Hijrah Ke Arah Merealisasikan Iman

Nabi & Para Sahabat berhijrah ke arah merealisasikan iman; menzahirkan, menyatakan dan menghidupkan iman mereka di atas bumi. Ketika di Makkah, kaum Muslimin terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang menekan jiwa; ada yang terpaksa menyembunyikan iman di tempat awam, ada yang didera secara fizikal, diugut dengan nyawa & maruah, dihalau oleh keluarga, bahkan ada yang dipaksa mengucapkan kekufuran. Terlalu banyak kekangan yang menghalang mereka menonjolkan iman mereka ke permukaan dan hidup harmoni dengan iman mereka.

Hijrah merubah segalanya. Kini mereka hidup dibawah kepimpinan & keadilan Islam; mereka berupaya mempamerkan otot-otot Islam dan mampu meyakinkan puak-puak jauh dari perimeter Madinah untuk turut memeluk Islam. Ketika itu, alam mampu merasai nikmat tertonjolnya sebuah gerakan manusia yang mensucikan Allah dari segala perbandingan di langit dan bumi serta menyeru manusia lain agar bersama dalam nada tasbihnya. Nikmat terzahirnya sebuah keimanan bukan semata-mata memerdekakan individu, tetapi mengesani para makhluk yang disentuh arusnya.

Sahabat-sahabat semua, kita juga perlu berhijrah utk merealisasikan iman. Iman yang sudah terpaku di hati; Iman yang mengakui bahawa Allah itu Esa dan penentu segala urusan; Muhammad itu hambaNya dan contoh penghambaan terbaik; dan Al-Quran itu peraturan yang ditetapkan ke atas hamba-hambaNya.

Namun, kita kini hidup dalam suasana keimanan kita dicabar. Beriman pada hari ini ibarat menggenggam bara api. Ada saja elemen yang ingin mencuri atau memesongkan iman kita. Elemen itu kian kuat kecuali apabila kita berhijrah daripadanya. Ya, kekangan kita hari ini adalah al-hawa atau nafsu yang mendorong kita memalingkan diri dari keimanan. Ia pula disokong oleh propaganda-propaganda yang mengajak agar memenangkannya (nafsu). Maka salahlah kiranya kita memandang enteng urusan hawa nafsu ini. Sebaik kita mengambil mudah, ia akan diapikan oleh suasana jahiliyah yang menunggu kesempatan. Akibatnya, terhakis sensitiviti iman sedikit demi sedikit dan akhirnya tewaslah jiwa ke lembah kehinaan. Lagi dalam kita jatuh, lagi payahlah jalan mendaki semula ke puncak keimanan.

Hijrahlah, sahabat sekalian, ambil iktibar dari peristiwa hijrah Nabi & para sahabatnya. Berhijrahlah:

1) Dari persembunyian kepada keberanian. Dari Keimanan yang sorok-sorok, segan menyatakan identiti kepada berani tampil menzahirkan diri dgn aqidah & fikrah yang didokong, dengan nama & ciri-cirinya yang jelas. Tonjolkan jatidiri anda sebagai Muslim yang beriman yang sayangkan agamanya dan dambakan SyurgaNya. Dengan terzahirnya rupa paras keimanan sebenar, akan gentarlah musuh-musuh dan akan tunduk mereka yang selama ini ragu. Terlontarlah satu resolusi baru buat masyarakat yang dahagakan ketenangan dan rahmat Allah.

