Diskusi Minda – Membuka Mata Para Belia



BANGI, 10 April 2010 – Buat julung kalinya, PEMBINA Bangi telah berjaya menganjurkan program “Diskusi Minda” bertempat di Dewan Budiman, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penganjuran “Diskusi Minda” ini merupakan yang pertama dalam siri Diskusi Minda yang bakal berlangsung sepanjang tahun di Bangi. Program dihadiri hampir 50 peserta lelaki dan perempuan.

Diskusi Minda yang pertama ini membawa tema dan tajuk “Islam Yang Semestinya Difahami”. Penceramah jemputan adalah Saudara Mohd Noor Azib b Asmangi, Naib Yang DiPertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Daerah Hulu Langat. Pembentangan menarik beliau merujuk kepada buku “Asas-asas Islam” oleh Abul a’la Al-Maududi, “Maza Yakni Intima’i lil Islam” oleh Fathi Yakan serta banyak buku lagi karangan ulama’ tersohor. Sejurus selepas pembentangan, para peserta dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk membincangkan soalan bengkel yang disediakan penganjur. Peserta kemudian membentangkan kepada para hadirin hasil perbincangan kumpulan serta resolusi yang dikemukakan.

“Penglibatan aktif dari para peserta membuktikan kefahaman terhadap pengisian yang dibentangkan”, ujar saudara Rusman Arief, hos Diskusi Minda, yang juga merupakan Penolong Ketua Cawangan PEMBINA Bangi. Beliau merujuk kepada penerimaan peserta terhadap idea-idea dan konsep-konsep yang membuka mata yang dibawakan oleh Saudara Azib.

Diskusi Minda merupakan siri pembentangan mengenai asas-asas Islam dan sejarah Islam bertujuan memupuk kefahaman & penghayatan Islam serta mengajak para peserta agar beramal untuk Islam. Diskusi Minda merupakan usahasama anjuran PEMBINA Bangi dan ISMA Cawangan Daerah Hulu Langat.







Baca Selanjutnya...

Selamat Menempuh Peperiksaan!


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,


Seluruh warga PEMBINA Cawangan Bangi mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan bagi warga Kolej dan IPT yang akan menduduki peperiksaan dalam tempoh terdekat ini. Semoga Allah memberikan kekuatan untuk terus bermujahadah dan bersungguh dalam mengharungi detik-detik persediaan sebelum hari peperiksaan, sewaktu hari peperiksaan, dan diberikan ilham untuk bertawakkal dan bersyukur setelah hari peperiksaan.

Semoga Allah SWT mengurniakan kejayaan di dunia dan di akhirat


Daripada Abu Ya'la Syaddad ibn Aus r.a. daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda:
Sesungguhnya Allah menulis (iaitu mewajibkan) Ehsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh, maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia menyenangkan haiwan sembelihannya itu. (Hadis riwayat al-lmam Muslim.)


Aizuddin Khalid
Ketua Cawangan PEMBINA Bangi


Selamat Menempuh Peperiksaan!

Baca Selanjutnya...

PEMBINA Bangi Mengajak Menyubur Kecintaan Kepada Rasulullah di KPTEK


Pada 4 Mac 2010, PEMBINA Bangi telah mengadakan satu usaha sama dengan Kelab Asy-Syakirin IPG Kampus Pendidikan Teknik bagi mengadakan satu ceramah Maulidurrasul. Ceramah ini telah diadakan di Surau Asy-Syakirin dan telah dihadiri oleh beberapa orang pensyarah dan 80 orang guru pelatih. Ceramah yang telah disampaikan oleh Ustaz Sanusi yang juga wakil dari PEMBINA telah berjaya mengupas tahap kecintaan masyarakat pada hari ini terhadap junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW yang semakin pudar.

Dengan ceramah yang beliau sampaikan ini diharapkan masyarakat dapat menyuburkan kembali semangat kecintaan kepada Baginda SAW. Akhlak dan contoh teladan yang telah ditunjukkan oleh Baginda SAW haruslah dicontohi kerana akhlak Baginda SAW dapat memikat hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Baginda berbuat baik kepada semua lapisan masyarakat tidak kira kecil atau besar, tua ataupun muda.

hadirin dari kalangan belia

hadirin dari kalangan beliawanis

sesi menjamu selera
Baca Selanjutnya...

Rehlah Beliawanis PEMBINA Bangi de' UPM


Bukit Ekspo atau lebih dikenali sebagi Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia telah menjadi tempat kunjungan beliawanis PEMBINA Bangi pada hari Ahad, 21 Mac, baru-baru ini.

Sekitar jam 9 pagi, para beliawanis PEMBINA telah berkumpul bagi menjayakan Rehlah de’ UPM di bawah kelolaan Biro Sukan dan Rekreasi PEMBINA Bangi. Tujuan rehlah ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama beliawanis melalui aktiviti sukan dan riadah di samping merancang aktiviti Pembina Bangi beliawanis.

