RETREAT 2010 “MEMACU AKTIVISME BELIA”

Anjakan proaktif PEMBINA Bangi dalam menyumbang kepada usaha pembinaan generasi belia yang mampu menjadi aset bernilai tinggi kepada Islam, negara dan bangsa diperkemaskan lagi dengan mengadakan Retreat 2010 dengan tema “ Memacu Aktivisme Belia” pada 28 Februari 2010 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi.




Para beliawanis bersama menyumbang ideaPeserta belia mendengar penerangan


Dengan objektif memupuk kefahaman mengenai kepentingan aktivisme belia dan menyusun program-program sepanjang tahun 2010, memperkenalkan jawatankusa PEMBINA BANGI 2010 dan halatuju PEMBINA, seramai 30 orang ahli PEMBINA Bangi dari seluruh Bangi termasuk siswa-siswi dari institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Bangi hadir memberi komitmen untuk bersama-sama melontar idea dan bekerjasama untuk menjayakan program-program PEMBINA merangkumi program PEMBINA peringkat cawangan dan IPT. Diskusi memfokuskan kepada program-program cawangan dan perancangan setiap biro bagi takwim PEMBINA Bangi 2010.

Pemilihan tema Retreat pada tahun 2010 iaitu ‘Memacu Aktivisme Belia” adalah sinonim dengan matlamat dan halatuju PEMBINA. Peri pentingnya melahirkan generasi belia yang mempunyai nilai jati diri yang mantap, berkeperibadian mulia, berilmu pengetahuan dan kemahiran tersendiri adalah bagi menyediakan golongan pewaris yang bakal menentukan warna-warni dan corak hala tuju kemajuan negara, bangsa dan agama kelak.

Kejayaan sesebuah organisasi bukan terletak pada kebolehan ahli-ahli melaksanakan segala arahan, namun ia terletak pada penjiwaan ahli-ahli terhadap agenda organisasi tersebut. Seruan ini adalah antara intipati penting ucapan Ketua Cawangan, Saudara Aizuddin Khalid dalam Retreat 2010. Alhamdulillah, segala perancangan telah direncanakan dengan sebaik mungkin dalam Retreat kali ini dan penterjemahan perancangan itu pastinya bergantung kepada action dan usaha ahli PEMBINA sebagai aktivis dan menyediakan diri sebagai volunteer kepada aktivisme. Peranan ahli PEMBINA dalam memacu aktivisme belia adalah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan perancangan tersebut, namun hasilnya milik Allah kerana dakwah itu milikNYA.

Ayuh! Belia dan Beliawanis PEMBINA, persiapkan diri. Mulakan langkah jika belum bermula, teruskan langkah dan usah berundur jika telah bermula dalam menjadikan diri sebagai permata belia negara, bangsa dan agama.




Setiausaha, Noorazilawati menyampaikan idea-idea kumpulannya
Saudara Rusman tekun menghadap laptop


Hakim & Nazmie dari Sohwah mendendangkan nasyid buat para hadirin
Baca Selanjutnya...

Pengumuman: Pertandingan Bowling Anjuran PEMBINA Bangi di South City Bowl, Seri Kembangan (Lelaki sahaja)



Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Bangi akan mengadakan suatu pertandingan boling 4-a-side pada hari Sabtu, 13 Mac, 2010. Acara yang julung-julung kalinya dianjur oleh PEMBINA ini ialah untuk merapatkan persaudaraan di antara pelajar-pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi di sekitar Bangi serta untuk memperkenalkan PEMBINA kepada para peserta. Berikut adalah maklumat tentang pertandingan tersebut:

Tarikh: 13 Mac, 2010 (Hari Sabtu)
Masa: 9.00 pagi hingga 12.30 tgh
Tempat: South City Plaza
Penyertaan: 4 orang (lelaki sahaja) satu pasukan.
Yuran penyertaan: RM 15.00 seorang (3 game + sepasang kasut + makan pagi)
Contact person:
Hussain - 0196263686

Dijemput semua untuk datang beramai-ramai untuk memeriahkan lagi pertandingan ini. Jika anda tiada pasukan, anda boleh datang untuk menubuhkan pasukan ad hoc pada hari tersebut. Penyertaan anda amat dialu-alukan. Sekian, terima kasih. Baca Selanjutnya...

