bertanya bagaimana taraf kehidupan (quality of life) selepas menjalani pembedahan tersebut.

Ketika dalam perjalanan membawa pesakit itu, saya sempat bertanya, bagaimana beliau boleh mendapat masalah kegagalan buah pinggang untuk berfungsi sedangkan beliau masih muda, tidak ada sebarang penyakit buah pinggang keturunan dan tidak ada penyakit-penyakit lain.


Beliau menerangkan, ayah beliau mempunyai penyakit Gout, (tinggi paras asid urik dalam darah) yang boleh menyebabkan sakit batu karang serta bengkak tangan dan kaki. Ayah beliau sedang menjalani rawatan untuk penyakit tersebut. Pada suatu hari, beliau mengadu mengalami sakit di bahagian kaki. Ayah beliau terus menyatakan bahawa beliau juga mengidap Gout dan memberi makan ubat yang sama. Ubat penyakit Gout, mempunyai kesan menghilangkan sakit (pain killer). Kesannya, pelajar itu rasa sakitnya hilang dan yakin dengan diagnosis yang diberikan oleh bapanya. Kesannya, mreka berdua makan ubat yang sama secara berterusan.

Bila saya tanya, macam mana boleh dapat ubat Gout daripada farmasi sedangkan beliau tiada preskripsi doktor, beliau berkata beliau menggunakan preskripsi bapanya. Akhirnya, si anak mengalami kegagalan fungsi buah pinggang kerana ubat yang digunakan tidak bersesuaian dengannya.

Isu-isu pengajaran

Tugas untuk men’diagnose’ sesuatu penyakit harus diberikan kepada doktor terlebih dahulu kerana mereka dilatih untuk mengesan penyakit (paling kurang penyakit-penyakit biasa). Saya tidak menyatakan bahawa tidak boleh berjumpa dengan pakar-pakar yang bukan doktor, tetapi setidak-tidaknya berjumpa lah doktor dahulu untuk kita mengeluarkan (exclude) penyakit-penyakit yang biasa (common) daripada senarai kemungkinan.

Setiap ubat mempunyai kesan rawatan (theraputic effect) dan kesan sampingan (side effect). Justeru, untuk mengambil ubat, nasihat doktor dan ahli farmasi adalah penting supaya kesan toksid daripada ubat-ubatan dapat dielakkan. Seseorang pesakit tidak boleh menggunakan preskripsi ubat orang lain untuk mendapatkan ubat untuk dirinya kerana penyakit yang dialami mungkin berbeza walaupun simptom-simptom yang dihadapi sama.

Mudah-mudahan coretan pengalaman ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca seterusnya diambil manfaat bagi menjauhi penyakit-penyakit yang boleh dielakkan. Sesungguhnya mencegah itu jauh lebih baik daripada merawat.


Naim Yaakob

PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM
Baca Selanjutnya...

Trip Mesra PEMBINA Mantapkan Ukhuwah Semarakkan Dakwah

HULU LANGAT, 1-2 Ogos - Beliawanis Pembina DHL telah mengambil inisiatif untuk mengadakan satu jaulah ke Pusat Dakwah Islamiah Paroi, Negeri Sembilan bersempena Malam Aspirasi Seni 2009:Bersamamu Palestin yang dianjurkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia Negeri Sembilan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional Negeri Sembilan (Pembina N9), Aman Palestin Berhad dan Gabungan NGO Dakwah Negeri Sembilan.


Jaulah ini dinamakan TRIP MESRA PEMBINA atau lebih dikenali dengan TMP yang dihadiri oleh golongan pelajar dan beliawanis sekitar Daerah Hulu Langat. Program bermula pada jam 3.00 petang hari sabtu dan berakhir pada jam 8.00 pagi hari ahad ini telah membuka banyak peluang dan ruang kepada para peserta untuk menjalinkan ikatan ukhuwah, berkongsi ilmu dan pengetahuan serta memperluaskan jaringan PEMBINA IPT.

