Indeks Berat Badan Sebagai Diagnosis Obesiti



Kita hari ini digembar gemburkan dengan H1N1, penyakit pernafasan yang semakin dahsyat menjangkiti seluruh dunia dan mencemaskan kita. Tapi kita terlupa dan terlepas pandang penyakit yang sudah lama menular di seluruh dunia iaitu Obesiti dan penyakit-penyakit yang berkaitan dengannya.


WHO mengklasifikasikan penyakit kepada dua klasifikasi besar iaitu penyakit berjangkit (communicable disease) dan penyakit tidak berjangkit (non-cummnicable disease).
Penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi tidak berjangkit tetapi ia adalah sangat endemik dan menular seluruh dunia. Statistik tahun 1996, di Malaysia, 8 orang mengidap kecing manis dalam setiap 100 orang rakyat Malaysia. Itu 13 tahun yang lalu, sekarang mungkin meningkat.

Justeru, pencegahan itu sangat penting sebelum ia melarat menjadi penyakit.
BMI adalah ukuran objektif yang boleh dimanfaatkan untuk menentukan tahap risiko seseorang untuk menghidap penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi.
Kebanyakan masyarakat sudah sinonim dengan BMI tetapi dari segi aplikasi BMI dalam kehidupan itu masih kurang. BMI perlu dijadikan ukuran objektif sebagai rujukan untuk menentukan tahap kesihatan seseorang.

Mungkin ada yang menyatakan bahawa mereka sihat walaupun BMI mereka menunjukkan mereka adalah obese. Perlu kita ingat bahawa mencegah itu lebih baik dari mengubati. Dengan mengawal ukuran BMI, risiko utk kita mendapat penyakit itu lebih rendah. Jangan sampai sudah di diagnosa mengidap kencing manis, baru nak mengubah cara hidup, ia pastinya sangat sukar.

Apa itu BMI?
BMI adalah singkatan kepada Body Mass Index atau dalam Bahasa Malaysia dikenali sebagi indeks jisim tubuh.
BMI adalah ukuran objektif yang digunakan untuk mengkalisifikasikan seeorang itu sama ada obese atau tidak.

Apa pentingnya mengetahui obese atau tidak?
Obesity akan mempengaruhi risiko seeorang itu untuk mendapat penyakit. Obesiti ialah simpanan lemak berlebihan berbanding jisim tubuh teras (lean body mass). Simpanan lemak berlebihan boleh menyebabkan risiko seseorang untuk mendapat penyakit seperti kencing manis dan darah tinggi meningkat.



Bagaimana mengira BMI?
Formula BMI ialah berat dalam kilogram (kg) dibahagikan dengan kuasa dua tinggi dalam unit meter.





Ukuran: (berdasarkan kepada WHO)
< 18 =" kurang"> 18 – 25 = normal
> 25 = obesiti

Bagaimana hendak mengawal BMI pada paras normal?
Secara umumnya, ketinggian seseorang tidak akan bertambah apabila mencecah umur 20 tahun. Bagi perempuan, mereka mencapai tahap ketinggian maksima lebih awal dari itu. Oleh itu, di dalam formula tersebut, ketinggian adalah sesuatu yang malar. Apa yang boleh diubah ialah berat tubuh.
2 faktor yang mempengaruhi ialah pemakanan (input) dan aktiviti seharian (output). Seseorang itu perlu mengawal pemakanan dan menjalani aktiviti seharian yang aktif untuk memastikan keseimbangan tubuh dan mengelakkan obesiti.
Mungkin akan disentuh isu pemakanan dan aktiviti dalam artikel yang lain, insyaAllah.

Sungguhpun demikian, BMI mungkin sesuai untuk digunakan untuk kebanyakan orang, tetapi ia bukanlah ukuran yang paling tepat dalam menentukan kadar lemak dalam tubuh. Banyak lagi teknik ukuran lain yang boleh digunakan tetapi untuk tatapan kali ini, BMI adalah topik yg terbaik untuk disentuh, memandangkan ia sinonim dan mudah untuk dikira.

Marilah menjaga kesihatan. Cegah sebelum terlambat. Ayuh, jaga pemakanan dan mari bersukan dalam riadah berkala PEMBINA DHL. Akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang kuat!

Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM

Baca Selanjutnya...

PEMBINA Xcursion 2009




Baca Selanjutnya...