2) Dari suasana mencabar & menggelapkan iman kepada suasana ukhuwwah & keimanan yang terang & terbuka. Daripada suasana pergaulan yang menyimpangkan hati atau suasana individualistik yang membuka pintu syaitan kepada suasana yang kondusif untuk menyuburkan iman serta khalwat hati bersama Tuhan yang Maha Mengetahui isi hati. Berpindahlah dari kehidupan yang diselubungi atau dikelilingi maksiat atau suasana2 yang mendorong hati kepada maksiat atau suasana yang menyibukkan dengan kelalaian, kepada sebuah penempatan iman, yang dikelilingi orang soleh, yang hidup mentaati Allah dan takut melangkau batasanNya; Yang tak putus bekerja dan bersemangat waja untuk agama. Suasana ini akan mempengaruhi kita dengan menghidupkan iman dan membentuk sebuah tasawur masyarakat soleh yang kita idam-idamkan, yang satu tujuannya dan lurus jalannya.

3) Daripada statik, pasrah & berserah nasib kepada berusaha ke arah kejayaan iman. Daripada sekadar berdoa dan berharap Allah membinasakan musuhnya & memenangkan agamanya kepada berusaha sama dan komit untuk menjayakan agama Allah. Nabi S.A.W. menegur Khabbab Al-Arat di Makkah yang meminta Nabi berdoa mempercepatkan kemenangan.

3.1) Menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk membangunkan iman kita, mengajak diri kita kepada amal soleh dan meninggalkan kesia-siaan. Bukannya sekadar mendoakan hidayah, tetapi terus leka dalam maksiat dan dosa lalu mengharap Allah meredhai atau berserah kepada ketentuan Syurga & Neraka. Bukan begitu cara dunia ini berfungsi. Penyucian diri harus disertai taubat dan amal bersungguh-sungguh yang menyental jiwa dari kekotoran dan menjauhkan diri dari jahiliyyah silam. Jangan rela jiwa dicemari dengan noda. Dengan kesungguhan taubat & amal, insyaAllah, Allah akan memberkati dan mengukuhkan tapak kita di atas jalan Islam.

3.2) Kita perlu menelusuri jalan-jalan yang menyampaikan kepada kejayaan Islam agar dakwahnya diterima dan difahami masyarakat umum. Kita perlu berusaha membangkitkan iltizam dan motivasi serta memberi nasihat-nasihat praktikal kepada masyarakat agar ia konsisten dalam pegangannya dan menolak Jahiliyyah dengan sebenarnya. Bukan semata-mata berdoa dan berserah kemudian meninggalkan agama kepada Pemiliknya sedang kita leka dalam kehidupan peribadi kita. Benar, Allah akan memenangkan agamaNya, tapi bukankah satu nikmat besar jika Allah memenangkan agamaNya melalui tangan-tangan kita? Bukankah "lebih baik dari dunia & seisinya" sekiranya seseorang mendapat hidayah dari usaha-usaha kita? Oleh itu, bersungguhlah dan usah beramal seperti melepaskan batuk ditangga, dan mengharap Allah menyempurnakan urusannya dengan usaha manusia yang longlai; tapi susunlah langkah yang tepat dan beramallah seolah-olah itu kunci anda ke pintu Syurga.

Sahabat-sahabat sekalian,

Selamat menempuh tahun baru Hijrah. Teguhlah dalam berazam, wahai belia. Kadang-kala kita perhati orang yang panjang umur yang meremehkan konsep memperbaharui azam, lalu dia gagal mengambil pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang sepatutnya mengesani hati. Janganlah jadi seperti itu. Tinggikanlah azam & tentukan matlamat-matlamat kita walau apa diperkata orang.

Ya, semua orang akan mengharungi saat tahun baru Hijrah. Sama ada dgn keazaman baru atau perasaan lesu. Dan "..barangsiapa yang berhijrah kerana Allah & Rasul, maka hijrahnya kerana Allah & Rasul. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang dikejarnya atau perempuan yang ingin dikahwininya, dia berhijrah kepada apa yang dia hijrahkan."



Aizuddin Khalid
Ketua Cawangan
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Daerah Hulu Langat
Baca Selanjutnya...