Program ini bermula dengan pendaftaran peserta di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi pada pukul 3 petang. Penglibatan peserta amat memberangsangkan dimana seramai 56 orang peserta dari UKM, UNITEN, IPIS, UPM, KPTM, KUIS, IPTEK, HUKM, UNIKL-MIAT dan terrmasuk luar daerah iaitu UITM Shah Alam telah mendaftrkan diri. Para peserta telah didedahkan dengan Pengenalan PEMBINA dan program-program yang telah dijalankan oleh PEMBINA. Selain itu, para peserta juga diberi sedikit pengisian rohani tentang Hadis 12-IMAM NAWAWI oleh pensyarah UNITEN iaitu Dr. Fazrena Azlee Hamid. Seterusnya sesi ice-breaking bersama semua peserta diadakan dimana setiap peserta dikehendaki mencari dan mengenali peserta-peserta lain dalam 10 minit. Alhamdulillah, semua peserta dapat berinteraksi dan berkenalan sesama mereka dengan baik walaupun dalam masa yang singkat.

Usai solat asar berjemaah, kira- kira jam 5.30 petang, trip ke Malam Aspirasi Seni Bersamamu Palestin di Paroi, Negeri Sembilan bermula dengan sebuah bas dan 3 buah kereta dan sampai kira-kira jam 7.00 petang. Para peserta sangat teruja apabila melihat Pusat Dakwah Islamiah Paroi dilimpahi dengan orang ramai sejak awal petang tersebut.Para peserta sempat mengabadikan kenangan di sini sebelum makan malam dan solat maghrib berjemaah. Malam Aspirasi Seni dimulakan kira-kira pukul 8.30 malam dan berakhir jam 11.00 malam dengan perkongsian maklumat tentang Palestin kini oleh Mejar Nadzri Munsman iaitu Perunding Aman Palestin, Deklamasi Sajak oleh kumpulan Gapena dan persembahan nasyid dari Muadz. Selain itu kutipan dana juga turut dilancarkan pada malam tersebut. Trip pulang kami sampai di Bandar Baru Bangi kira-kira 12.30 pagi.

Sesi qiamullail bermula jam 5.00 pagi dan disusuli dengan solat subuh berjemaah dan tazkirah subuh mengenai tokoh Zainab oleh pelajar dari IPIS iaitu Nurul Azizah Omar. Semua peserta menikmati sarapan pagi sekitar jam 7.00 pagi dan bersiap untuk pulang ke tempat masing-masing pada pukul 8.00 pagi. Semoga ukhuwah, pengalaman dan kenangan yang terbina semasa trip ini berkekalan dan akan berterusan di program-program akan datang. InsyaAllah


Siti Nurfarehan bt Samsurkhar
Wartawan
Kumpulan Media Pembina DHL

Baca Selanjutnya...

Futsal PEMBINA DHL Erat Jalinan Mahasiswa Pelbagai IPT


Bandar Baru Bangi, 25 Julai 2009 – Satu program yang diberi nama “Tautan Hati” telah berlangsung di Megah Futsal, Bandar Baru Bangi baru-baru ini. Program yang dikendalikan oleh PEMBINA DHL tersebut telah berjaya mengumpulkan 30 orang mahasiswa dari MIAT, UPM dan UNITEN dimana melibatkan sukarelwan-sukarelawan PEMBINA dan mahasiswa yang baru berdaftar di IPT masing-masing. Antara tujuan program ini diadakan adalah untuk merapatkan hubungan sukaralewan dengan mahasiswa dari IPT yang berbeza disamping memperkenalkan PEMBINA sebagai platform yang mebudayakan aktiviti berpersatuan dikalangan mahasiswa.


Program yang berbentuk riadah Futsal tersebut telah mendapat sambutan yang baik dikalangan peserta dimana 6 kumpulan telah dibentuk untuk bertanding selama 7 minit bagi setiap perlawanan. Walaupun kumpulan tersebut terdiri daripada peserta IPT yang berbeza, semangat berpasukan dan ikatan ukhuwah sesama mereka jelas terpancar dalam masa yang singkat. Ini kerana, sebelum perlawanan tersebut diadakan, pihak penganjur telah mengadakan sesi taaruf ringkas dikalangan peserta sebelum dipecahkan kepada kumpulan-kumpulan tertentu. Kesinambungan daripada sesi perkenalan itu juga telah memberi peluang kepada peserta-peserta untuk berkongsi pengalaman tentang kehidupan di kampus masing-masing kepada adik-adik yang baru menempuh alam mahasiswa serta bertukar-tukar pendapat tentang budaya dan peranan mahasiswa di kampus masing-masing.