Ketua Biro Program: ACL Reconstruction


Gambar: Shakur selepas pembedahan (14 Julai 2009)

Alhamdulillah, pagi semalam(14 Julai), kira-kira jam 8.30 hingga jam 10++pagi, sahabat kita, saudara Abdul Shakur bin Hj Zamani (Ketua Biro Program PEMBINA DHL) telah selamat menjalani pembedahan yang dipanggil ACL Reconstruction di Hospital Az-Zahrah, Bandar Baru Bangi. Kini beliau ditempatkan di wad Kasih, tingkat 3, hospital berkenaan.

Semoga Allah memberikan kesembuhan yang sempurna akan kecederaan yang beliau alami. Baca Selanjutnya...

Catatan Rohani

“Jika engkau menghadapi dunia dengan jiwa lapang,
engKau akan memperoleh banyak kegembiraan yang semakin lama semakin bertambah,
semakin luas, duka yang makin mengecil dan menyempit.
Engkau harus tahu bahawa bila duniamu terasa sempit,
Sebenarnya jiwamulah yang sempit bukan dunianya.”
(Ar-Rafi’i)

Segala puji bagi Allah yang telah meletakkan hati dan langkah kita dalam kebersamaan di jalan dakwah ini. Semoga limpahan kasih sayangNya sentiasa terhimpun pada kita.

Saudaraku,

Dalam perjalanan yang panjang ini, kita sememangnya memerlukan bekal bagi membolehkan kita mengharungi arus duniawi dengan selamat dan sentiasa berada di landasan yang benar. Bekalan tersebut ialah sikap lapang dada, bernafas panjang dan mudah memaafkan. Inilah yang telah membolehkan orang-orang soleh terdahulu berjuang walaupun dalam suasana getir dalam melaksanakan ketaatan. Inilah yang menjadi bekal Rasulullah tatkala berhadapan dengan penghinaan dan cacian masyarakat sekeliling ketikamana baginda melaksanakan misi kenabian.



Saudaraku,

Kisah orang-orang soleh terdahulu sentiasa menjadi sebutan dek kerana kemantapan jiwa mereka dalam memandang kehidupan dunia.

Suatu hari, Ibrahim An Nakh’I keluar berjalan bersama temannya, seorang yang buta. Setelah lama menyusuri jalan, rakannya yang buta mula bersuara, “Ya Ibrahim, orang-orang yang melihat kita ramai yang menghina kita dengan panggilan itu orang buta, orang pincang.” Orang buta itu seakan-akan tertekan dengan panggilan tersebut. Lalu Ibrahim dengan tenang menjawab, “kenapa engkau begitu terbeban memikirkannya? Jika mereka berdosa kerana menghina kita sedangkan kita mendapat pahala, lalu kenapa?”

Fudhail Bin Iyadh, seorang ulama Tabi’in yang cukup terkenal dengan ketakwaannya menceritakan, suatu ketika, saat beliau sedang duduk di masjidil haram, beliau didatangi seseorang yang sedang menangis. Fudhail bertanya, “kenapa engkau menangis?” Lalu orang itu menjawab, “aku kehilangan beberapa dinar yang aku pasti ianya telah dicuri.” Fudhail kembali menyoal, “apakah disebabkan dinar itu sahaja engkau menangis?” Orang tersebut lantas memberi jawapan yang sungguh mengejutkan. “Tidak, aku menangis kerana aku tahu bahawa kelak aku akan berada di hadapan Allah dengan pencuri itu dan aku sangat kasihan akan nasib pencuri itu nanti. Itulah yang membuatkan aku menangis...”

Iman seperti apakah yang mereka miliki wahai saudaraku? Ujian dunia langsung tidak melemahkan semangat juang mereka. Mungkin mereka berduka, bersedih, kecewa atau barangkali naik kemarahannya. Namun mereka masih mampu mengawal hati mereka, tetap redha, kekal tenang hasil daripada sikap lapang dada yang mereka miliki. Alangkah indahnya...

Saudaraku,

Kisah-kisah seperti itu seharusnya membuatkan kita mengerti bahawa jika kita tidak lapang dada dan tidak mudah bersabar, kita pasti akan menjadi orang yang paling menderita di dunia ini. Ini kerana, penderitaan terbesar adalah jiwa yang cepat goyah dan bimbang saat menghadapi sesuatu yang sebenarnya remeh. Persoalan remeh yang kita lihat secara keliru, kemudian mengakibatkan sempitnya dada, kesal hati, murung, dukacita, air mata dendam sehingga waktu rehat terganggu dek kerana fikiran yang berkecamuk.