MaulidurRasul - Seungkap Nama Seribu Rasa

Baru-baru ini, sempena sambutan Maulidur-Rasul, beberapa belia dan beliawanis ditemuramah akan pengertian hari kelahiran Nabi dan cara masing-masing menterjemahkan kecintaan mereka kepada Baginda s.a.w, mari sama-sama kita selusuri..

Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Maulidur Rasul mengingatkan tentang kelahiran Nabi untuk membawa risalah dari Allah dan kita perlu bersyukur, kerana dengan lahirnya Muhammad SAW, hari ini kita hidup di dalam iman yang mana tak semua orang dapat menikmatinya.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Cara untuk menghargai baginda SAW adalah dengan mengikut risalah baginda SAW secara total dan turut menyebarkannya.

Azhari, 24, HUKM


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Maulidur Rasul wajib diingati sebagai hari yang memberi nafas baru,dengan lahirnya seorang insan mulia yang memberi nafas segar kepada manusia yang ketika dalam jahiliah dan sesak nafas.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Bagi saya, untuk menzahirkan cinta pada Rasulullah bersempena maulid nabi ini, kita perlu lahir semula ke dunia, lahir dengan nafas baru, azam baru, dan semangat baru seolah-olah kita adalah orang yang baru dan penuh dengan cita-cita melihat dunia baru Islam kembali memimpin dunia. Jazakallah..

Aizam, 26, MMU


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Erti maulid rasul bagi saya: Sambutan maulid bagi saya bukan hanya sekadar berarak atau selawat mahupun berzanji semata-mata. Tapi yang lebih penting lagi adalah mengkaji kenapa Allah turunkan Nabi Muhammad SAW (i.e. menjadi role-model dan bagi memberi dakwah/peringatan). Sepertimana ayat awal surah Al-Mudatsir (Qum Fa 'Anzir). Jadi, cubalah ikut jalan dakwah yang Nabi Muhammad SAW gariskan dengan pemahaman Islam yang betul.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Cara menzahirkan cinta: Antaranya, mengumpul duit - ziarah Masjid Nabawi.wallahua'lam

Saifullah Maslul, 21, MMU


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Maulidur rasul bererti hari kelahiran Rasulullah. Lahirnya pemula kepada cahaya keimanan daripada zaman kegelapan kepada zaman cerah. Oleh itu, maulidur rasul boleh dikatakan sebagai hari kelahiran cahaya.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Dengan berselawat, mengikuti sunnahnya, mengamalkan dan mematuhi ajaran Rasulullah.

Naza, 26, Beliawanis UKM


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Satu hari untuk mengajak umat Muhammad untuk kembali mengingati nabi sepanjang masa kerana mengingati Nabi bukan pada hari maulid nabi sahaja bahkan sepanjang masa kerana nabi masih lagi ingat akan umatnya pada saat kematiannya.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Berusaha mendekatkan diri kepadaNya dengan cara amar ma’ruf nahi mungkar. Misalnya memperbaikkan amalan-amalan wajib dan perbanyakkan amalan-amalan sunat siang ataupun malam. Sesungguhnya semakin kita cuba merapatkan diri kepada Allah, semakin rapat Allah kepada kita.

Aishah, 21, Beliawanis KPTEK


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Sudah tentu ia amat bererti kepada saya kerana ia adalah sambutan buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana kita merayakan sambutan perayaan-perayaan lain di Malaysia. Sambutan sempena maulidur Rasul juga patut diadakan secara besar-besaran. Kita juga patut meraikan hari kebesaran nabi kita menandakan betapa cinta dan sayangnya kita sebagai umat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Selain mengamalkan sunnah baginda, selalu berselawat kepada baginda tanda kita selalu ingat padanya. Sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah, “ sesiapa yang tidak berselawat kepadaku apabila mendengar namaku, sesungguhnya ia tergolong dalam orang yang kedekut.” Selalulah berselawat dan mendoakan baginda serta ahli keluarga dan para sahabat.