Alhamdulillah, setelah sejam perlwanan tersebut berlangsung, tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan kesemua peserta berharap perlwanan seperti ini diadakan lagi pada masa hadapan. Dikesempatan ini juga, pihak penganjur ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga sesi perkenalan dan semangat berpasukan ini akan menjadi satu kekuatan kepada belia khusunya untuk memimpin masyarakat kelak. InsyaAllah..

Disediakan oleh:

Mohd Syakir bin Ibrahim
KP PEMBINA-MIAT



Baca Selanjutnya...

Program Kembara Dakwah JAKIM - Catatan II

Hari Keempat
Jam 8.00 pagi, rombongan memulakan perjalanan menuju Alor Setar, Kedah untuk lawatan ke negeri Kedah Darul Aman. Rombongan singgah di Kawasan Rehat Tapah dan Kawasan Rehat Gunung Semanggol sebelum tiba di Kompleks Hijau Kuning untuk makan tengahari.

Figure 6 Kenangan di Alor Setar, Kedah

Jam 2.30 petang, rombongan dibawa untuk lawatan sosial ke Muzium Padi Gunung Keriang dan kompleks beli-belah Pekan Rabu. Sambil membeli-belah, peserta diberikan tugasan khas untuk berinteraksi dengan para pelawat di sana. Jam 9.00 malam, aktiviti seterusnya diadakan dalam kumpulan yang telah diwujudkan. Tugasan pertama, membentangkan peringkat-peringkat nafsu iaitu Nafsu Amarah, Nafsu Lawammah dan Nafsu Mutmainnah. Tugasan kedua pula, setiap kumpulan harus membina satu pulau dengan ciri-ciri yang diinginkan dalam sebuah negara dan membentangkannya kepada peserta yang lain untuk dibincangkan. Aktiviti berakhir jam 11.00 malam.


Hari Kelima
Rombongan meneruskan perjalanan ke Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (PUSBA), Sungai Petani. Rombongan tiba jam 9.00 malam dan disambut dengan mesra oleh warga PUSBA. Pengetua PUSBA dan pihak urusetia program memberikan ucapan alu-aluan dan diikuti dengan minum pagi. Peserta mengambil peluang beramah mesra dengan pelajar PUSBA yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muallaf yang baru berjinak-jinak dan ingin mendalami agama Islam.

Aktiviti disambung dengan Forum bertajuk “Menjana Insan Gemilang” dengan ahli panel dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Perak. Tamat forum, para hadirin menikmati jamuan makan tengahari dan menunaikan solat di surau PUSBA. Sebelum berangkat pulang, pihak PUSBA berbesar hati menghadiahkan buah tangan berupa gelas minuman kepada setiap peserta Kembara Dakwah. Perjalanan disambung ke ILIM pada jam 2.30 petang. Rombongan singgah di Kawasan Rehat Tapah dan mengharungi kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya ELITE sebelum tiba di ILIM pada jam 8.00 malam.

Jam 9.00 malam, para peserta bersama-sama bertukar jd “chicken ” untuk membina keyakinan diri dalam menjalankan aktiviti dakwah Islamiyah. Selepas itu, setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyediakan logo kumpulan, lagu kumpulan dan hukuman untuk setiap kesalahan yang dilakukan dalam aktiviti-aktiviti kumpulan.

Hari Keenam
Perjalanan diteruskan ke Pusat Pemantapan Akidah, Jelebu, dengan melalui kawasan peranginan Sungai Tekala, Semenyih. Rombongan tiba di PPAJ pada jam 10.00 pagi, dan taklimat diberikan oleh pengurusan PPAJ sebelum aktiviti Kembara Minda diadakan. Kembara Minda melibatkan aktiviti fizikal, merentas hutan belantara di luar PPAJ dan menjalankan tugas di setiap “check point” yang ditetapkan.

Figure 7wajah-wajah ceria dan letih dari peserta..