Jika itu yang terjadi, pastinya tiada amal-amal besar yang dapat kita lakukan. Hal ini kerana, amal-amal besar hanya lahir daripada jiwa yang tenang, hati yang lapang, penuh redha, serta fikiran yang terurus.

Itulah sebabnya, Sheikh Mustafa Masyhur mensyaratkan nafasun thawil atau nafas panjang perlu ada pada pejuang-pejuang Islam. Baginya, jalan perjuangan yang panjang tidak akan mampu dilalui oleh orang-orang yang ber ‘nafas pendek’, mudah goyah dan tidak sabar.

Dalam perjalanan yang panjang ini,

Kita sebenarnya mampu untuk menjadi seperti mereka. Syaratnya adalah, kita tahu dan sedar ada matlamat yang lebih besar yang ingin kita capai bersama di hujung perjalanan dakwah ini.

Malah, ia lebih penting daripada apa pun peristiwa yang berlaku di dunia ini.
Tiada ertinya dan betapa kecilnya kehidupan dan kemewahan di dunia ini apabila kita telah bersedia untuk berjuang memburu redha Allah.

Nadu’llah atthabat ‘ala tariqihi..

DISEDIAKAN OLEH:
ABDUL HAKIM B ADZMAN
AJK KREKS PEMBINA DHL


Baca Selanjutnya...

Membina Jiwa Muda Perwira

Trio yang bersemangat!

Sabtu, 20 Jun, Bandar Baru Bangi – Seramai 24 peserta telah menyertai aktiviti paintball yang telah dianjurkan oleh Biro Kebudayaan, Rekreasi, dan Sukan, Persatuan Belia Islam Nasional Cawangan Hulu Langat. Aktiviti yang turut disertai oleh Presiden dan Timbalan Presiden PEMBINA ini merupakan yang julung-julung kali diadakan dan merupakan pengalaman baru bagi kebanyakan peserta.





Ucaptama oleh saudara Abdul Hakim, Ketua Biro Kebudayaan, Sukan dan Rekreasi PEMBINA DHL.

Sesi taklimat operasi oleh Encik Hasri.

Seawal jam 9.00 pagi, litar paintball (paintball circuit) Jugra Rangers di Universiti Tenaga Nasional Kampus Putrajaya telah dipenuhi para pemain. Majlis pembukaan ringkas diisi dengan ucapan ketua biro sukan saudara Abdul Hakim bin Hj. Adzman dan taklimat penerangan tentang kelengkapan dan peraturan aktiviti paintball oleh saudara Mohd Hasri, Pengurus litar ini.

Merangka strategi.

Persiapan akhir sebelum pertempuran.

4 pasukan dengan kekuatan 6 orang telah dibentuk. Pasukan-pasukan ini telah bertempur dalam 3 set perlawanan yang mempertemukan antara setiap pasukan yang berentap. Berbekalkan dengan dengan mechanical marker, mask dan protective vest, kesemua peserta giat mengatur strategi kumpulan masing-masing untuk mencapai kemenangan dalam permainan ‘catch the flag’. Secara ringkasnya, setiap pasukan perlu mengambil bendera mereka yang berada di check point kumpulan lawan dan membawa pulangnya ke check point mereka sendiri dengan selamat.

Aksi-aksi di medan pertempuran.

Walaupun cuma satu aktiviti, namun jiwa-jiwa muda ini mengambilnya serius lalu bermain dengan penuh semangat, keazaman dan kesungguhan.

Permainan berakhir kira-kira pada jam 12.30 dengan satu pertempuran besar-besaran dengan para marshal (hakim aktiviti yang terdiri daripada pemain profesional) di dalam litar aktiviti.

Riak kepuasan yang terpancar di wajah setiap peserta dapat di saksikan ketika ucapan penutup ringkas. Presiden PEMBINA, Dr. Kamil bin Tohiran telah memberikan ucapannya yang ringkas dan padat. Katanya, semoga dengan aktiviti seumpama ini, kita akan dapat belajar merasai sekelumit perasaan dan suasana yang dirasai oleh saudara-saudara kita di bumi Palestin yang berhadapan dengannya saban hari.

Peserta (Saiful) dengan ‘kecederaan paling parah’.