Azizah, 22, Beliawanis IPGM



Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Rindu dan rindu dan rindu pada Rasulullah s.a.w. Muhasabah diri, sejauhmana saya mengamalkan sunnah dan mengaku diri mencintai Rasulullah s.a.w.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Amalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Banyakkan selawat, membaca buku sirah supaya lebih tahu, faham dan dekat dengan cara hidup baginda. Dan sudah pasti, terus berjuang di jalan dakwah ini.

Anum, 22, Beliawanis UPM

Baca Selanjutnya...

PEMBINA MMU Menghayati Maulud Nabi di Gelanggang Futsal

Pada 26 Februari 2010, bersempena cuti Maulidur Rasul, PEMBINA Bangi mengambil kesempatan untuk menganjurkan acara Futsal di Kompleks Komuniti Cyberjaya. Program dianjur khas oleh ahli-ahli PEMBINA di Universiti Multimedia (MMU) bagi mengumpul para siswa MMU untuk bersama dalam aktiviti sihat disamping mengenang dan memahami tujuan perutusan Rasulullah.

Program ini dihadiri lebih 20 belia bersemangat, kebanyakkannya mahasiswa & warga MMU. Program juga turut dimeriahkan dengan kehadiran 2 bekas penuntut MMU dari PEMBINA Shah Alam. Acara penuh tenaga ini berlangsung selama 2 jam tanpa henti, bergilir-gilir bermain antara pasukan-pasukan yang dibentuk.

Seusai permainan, para peserta berkumpul untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Saudara Hamdan yang dijemput dari PEMBINA Shah Alam, yang merupakan mantan Ketua Majlis Perwakilan Pelajar MMU. Sempena Maulidur Rasul, beliau mengajak para peserta memahami tujuan perutusan Nabi Muhammad S.A.W., iaitu menyampaikan risalah Islam, dan mengajak para hadirin untuk meletakkan matlamat yang sama ke atas keberadaan kita di bumi. Seterusnya, Saudara Hamdan menyeru agar para belia berpegang teguh kepada Al-Quran & Sunnah Rasul, konsisten dengan amal-amal wajib & sunnat, dan mencontohi Rasulullah S.A.W. sebagai model aplikasi Islam dalam kehidupan.

Saudara Aizuddin Khalid, Ketua Cawangan PEMBINA Bangi, turut diberi kesempatan memperkenalkan PEMBINA serta menyampaikan perkembangan-perkembangan terkini PEMBINA. Menurut beliau, golongan belia akan berminat untuk menghampiri Islam apabila ia ditampilkan dalam realiti semasa yang praktikal kepada masyarakat. Beliau berkata, sejak penubuhannya, PEMBINA telah berjaya menonjolkan keluasan ufuk Islam dalam kehidupan dan menarik ramai golongan belia kepada aktivisme belia Islam.

Saudara Aizam yang juga pengarah program menutup program dengan mengungkap bahawa nilai-nilai Islam dan batas-batas syariat merupakan pembeza utama antara seorang Muslim dengan bukan Muslim. Oleh itu, prinsip-prinsip ini perlu dipatuhi oleh setiap Muslim bagi menjamin kebenaran identitinya. Beliau turut mengajak para siswa MMU untuk bersama dengan PEMBINA membangunkan para belia untuk menjadi generasi harapan negara.

Program keseluruhannya telah berjalan dengan baik, mengikat ukhuwwah antara PEMBINA dan siswa-siswa MMU, serta memupuk kesedaran dan semangat untuk bersama PEMBINA memartabatkan Islam demi menyambung perjuangan Rasulullah tercinta.


Baca Selanjutnya...

Saracens Menunjukkan Prestasi Baik di Hari Belia Bangi


Pada 21 Februari lalu, PEMBINA Bangi telah menghantar pasukan bola sepaknya yang semakin menyerlah, PEMBINA Saracens, ke Kejohanan Street Soccer 5 sebelah sempena Hari Belia Bangi 2010. Ini merupakan kali pertama Saracens menyertai kejohanan terbuka. Alhamdulillah, PEMBINA Bangi telah memenangi kesemua perlawanan pada peringkat kumpulan, menjadi johan kumpulan dan layak ke suku akhir. Namun, nasib tidak menyebelahi pasukan Saracens apabila mereka tewas 1-0 di peringkat suku akhir.