Petangnya dihiasi dengan aktiviti sukan, iaitu bola tampar dan futsal. Sebelah malam, persembahan kumpulan dan hidangan BBQ. Selain itu, hadiah turut disediakan untuk pemenang setiap aktiviti. Persembahan terbaik dimenangi oleh kumpulan Salahuddin dan kumpulan terbaik aktiviti Kembara Minda dimenangi oleh kumpulan Belia 3B, walaupun kumpulan tersebut paling lewat menamatkan kembara. Para peserta juga diberikan peluang untuk berkaraoke dengan alunan lagu-lagu nasyid.

Hari ketujuh
Peserta bergerak pulang ke ILIM pada jam 9.00 pagi dan tiba lebih kurang jam 11.00 pagi. Tengah hari, aktiviti kumpulan diadakan dengan setiap kumpulan ditugaskan menjalankan analisis SWOT yang merangkumi strength-kekuatan, weakness-kelemahan, opportunity-peluang, dan threat-ancaman.
Aktiviti petang adalah lawatan sosial ke kompleks beli-belah Alamanda Putrajaya. Setiap kumpulan diberikan sejumlah wang untuk dibelanjakan dan memerhatikan tingkah laku masyarakat di kompleks tersebut. Kami pulang ke ILIM pada jam 6.00 petang.
Sebelah malam, setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyiapkan laporan aktiviti sepanjang Kembara Dakwah untuk diserahkan kepada urusetia program, selain menikmati makanan ringan daripada bungkusan-bungkusan hadiah yang diterima di PPAJ.

Hari kelapan
Perasmian penutup dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim. Sijil penghargaan diberikan kepada setiap peserta program.

Peserta terbaik lelaki dimenangi oleh Mohd Hamdan bin Mohd Sharif dari Persatuan Belia Islam Nasional, manakala peserta terbaik wanita dimenangi oleh Nur Hazwani binti Abdul Rani dari Universiti Putra Malaysia.

Kumpulan Terbaik diangurerahkan kepada kumpulan I U Islam, dan Kumpulan Popular dimenangi oleh kumpulan Salahuddin. Tamat majlis, para peserta beramah mesra dan bertukar-tukar maklumat untuk aktiviti seterusnya di kemudian hari.

Insya Allah, kami akan bersama lagi untuk Kembara Belia MABIMS bulan hadapan, dengan turut disertai rakan-rakan peserta dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura.

Mohd Syakir bin Ibrahim
KP PEMBINA-MIAT
Baca Selanjutnya...

Seminar Budaya IPT: PEMBINA IPGM-KPI Mengorak Langkah


Pada 20 Julai 2009 yang lepas, Institut Perguruan Pendidikan Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGM KPI) dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) telah menganjurkan satu Satu Seminar Budaya di IPT dan Peranan Mahasiswa untuk pelajar-pelajar ambilan baru sesi Julai 2009.

Seminar tersebut adalah di bawah anjuran Biro Kebudayaan dan Kesenian IPGM KPI dan PEMBINA dan bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar-pelajar baru tentang budaya dan cara hidup yang berlandaskan Islam di IPT dan peranan yang dituntut sebagai insan bergelar mahasiswa, selain memperkenalkan PEMBINA kepada mereka.


Pengisian telah disampaikan oleh penceramah jemputan daripada PEMBINA Gombak iaitu saudara Usamah. Pengisian berkisar tentang tabiat mahasiswa yang sepatut dan tidak sepatutnya, budaya dalam pendidikan, serta peranan dan langkah pelajar sebagai mahasiswa dan umat bangsa yang hebat.

Sambutan daripada para pelajar amat menggalakkan dan ramai antara mereka yang telah mengisi borang sukarelawan PEMBINA.


Seminar yang telah dianjurkan merupakan aktiviti julung kali di bawah PEMBINA IPGM KPI dan banyak memberikan pengalaman dan pengajaran kepada ahli-ahli PEMBINA IPGM KPI yang telah berkerjasama dalam menjayakannya.

Semoga seminar tersebut menjadi titik tolak kepada bertapaknya PEMBINA di IPGM KPI dengan lebih meluas dan lebih rasmi.

PEMBINA IPGM KPI,
Akh Husain
Baca Selanjutnya...