UPM telah menjadi destinasi pertama pada rehlah kali ini dan Bukit Ekspo menjadi tempat pilihan. Bagi mereka yang tidak pernah mengunjungi Bukit Ekspo UPM pasti akan terpesona dengan keindahan semulajadi yang terdapat di sini. Malah, di kalangan beliawanis yang hadir, ada yang bekerja di UPM namun tidak menyangka tempat sebegini wujud di dalam UPM. Dikelilingi oleh pohon-pohon yang rendang dan dihiasi dengan alat-alat senaman menjadikan Bukit Ekspo tempat yang paling sesuai bagi aktiviti-aktivi riadhah dan rekreasi.

Berbekalkan sedikit juadah sarapan bagi membuka selera dan menambah tenaga, perbincangan dimulakan dan disusuli dengan aktiviti fizikal. Walaupun beliawanis sentiasa bersedia untuk melakukan aktiviti riadhah yang lebih mencabar, namun disebabkan kebanyakannya tidak memakai kasut yang sesuai, maka cukuplah sekadar bola beracun. Adakah ini alasan? Tentu sekali tidak.. Seterusnya, rehlah diteruskan dengan aktiviti ‘brisk walk’ sekitar bukit ekspo dan keliling tasik dan berakhir sekitar 12 tengahari.











Aktiviti rehlah ini akan diteruskan pula bagi bulan-bulan yang seterusnya di IPT-IPT sekitar Bangi seperti UKM, KPTM, UNITEN dan banyak lagi. Nantikan kemunculannya di IPT anda.
Baca Selanjutnya...

Pertandingan Mengarang Sajak Anjuran PEMBINA Bangi 2010



Dalam melahirkan generasi belia yang kreatif dan mampu menghasilkan karya puisi bermutu, Biro Kesenian & Kebudayaan Pembina Bangi, telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertandingan mengarang sajak.


SYARAT DAN PERATURAN PERTANDINGAN MENGARANG SAJAK
(i) Berumur di antara 13-40 tahun.
(ii) Terbuka kepada SEMUA muslimin dan muslimat
(iii) Bilangan penyertaan adalah TIDAK TERHAD.
(iv) Karya yang dihantar mestilah karya yang ASAL, SAHIH, dan ASLI dari jiwa pengarang yang sebenar. Karya sajak TIDAK BOLEH mengandungi unsur-unsur plagiarisme serta TIDAK MENYENTUH isu-isu sensitif.
(v) TEMA meliputi:
- Akhlaq belia
- Ketuhanan
- Tokoh generasi Islam terbilang
- Mujahadah
- Cinta Islami

(vi) Sajak yang dihantar perlu mempunyai tajuk serta penerangan.
(vii) Semua penyertaan MESTI dihantar dengan menggunakan borang penyertaan Online di pautan di bawah.
(viii) Pihak penganjur berhak membatalkan sebarang penyertaan yang tidak mengikut syarat-syarat & peraturan.

Baca Selanjutnya...

Komik: Takkan Sorang Je Bro

Baca Selanjutnya...

Bowling-Day-Out PEMBINA Bangi - UNITEN Muncul Juara


Pada 13 Mac yang lepas, PEMBINA Cawangan Bangi telah menganjurkan satu pertandingan bowling inter-IPT bermula jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari di pusat bowling South City Plaza, Seri Kembangan. Pertandingan yang dipanggil “Bowling-Day-Out” tersebut telah disertai oleh para penuntut IPT dan IPG dari sekitar Bangi.

Ini merupakan satu lagi pendekatan yang dilakukan oleh PEMBINA dalam usaha mendekati golongan belia. Ternyata sambutan yang begitu menggalakkan daripada para penuntut IPT dan IPG sekitar Bangi seperti UNITEN, UNIKL MIAT, IPGM Kampus Pendidikan Islam dan Kampus Teknik, dan Kolej Mara Banting. Malah turut serta juga para pelajar dari Sekolah Hira’, Shah Alam. Jumlah penyertaan lebih 60 orang iaitu sebanyak 15 kumpulan.

Program “Bowling-Day-Out” tersebut berakhir dengan majlis penyampaian anugerah kepada para pemenang dan sedikit ucapan daripada Ketua PEMBINA Cawangan Bangi, saudara Aizuddin b Khalid.



“Umumnya, belia mempunyai sifat energetic dan flexibility. Inilah kelebihan belia berbanding kanak-kanak dan orang berumur. Rugi sekiranya tenaga-tenaga ini tidak disalurkan kepada urusan-urusan agama dan kebaikan. Bahkan paling rugi sekiranya disalurkan kepada perkara yang tidak diredhai Allah. Justeru, Bowling-Day-Out hari ini merupakan langkah pertama PEMBINA mengajak para belia untuk menyertai program-program yang dapat menyalurkan elemen-elemen tadi,” ujar saudara Aizuddin.

Tahniah kepada peserta dari UNITEN, UNIKL MIAT, dan IPGM Kampus Pendidikan Islam yang telah menggondol anugerah kumpulan dan individu terbaik, serta kepada semua peserta yang telah menjayakan aktiviti Bowling-Day-Out tersebut. InsyaAllah, ukhwah yang terjalin serta semangat kesukanan yang tersemat dalam jiwa masing-masing akan mempertemukan mereka kembali dalam aktiviti-aktiviti sukan PEMBINA yang lain.

Penganjur Bowling-Day-Out,
PEMBINA IPGM KPI & KPTEK








Baca Selanjutnya...