PEMBINA Bangi mengucapkan ribuan tahniah kepada para pemain Saracens iaitu Faisal Kamarul Zaman, Muadz Md Zain, Hussairi, Ahmad Syahir & Mustafa Kamal di atas pencapaian dan usaha gigih pada kejohanan tersebut. Semoga PEMBINA Saracens dapat mempertingkatkan lagi prestasi, merangkul kejuaraan kejohanan-kejohanan terbuka seterusnya mengharumkan nama PEMBINA keseluruhannya.

Keputusan peringkat kumpulan yang melayakkan ke suku akhir


Penolong Ketua Cawangan (Rusman Arief) bermesra dengan Saracens
Baca Selanjutnya...

BBMBBK di IPGM KPI Memberi Pencerahan Tentang Masalah Valentine & Ikhtilat

14 Februari yang lalu datang dan pergi bersama isu Valentine Day yang masih lagi menjadi amalan masyarakat Malaysia dari tahun ke tahun walaupun pelbagai medium telah digunakan bagi memperjelas dan menerangkan ke’boleh’an dan ke’tidakboleh’an meraikan sambutan hari tersebut. Usaha memperjelas dan menerangkan kepada masyarakat inilah salah satu usaha dakwah yang tidak pernah kenal erti jemu dan putus asa.

Justeru, pada 21 Februari yang lepas, Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) bersama-sama dengan Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGM KPI) telah menganjurkan satu forum berkaitan isu Valentine Day tersebut yang bertajuk “Bila Baju Melayu Bertemu Baju Kurung”. Forum tersebut telah berlangsung di Dewan Syarahan Abdul Jalil, IPGM KPI dan menampilkan barisan ahli panel daripada PEMBINA iaitu saudara Aizuddin Khalid, Ketua Cawangan PEMBINA Bangi dan saudari Shazamawati serta ahli panel jemputan, saudara Amin Idris, pakar motivasi dan psikologi jiwa.

Forum yang berlangsung selama hampir tiga jam tersebut telah dihadiri lebih kurang 150 penuntut IPGM KPI, yang juga merupakan bakal-bakal guru. Forum ini telah berjaya mengupas topik sekitar Valentine Day yang juga dipanggil sebagai Hari Kekasih, amalan bercinta sebelum berkahwin, serta tatacara pergaulan antara muslim dan muslimah yang sepatutnya.

Saudara Aizuddin selaku panel pertama telah mengupas kesan tidak langsung Hari Valentine ke atas masyarakat Malaysia. Namun begitu, beliau mengulas bahawa isu Hari Valentine bukan terletak pada hari itu sendiri kerana ia merupakan simptom kemuncak kepada masalah pergaulan bebas yang sudah berakar dalam kehidupan kebanyakan masyarakat hari ini. Beliau turut memberi tips agar mencari pasangan yang berkongsi objektif dan idealisme sebagai da'i yang mana menjadi ikhtiar paling penting dalam membina rumah tangga yang hidup atas jalan Allah.

Saudari Shazamawati pula telah banyak berkongsi langkah-langkah untuk memelihara maruah diri sebagai muslim terutama apabila berhadapan dengan situasi pergaulan antara berlainan jantina. Menurut beliau, perasaan-perasaan minat itu adalah fitrah, namun perlu diatasi dengan cinta dan ingat kepada Allah SWT yang sepatutnya tidak menggugat pendirian seorang muslim. Beliau berkongsi beberapa doa & tatacara pergaulan untuk mengelak dari fitnah pergaulan dan memelihara pandangan hati.

Manakala, saudara Amin Idris banyak memberi tips dan berkongsi pengalaman untuk membina rumah tangga yang bahagia berasaskan prinsip-prinsip Islami. Sesuatu yang menarik juga apabila beliau menasihatkan para belia terutama golongan mahasiswa agar terlibat dalam aktiviti berpersatuan. Menurut beliau, aktiviti berpersatuan mampu menanam pelbagai elemen yang tidak mampu diajar dalam kuliah-kuliah di universiti, seperti kemahiran berinteraksi, kepimpinan, sahsiah, perjuangan, dan sebagainya. Beliau juga menyeru golongan yang ingin berdakwah agar berdakwah dalam wasilah-wasilah yang realistik agar mampu mendekati pelbagai lapisan masyarakat, bukan semata-mata orang yang sudah berminat kepada agama.