Program Kembara Dakwah JAKIM - Catatan I

3-10 Julai 2009 - Tiga orang ahli PEMBINA DHL telah berkesempatan menghadiri program kembara dakwah yang telah dianjurkan oleh pihak JAKIM. Program yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak JAKIM tersebut melibatkan pimpinan mahasiswa dan belia di sekitar lembah kelang. Antara persatuan dan institusi yang menyertai program ini adalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Kolej Darul Hikmah, Darul Quran, KLIUC, UPM, Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA), Persatuan Belia Masjid Selangor(PBMS) dan juga sebilangan peserta dari JAKIM sendiri.

Figure 1 Dari kiri : Zuhdi (Pembina DHL), Hamdan (Pembina Melaka), Usamah (Pembina KL), suria (Pembina KL), Syakir (Pembina DHL), Aizam (Pembina Melaka), Zulfakar (Pembina DHL)

Hari Pertama
Pendaftaran para peserta dijalankan di foyer Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), diikuti dengan taklimat pertama program pada jam 5.00 petang. Para peserta kemudiannya ditempatkan di Asrama ILIM untuk keseluruhan seminggu tempoh program berlangsung. Jam 9.00 malam, sesi “ice-breaking” diadakan dengan para peserta memperkenalkan diri masing-masing dan persatuan yang diwakili. Alhamdulillah, pada malam tersebut juga kami dapat bertemu ahli-ahli pembina yang lain (Hamdan, Aizam) PEMBINA MELAKA dan(Usamah , Suria) KUALA LUMPUR. Setelah selesai sesi ice breaking, para peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli IPT dan persatuan yang berbeza. Sesi berakhir jam 11.00 malam.

Hari Kedua
Para peserta mengadakan aktiviti “senam seni” bersama Ketua Pengarah Operasi JAKIM pada jam 8.00 pagi. Walaupun agak kekok melakukan senaman ala aerobic,kami berpuas hati kerana dapat berpeluh setelah sekian lama ‘bercuti’ di rumah masing-masing. Kemudian, Ketua Pengarah Operasi JAKIM melepaskan peserta dalam satu acara simbolik perlepasan para peserta program Kembara Dakwah.


Jam 11.00 pagi, para peserta dibawa ke dua masjid utama di Kuala Lumpur iaitu Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan dengan diiringi pasukan Polis Trafik. Tiba di Masjid Negara, peserta dibawa ke Dewan Persidangan untuk taklimat oleh pihak pengurusan Masjid Negara. Para peserta menikmati makan tengahari sebelum dibawa oleh pemandu pelancong melawat kawasan masjid seperti Dewan Solat Utama dan Makam Pahlawan.

Selepas Solat Zohor di Masjid Negara, para peserta dibawa pula ke Masjid Wilayah Persekutuan. Taklimat diberikan oleh pihak pengurusan masjid, dan sesi tersebut diakhiri dengan pemberian cenderamata istimewa, iaitu senaskhah Al-Quran Mashaf Malaysia untuk setiap seorang peserta Kembara Dakwah. Hidangan minum petang yang enak telah disediakan untuk para peserta.

Kemudian, para peserta dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar masjid seperti Dewan Pernikahan, dataran masjid, dan Dewan Solat Utama. Kami menunaikan Solat Asar di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum kembali ke ILIM untuk aktiviti sebelah malam.
Sebelah malam selepas solat Isyak, aktiviti dalam kumpulan dijalankan, dengan tujuan untuk memantapkan semangat berpasukan antara setiap ahli yang telah dibahagikan kepada 4 kumpulan: I U Islam, Raudhatus Sakinah, Belia 3B dan Salahuddin. Aktiviti berakhir jam 11.00 malam.

Hari Ketiga
Rombongan melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Melut, Dengkil. Pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka dan jamuan makan bersama masyarakat Orang Asli. Petangnya, peserta program menjalankan tugas menghantar bungkusan barang makanan kepada setiap rumah untuk merapatkan hubungan dan mendekatkan masyarakat Orang Asli kepada agama Islam.


Sebelah malam, sesi Iktibar Kehidupan diadakan dengan para peserta dibawa mendalami asal usul kejadian sebagai manusia. Sesi yang penuh emosi ini, berjaya meruntun hati setiap peserta untuk menghargai kejadian sebagai manusia, dan menghargai kesusahan orang lain, iaitu ibu dan bapa dalam membesarkan kita sebagai amanah daripada Allah S.W.T.
Baca Selanjutnya...