Sohwah Menggegarkan Pidato Perdana Palestin


Sabtu, 19 Disember 2009 - Sohwah, kumpulan nasyid PEMBINA DHL, telah berjaya melangsungkan persembahan pada malam Pidato Perdana Palestin di Seksyen 1, Bandar Baru Bangi. Pada malam tersebut, Sohwah telah berdiri setanding & berkongsi pentas bersama artis-artis nasyid tempatan yang turut sama dijemput oleh pihak penganjur.

Pidato Perdana yang dianjur oleh Prime Care dengan kerjasama Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, MPP Zon 23 & Aman Palestin merupakan salah satu aktiviti sempena Karnival Usahawan B. B. Bangi 2009. Sesi pidato telah disampaikan oleh Dr. Zainur Rashid Zainuddin, perunding dari Aman Palestin.

Sohwah, yang diketuai Saudara Abdul Hakim b Adzman, AJK Kebudayaan, Rekreasi & Sukan PEMBINA DHL, telah menyampaikan 2 lagu cover dari Shoutul Harokah berkenaan perjuangan Palestin. Persembahan nasyid yang rancak serta bersemangat dari Sohwah telah berjaya membakar & mengobarkan semangat para hadirin untuk bersama-sama menyumbang dalam isu umat ini.

Semoga Sohwah akan terus maju dalam arena nasyid bagi menyebarkan kefahaman dan menyemai sensitiviti terhadap agama dan masyarakat.

Baca Selanjutnya...

Sekalung Doa Buat Mempelai PEMBINA DHL




PEMBINA DHL ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan

“Barakallahu lakum, wabaraka alaikum, wajama’a bainakum fil khair”

“Semoga keberkatan Allah untuk kamu semua dan menghimpunkan kamu semua di dalam kebaikan”

kepada ahli-ahli PEMBINA DHL yang telah dan akan diijabkabulkan dalam masa terdekat ini:

  1. Saudari Nurulhuda Baharin & Mohd Fauzi Abd Hamid – 21 Nov di Pantai Remis, Perak.
  2. Saudari Siti Aishah Hj. Rusdan & Nur Arif Che Mat – 22 Nov di Lanchang, Pahang.
  3. Saudari Wan Nurhanani Wan Mohd Nor & Afandi Yusoff Bakti – 28 Nov, K.Bharu, Kelantan.
  4. Saudari Nurul Azizah Omar & Amiruddin Husain Ahmad Kamal – 12 Dis, Kuala Besut, Terengganu
  5. Dr Ummu Harieza binti Abdul Aziz & Hamzah bin Sakeran, Ahad 13 Disember di Seksyen 3/4F, Bandar Baru Bangi
Baca Selanjutnya...

Karnival Sukan Belia Islam Nasional



Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Tawan Gunung Dato' Buat Kali Kedua Dalam 2009



Rembau 7 November 2009 - Puncak Gunung Dato’ sekali lagi menjadi saksi dalam misi ahli-ahli dan sahabat Pembina PEMBINA Daerah Hulu Langat menawan Gunung Dato’ yang mempunyai ketinggian setinggi 2900 kaki.

Ekspidisi bermula pada jam 10:30 pagi waktu tempatan dan disertai oleh 9 orang pendaki termasuk Ketua PEMBINA cawangan Hulu Langat, Sdr Aizuddin bin Khalid serta seorang pendaki cilik berumur 11 tahun. Semua peserta berkumpul di kediaman ahli Pembina di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan ke Rembau pada pukul 9:30 pagi. Perjalanan ke Rembau memakan masa selama 45 minit dan cuaca pada hari tersebut seakan berpihak kepada peserta walaupun di dalam cuaca yang tidak menentu dek musim hujan yang sedang membadai seluruh Malaya.



Saudara Abdul Shakur selaku Ketua Ekspidisi untuk misi kali ini telah memberikan beberapa taklimat perjalanan dan keselamatan sebelum diteruskan pula oleh acara warming up oleh seorang wakil peserta daripada UNITEN. Dengan berbekalkan azam, doa dan tawakkal serta sedikit bekalan makanan dan minuman, peserta ekspidisi melangkah gagah meredah hutan belantara untuk menawan puncak Gunung Dato’ ini.