Kesimpulan cinta itu fitrah dan islam itu agama fitrah yang menyediakan jalan penyelesaian baginya telah menutup forum yang diharapkan dapat memberi kesedaran kepada bakal-bakal guru, para belia yang sedang menghadapi fasa dugaan cinta. Diharapkan juga bakal-bakal guru tersebut akan meneruskan usaha dakwah ini untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama para remaja kelak.


Disediakan oleh:

Muhammad Amiruddin Husain
PEMBINA IPGM KPI

Baca Selanjutnya...

Hijrah Ke Arah Merealisasikan Iman

Nabi & Para Sahabat berhijrah ke arah merealisasikan iman; menzahirkan, menyatakan dan menghidupkan iman mereka di atas bumi. Ketika di Makkah, kaum Muslimin terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang menekan jiwa; ada yang terpaksa menyembunyikan iman di tempat awam, ada yang didera secara fizikal, diugut dengan nyawa & maruah, dihalau oleh keluarga, bahkan ada yang dipaksa mengucapkan kekufuran. Terlalu banyak kekangan yang menghalang mereka menonjolkan iman mereka ke permukaan dan hidup harmoni dengan iman mereka.

Hijrah merubah segalanya. Kini mereka hidup dibawah kepimpinan & keadilan Islam; mereka berupaya mempamerkan otot-otot Islam dan mampu meyakinkan puak-puak jauh dari perimeter Madinah untuk turut memeluk Islam. Ketika itu, alam mampu merasai nikmat tertonjolnya sebuah gerakan manusia yang mensucikan Allah dari segala perbandingan di langit dan bumi serta menyeru manusia lain agar bersama dalam nada tasbihnya. Nikmat terzahirnya sebuah keimanan bukan semata-mata memerdekakan individu, tetapi mengesani para makhluk yang disentuh arusnya.

Sahabat-sahabat semua, kita juga perlu berhijrah utk merealisasikan iman. Iman yang sudah terpaku di hati; Iman yang mengakui bahawa Allah itu Esa dan penentu segala urusan; Muhammad itu hambaNya dan contoh penghambaan terbaik; dan Al-Quran itu peraturan yang ditetapkan ke atas hamba-hambaNya.

Namun, kita kini hidup dalam suasana keimanan kita dicabar. Beriman pada hari ini ibarat menggenggam bara api. Ada saja elemen yang ingin mencuri atau memesongkan iman kita. Elemen itu kian kuat kecuali apabila kita berhijrah daripadanya. Ya, kekangan kita hari ini adalah al-hawa atau nafsu yang mendorong kita memalingkan diri dari keimanan. Ia pula disokong oleh propaganda-propaganda yang mengajak agar memenangkannya (nafsu). Maka salahlah kiranya kita memandang enteng urusan hawa nafsu ini. Sebaik kita mengambil mudah, ia akan diapikan oleh suasana jahiliyah yang menunggu kesempatan. Akibatnya, terhakis sensitiviti iman sedikit demi sedikit dan akhirnya tewaslah jiwa ke lembah kehinaan. Lagi dalam kita jatuh, lagi payahlah jalan mendaki semula ke puncak keimanan.

Hijrahlah, sahabat sekalian, ambil iktibar dari peristiwa hijrah Nabi & para sahabatnya. Berhijrahlah:

1) Dari persembunyian kepada keberanian. Dari Keimanan yang sorok-sorok, segan menyatakan identiti kepada berani tampil menzahirkan diri dgn aqidah & fikrah yang didokong, dengan nama & ciri-cirinya yang jelas. Tonjolkan jatidiri anda sebagai Muslim yang beriman yang sayangkan agamanya dan dambakan SyurgaNya. Dengan terzahirnya rupa paras keimanan sebenar, akan gentarlah musuh-musuh dan akan tunduk mereka yang selama ini ragu. Terlontarlah satu resolusi baru buat masyarakat yang dahagakan ketenangan dan rahmat Allah.