Dengan harapan untuk bertemu dalam pertempuran yang lain, para peserta bersurai dengan tekad dihati. Semangat waja dalam jiwa-jiwa muda yang tergerak oleh aktiviti ini mudah-mudahan akan membina jiwa muda perwira!

(Berita ini dipetik daripada laman rasmi Persatuan Belia Islam Nasional PEMBINA)




Baca Selanjutnya...

Delegasi Pembina MMU Melaka ke DHL perluas jaringan ahli PEMBINA



Bangi, 29 mei 2009
- Buat julung-julung kalinya PEMBINA cawangan Daerah Hulu Langat (PEMBINA-DHL) telah menerima kunjungan dari PEMBINA-MMU Melaka dalam rangka program jawlah mereka sempena cuti semester. Jawlah merupakan satu kosa kata arab yang bermaksud ‘kembara’. PEMBINA-DHL dipilih sebagi ‘pit stop’ kerana lokasinya yang strategik yang berdekatan dengan Putrajaya dan MMU Cyberjaya.

Majlis bermula dengan sesi ta’aruf (pengenalan diri) antara tuan rumah dan tetamu. Antara ahli PEMBINA-DHL yang sempat hadir dalam majlis ini ialah Sdr. Abdul Shakur Bin Muhamad Zamani (JK Program), Sdr. Abdul Hakim B Adzman (JK Kesenian, Rekreasi dan Kesukanan), Sdr. Afizhi b Atan (Media PEMBINA Pusat) dan Sdr. Luqman (wakil PEMBINA MMU Cyberjaya).

Para tetamu kemudiannya diberikan sedikit pengenalan oleh Sdr. Abdul Shakur tentang keadaan semasa serta aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh PEMBINA-DHL.

Sebelum bersurai, penganjur telah menjemput Ustaz Annuar Salleh yang juga merupakan Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Daerah Hulu Langat (ISMA-DHL) untuk membekalkan sedikit penajam minda kepada para hadirin. Antara perkongsian yang disampaikan oleh beliau ialah tentang peri pentingnya belia terlibat dalam persatuan yang dapat membimbing diri mereka kepada kebaikan. Realitinya, sesebuah persatuan atau organisasi tidak memerlukan tenaga kita, tetapi kitalah yang perlu mencari dan mendapatkannya dalam menjamin masa depan yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana.

Ustaz Annuar juga turut sama berkongsi pengalamannya ketika sama-sama berjawlah sewaktu usia remaja dahulu. “Ust dulu tahan lori jer untuk nak sampai ke tempat yang nak ust pergi”, tambah beliau sambil berseloroh.

Jawlah ini merupakan satu inisiatif PEMBINA MMU Melaka untuk memperkenalkan wakil PEMBINA MMU Cyberjaya kepada peserta yang akan berpindah ke MMU Cyberjaya pada tahun hadapan.

Kedatangan peserta ke Bandar Baru Bangi ini digunakan juga untuk melawat Pejabat Aman Palestin (AP) yang terletak di Seksyen 3. AP merupakan sebuah badan yang memperjuangkan isu Palestin dan telah mengadakan pelbagai program berkenaan Palestin di seluruh negara. PEMBINA-DHL pernah bekerjasama dengan AP dalam mengadakan Malam Palestin pada awal tahun ini dan juga Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis di PWTC pada bulan lepas di bawah PEMBINA Pusat. Seterusnya, para peserta bergerak menuju ke Putrajaya untuk meneruskan aktiviti di sana.

Abdul Shakur Bin Muhamad Zamani
AJK Program PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL)


Baca Selanjutnya...

Potensi Beliawanis Dalam Pembinaan Tamadun

Oleh: Nor Hasni Hayati Binti Hanapi, PEMBINA Daerah Hulu Langat

Kedatangan Islam telah berjaya membawa satu perubahan agung dalam pembinaan tamadun manusia. Islam melihat bahawa setiap manusia, sama ada lelaki atau wanita, sempurna mahupun kurang upaya, mempunyai kebolehan, kebijaksanaan dan potensi yang tersendiri dalam memajukan dan mentadbir dunia. Jika kita melihat ke belakang, sejarah dunia telah mencatatkan peristiwa hitam di mana golongan wanita diperlekehkan malah dibunuh sejak masih bayi lagi.