Perjalanan ke puncak diselang-seli dengan Ice Breaking di kalangan peserta. Aktiviti ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk melepaskan lelah dan mengatur kembali nafas setelah bertungkus-lumus meredah trek yang merupakan antara yang tercabar di Malaysia. Setelah 1 jam setengah mendaki dengan penuh kesabaran, para peserta tampak begitu kaget dan terpesona melihat saujana pemandangan yang begitu mengasyikkan. Penat dan lelah seolah-olah terbayar dengan kecantikan yang lama menanti para peserta selama ini.



Peserta mula turun kembali ke kaki gunung setelah melihat awan Columbus yang begitu hitam yang hanya menunggu masa untuk mencurahkan rahmat dari Allah s.w.t. Beberapa keping gambar kenangan sempat diambil untuk ditunjukkan kepada warga Hulu Langat nanti. Dalam perjalanan turun juga, peserta sempat mengalaskan perut dengan beberapa keping roti yang berintikan sardin. Peserta begitu menginsafi akan nikmat sekeping roti yang dikunyah dek kepayahan mendapatkan hidangan yang lazat di tengah hutan belantara tersebut.

Perjalanan untuk turun juga memakan masa selama 1 jam setengah dan peserta terus bergegas memasuki kenderaan masing-masing kerana titisan air hujan mula menyambut kepulangan para pejuang yang baru berjaya melaksanakan misi mereka dengan jayanya. Alhamdulillah, perjalanan naik dan turun selama 3 jam dilindungi oleh Allah dari bahaya dan hujan.

Peserta kembali ke pekan Rembau untuk solat Zohor dan Asar secara jama’ dan qasar di Masjid Rembau dan menyantap makanan tengah hari bersama di sebuah gerai di medan selera Rembau. Sedikit perkongsian dan santapan rohani diberikan setelah peserta menjamah makanan masing-masing. Antara input penting yang diberikan oleh AJK Kreks iaitu Sdr Abdul Hakim adalah mengenai kekitaan (ukhuwwah) diantara sesama Islam. Antara pengajaran lain yang dikongsi bersama adalah sikap bersungguh-sungguh yang perlu ada dalam diri setiap muslim dalam menempuhi cabaran-cabaran di dalam hidup.

PEMBINA DHL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Diharap pada masa akan datang, aktiviti-aktiviti sebegini akan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengisi masa-masa para belia dengan aktiviti yang mampu membina jatidiri sebagai seorang muslim.

Abdul Shakur bin Zamani
AJK Program
PEMBINA DHL








Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Menyambut Lawatan PEMBINA Pulau Pinang Dengan Pengisian Fikri & Jasmani



B.B.Bangi, Sabtu, 14 Nov – Kehadiran PEMBINA Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi dalam satu program jaulah anjuran mereka telah disambut dengan baik & meriah oleh PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL). Di samping menyambut tetamu secara tradisi dengan berta’ruf dan menyampaikan sedikit pengisian & perkongsian pengalaman, PEMBINA DHL turut menghidangkan aktiviti riadah sebagai santapan jasmani buat tetamunya kali ini.

Pertemuan kedua cawangan PEMBINA ini bermula dari petang hingga ke malam. Pada sebelah petang, PEMBINA DHL telah menganjurkan program riadah khas untuk menyambut tetamu-tetamu dari Penang ini. Para beliawanis telah berkumpul di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi untuk beriadah bersama dalam acara-acara sukaneka. Manakala para belia telah disegarkan dengan permainan Futsal 5 sebelah. Permainan Futsal persahabatan ini disusun untuk mempertemukan pasukan Penang menentang tuan rumah dari DHL. Permainan telah dihangatkan dengan pelbagai aksi serta penguasaan permainan yang silih ganti antara pasukan DHL & Penang. Alhamdulillah, PEMBINA P. Pinang telah berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti riadah yang telah dipersembahkan oleh PEMBINA DHL.