2) Dari suasana mencabar & menggelapkan iman kepada suasana ukhuwwah & keimanan yang terang & terbuka. Daripada suasana pergaulan yang menyimpangkan hati atau suasana individualistik yang membuka pintu syaitan kepada suasana yang kondusif untuk menyuburkan iman serta khalwat hati bersama Tuhan yang Maha Mengetahui isi hati. Berpindahlah dari kehidupan yang diselubungi atau dikelilingi maksiat atau suasana2 yang mendorong hati kepada maksiat atau suasana yang menyibukkan dengan kelalaian, kepada sebuah penempatan iman, yang dikelilingi orang soleh, yang hidup mentaati Allah dan takut melangkau batasanNya; Yang tak putus bekerja dan bersemangat waja untuk agama. Suasana ini akan mempengaruhi kita dengan menghidupkan iman dan membentuk sebuah tasawur masyarakat soleh yang kita idam-idamkan, yang satu tujuannya dan lurus jalannya.

3) Daripada statik, pasrah & berserah nasib kepada berusaha ke arah kejayaan iman. Daripada sekadar berdoa dan berharap Allah membinasakan musuhnya & memenangkan agamanya kepada berusaha sama dan komit untuk menjayakan agama Allah. Nabi S.A.W. menegur Khabbab Al-Arat di Makkah yang meminta Nabi berdoa mempercepatkan kemenangan.

3.1) Menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk membangunkan iman kita, mengajak diri kita kepada amal soleh dan meninggalkan kesia-siaan. Bukannya sekadar mendoakan hidayah, tetapi terus leka dalam maksiat dan dosa lalu mengharap Allah meredhai atau berserah kepada ketentuan Syurga & Neraka. Bukan begitu cara dunia ini berfungsi. Penyucian diri harus disertai taubat dan amal bersungguh-sungguh yang menyental jiwa dari kekotoran dan menjauhkan diri dari jahiliyyah silam. Jangan rela jiwa dicemari dengan noda. Dengan kesungguhan taubat & amal, insyaAllah, Allah akan memberkati dan mengukuhkan tapak kita di atas jalan Islam.

3.2) Kita perlu menelusuri jalan-jalan yang menyampaikan kepada kejayaan Islam agar dakwahnya diterima dan difahami masyarakat umum. Kita perlu berusaha membangkitkan iltizam dan motivasi serta memberi nasihat-nasihat praktikal kepada masyarakat agar ia konsisten dalam pegangannya dan menolak Jahiliyyah dengan sebenarnya. Bukan semata-mata berdoa dan berserah kemudian meninggalkan agama kepada Pemiliknya sedang kita leka dalam kehidupan peribadi kita. Benar, Allah akan memenangkan agamaNya, tapi bukankah satu nikmat besar jika Allah memenangkan agamaNya melalui tangan-tangan kita? Bukankah "lebih baik dari dunia & seisinya" sekiranya seseorang mendapat hidayah dari usaha-usaha kita? Oleh itu, bersungguhlah dan usah beramal seperti melepaskan batuk ditangga, dan mengharap Allah menyempurnakan urusannya dengan usaha manusia yang longlai; tapi susunlah langkah yang tepat dan beramallah seolah-olah itu kunci anda ke pintu Syurga.

Sahabat-sahabat sekalian,

Selamat menempuh tahun baru Hijrah. Teguhlah dalam berazam, wahai belia. Kadang-kala kita perhati orang yang panjang umur yang meremehkan konsep memperbaharui azam, lalu dia gagal mengambil pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang sepatutnya mengesani hati. Janganlah jadi seperti itu. Tinggikanlah azam & tentukan matlamat-matlamat kita walau apa diperkata orang.

Ya, semua orang akan mengharungi saat tahun baru Hijrah. Sama ada dgn keazaman baru atau perasaan lesu. Dan "..barangsiapa yang berhijrah kerana Allah & Rasul, maka hijrahnya kerana Allah & Rasul. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang dikejarnya atau perempuan yang ingin dikahwininya, dia berhijrah kepada apa yang dia hijrahkan."



Aizuddin Khalid
Ketua Cawangan
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Daerah Hulu Langat
Baca Selanjutnya...