Adam Jones dalam bukunya yang bertajuk “Gendercide and Genocide” telah mengupas sejarah pembunuhan anak-anak perempuan disebabkan pemikiran-pemikiran sempit dan kolot. Pada zaman Greek Purba, di kalangan 6000 buah keluarga, hanya 1 peratus darinya mempunyai 2 orang anak perempuan. Sewaktu zaman Renaissance pula, anak-anak kurang upaya sewenang-wenangnya dibunuh. Manakala dalam masyarakat Hindu, mereka mempunyai sistem kasta dimana anak-anak perempuan dibunuh atas alasan keluarga tidak mampu membayar mahar perkahwinan (dowry) mereka yang tinggi apabila anak2 mereka berkahwin kelak. Mereka juga menganggap anak-anak perempuan lemah dan tiada nilai sedangkan anak lelaki mempunya kudrat yang kuat untuk bekerja dan manjaga ibu bapa apabila ibu bapa telah tua. Berdasarkan bancian statistik yang dibuat dalam The Toronto Star, 1994, sebanyak 196 bayi perempuan dibunuh dari tahun 1993 hingga 1994 di kalangan masyarakat Tamil Nadu. Di kalangan mereka, ada yang dibiarkan mati kelaparan, di suap beras sehingga menembusi kerongkongnya, diberi makan serbuk baja beracun, dan dicekik dengan tuala. Masyarakat di tanah besar China pula membunuh anak-anak perempuan sebelum pengasasan People’s Republic pada tahun 1949 lagi. Pada tahun 1979 pula, kerajaan China telah memperkenalkan polisi “Satu Keluarga Satu Anak” dengan tujuan untuk mengawal populasi penduduk di China. Sesiapa yang melanggar polisi ini akan dikenakan hukuman potongan gaji dan disekat dari menggunakan sebarang perkhidmatan sosial. Tidak ketinggalan, masyarakat di zaman Arab Jahiliyah menanam anak-anak perempuan hidup-hidup kerana malu dengan status sosial wanita yang rendah di sisi masyarakat. Begitulah kolotnya pemikiran dan tindakan golongan yang tidak bertamadun.

Kini, kita melihat bawah Islam telah mengangkat darjat wanita sedangkan seluruh dunia seolah-olah tidak nampak langsung peranan wanita di muka bumi ini. Semenjak Islam mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita, wanita telah berjaya membuktikan satu persatu keupayaan mereka. Lihat sahaja peranan Siti Khadijah Binti Khuwaylid, isteri kepada tokoh terpenting dunia, Muhammad Bin Abdullah. Beliau adalah seorang isteri kepada seorang Rasul. Begitu besar peranannya sebagai isteri dalam memastikan tugas suaminya berjalan lancar dalam menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Begitu juga peranan isteri kedua Rasulullah yang bernama Siti Aishah Binti Abu Bakr, yang mempunyai keupayaan menghafal kata-kata dan mengingati perlakuan-perlakuan suaminya yang sehingga kini menjadi rujukan seluruh ummah. Anak Rasulullah yang bernama Fatimah Az-Zahra, juga tidak ketinggalan memainkan peranannya sebagai penghibur Rasulullah tatkala Rasulullah dilanda dugaan. Dialah yang membersihkan kepala ayahnya tatkala kepala ayahnya ditabur pasir-pasir dan segala jenis kotoran. Lihat pula Ummu Aiman yang turut menggalas beban membantu memberi minum kepada para mujahid di medan perang, Ummu Sulaim yang menggerakkan seluruh anggota keluarganya menyumbang kepada dakwah Islam dan Umm Nidal yang mewakafkan anak-anaknya mempertahankan bumi Palestin sehingga syahid kesemuanya. Tidak cukup nama-nama wanita-wanita yang telah banyak berjasa kepada sejarah peningkatan tamadun manusia untuk dikongsikan di sini. Namun, apa yang pasti, mereka telah membuktikan kehebatan dan potensi yang lahir daripada jantina yang telah diangkat darjatnya oleh Islam.

Di Malaysia, para wanita turut ke hadapan dan menonjol dalam agenda pembangunan negara. Namun begitu, ada juga yang agak ketinggalan dalam mengejar arus ketamadunan. Para wanita, terutama yang muda dan masih tergolong dalam lingkungan umur belia perlu mengambil inisiatif untuk bersama-sama mengorak langkah dalam menggarap segala potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sekiranya para belia, terutamanya beliawanis dapat membuktikan kemampuan dan kehebatan diri, insyaAllah mereka akan dapat menjamin masa depan ummah yang berjaya dan diredhaiNya.


Beliawanis PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...