Pada sebelah malam pula, PEMBINA P. Pinang telah berpeluang untuk mendengar pengisian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk menyambut tetamu dari utara. Beliau, dalam ucapannya, telah menekankan kepentingan melakukan tugas-tugas memperbaiki & membimbing masyarakat, sebagaimana telah diterangkan dalam satu hadis Rasulullah S.A.W., yang mengibaratkan institusi masyarakat seperti sebuah bahtera yang berlayar. Dr. Kamil, yang merujuk penulisan Muhammad Qutb, turut memberi gambaran-gambaran realiti semasa akibat mengabaikan tanggungjawab sosial dalam memimpin masyarakat berlandaskan agama Islam. Akhir sekali, beliau telah menyeru para hadirin untuk berganding bahu agar bersama memikul bebanan dakwah ini yang tak mungkin mampu dilaksanakan secara berseorangan.

Majlis pada malam tersebut juga telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan PEMBINA DHL, Aizuddin Khalid, yang juga turut meluahkan ikatan perasaanya dengan negeri Pulau Pinang kerana sejarahnya bersekolah di sana serta peranan ayahanda mertuanya yang masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Penang.

Diharap pertemuan yang singkat ini telah cukup untuk menyemai kemanisan iman, pertukaran pengalaman, serta melebarkan rangkaian ukhuwwah dikalangan ahli PEMBINA.





Media PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Tarbiyyah Melahirkan Practitioner


21 Nov 2009 - “Tarbiyyah bukan semata-mata untuk melahirkan ilmuan, tapi untuk melahirkan practitioner Islam”. Begitulah ujar Saudara Aizuddin Khalid, Ketua PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat dalam satu sesi menutup daurah melibatkan mahasiswa KUIS di Bandar Baru Bangi. Beliau merujuk kepada mahasiswa KUIS yang bersemangat melalui pendidikan berteraskan Islam. Beliau juga mengajak para belia khususnya, belia KUIS, untuk bersama-sama menyumbang kepada Islam mengikut kelebihan & kemampuan masing-masing.

Aizuddin yang turut mengambil kesempatan memperkenalkan PEMBINA menerangkan bahawa kepelbagaian aktiviti yang dianjurkan PEMBINA bertujuan memupuk satu kefahaman atau paradigma kepada para belia mengenai keluasan & praktikaliti Islam dalam segala pengertiannya terutama pada era moden. Beliau juga mengatakan bahawa zaman belia adalah waktu terbaik membangunkan jiwa & potensi diri kerana sifat-sifat istimewa belia yang mampu mendokong ideologi yang diimani. Beliau mengungkap penulisan Hasan Al-Banna yang menggariskan sifat-sifat istimewa belia iaitu:
1. Hati yang cerdik ﺍﻟﻘﻠﺐﺍﻟﺬﻛﻰ
2. Sanubari yang jernih ﺍﻟﻔﻮﺍﺩﺍﻟﺘﻘﻰ
3. Perasaan yang mekar ﺍﻟﺸﻌﻮﺭﺍﻟﻘﻮﻱ
4. Keazaman pemuda ﺍﻟﻌﺰﻣ ﺍﻟﻔﺘﻰ

Para siswa KUIS yang baru sahaja dibentangkan “Tarbiyyah Islam & Madrasah Hasan Al-Banna” menunjukkan keterujaan mereka untuk bersama-sama menjalani aktiviti-aktiviti tarbiyyah serta bersama PEMBINA berdakwah kepada masyarakat khususnya para belia. Semoga PEMBINA akan maju dan berterusan dalam melahirkan generasi Islamik yang dinanti-nantikan masyarakat.



Media PEMBINA DHL



Baca Selanjutnya...