Denggi: musuh yang sering dipandang ringan


Saban hari, kita mendengar pesakit dijangkiti demam denggi, bahkan ada yang meninggal disebabkan oleh demam denggi berdarah dan sindrom renjatan denggi. Pihak kementerian berusaha sedaya-upaya untuk menyedarkan masyarakat tentang peri-pentingnya menghalang pembiakan nyamuk Aedes seterusnya mengurangkan kes Denggi. Terlalu banyak fakta yang perlu disebutkan, tetapi artikel yang terlalu panjang tentunya membosankan. Saya cuba yang terbaik agar dapat dimanfaatkan semua.

FAKTA SATU

Denggi adalah sejenis penyakit yang disebabkan oleh arbovirus, tergolong dalam famili flaviviridae. Terdapat 4 jenis iaitu DEN-1, DEN-2, DEN-3 dan DEN-4. Virus ini dibawa oleh nyamuk betina Aedes. Menurut data epidemiologi yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, kes denggi menunjukkan peningkatan iaitu daripada 44.3 kes / 100 000 populasi (pada 1999) kepada 181 kes / 100 000 populasi (pada tahun 2007). Kadar kematian yang disebabkan oleh Denggi di kalangan orang dewasa juga menunjukkan peningkatan. 70% - 80% kes Denggi berlaku di kawasan bandar (urban area).

Mengapa kita perlu tahu tentang fakta di atas?

Ini adalah supaya kita boleh menilai berapa tinggi risiko dan kemungkinan untuk kita mendapat penyakit ini. Contohnya, sekiranya kita tinggal di kawasan bandar, kita mempunyai kemungkinan (probability) yang lebih tinggi untuk mendapat Denggi. Kita perlu lebih berjaga-jaga dan memandang serius sebarang simptom denggi agar kita boleh memberi rawatan sewajarnya sebelum terlambat.

FAKTA DUA

Satu perkara yang amat penting untuk difahami mengenai Denggi ialah faktor masa. Prognosis (sequlae / outcome) seseorang pesakit yang telah dijangkiti virus Denggi amat bergantung kepada secepat mana pesakit itu dibawa berjumpa doktor dan mendapat rawatan di hospital. Sekiranya rawatan diberi awal, kemungkinan seseorang pesakit itu untuk mati akibat komplikasi denggi adalah rendah. Dalam jangkitan denggi, terdapat 3 fasa yang akan dilalui oleh pesakit.

1. Fasa demam (Febrile phase)
Pesakit akan mengalami demam sekitar 3 - 4 hari. Suhu boleh mencapai 40°C. Fasa ini biasanya akan menyebabkan pesakit datang untuk berjumpa dengan doktor.

2. Fasa kritikal (critical phase)
Selalunya terjadi pada hari ke-4 dan ke atas. Demam akan beransur hilang. Fasa ini dipanggil kritikal kerana pada waktu inilah komplikasi denggi akan terjadi. Pada waktu yang kritikal ini, adalah penting untuk pesakit berada di hospital agar rawatan sewajarnya dapat diberikan andainya komplikasi denggi berlaku.

3. Fasa penyembuhan
Selalunya pada hari ke-7 dan ke atas. Fasa ini adalah fasa di mana pesakit mula sembuh.

Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?

Ada sesetengah pesakit lebih suka merawat demam mereka sendiri di rumah tanpa merujuk doktor. Ini menyebabkan denggi tidak dapat dikesan lebih awal. Lebih-lebih lagi, apabila pesakit tinggal di kawasan endemis (endemic area). Apabila pesakit mengalami komplikasi seperti pendarahan dalaman, ia mungkin terlalu lewat untuk diselamatkan.

Seperkara lagi, sesetengah pesakit rasa mereka sudah pulih apabila demam mereka mula berkurangan. Denggi adalah berbeza. Seandainya pesakit mengidap Denggi, fasa ketika demam hilang adalah fasa yang sangat kritikal dan perlu kepada pemerhatian doktor di hospital.

FAKTA TIGA

Simptom-simptom Denggi mempunyai spektrum yang luas. Bermula dengan demam yang tinggi suhunya, sehinggalah ia melibatkan organ-organ lain dalam badan seperti hati, paru-paru dan buah pinggang (sekiranya pesakit mengalami komplikasi akibat Denggi) dan berakhir dengan kematian.

Simptom-simptom yang perlu diberi perhatian ialah apabila pesakit mengalami demam yang suhunya mencecah 39°C ke atas. Demam yang berpanjangan (3 hari ke atas). Demam ini berlaku bersama beberapa simptom lain seperti lemah dan sengal tubuh badan, sakit pada bahagian sendi dan timbul bintik-bintik merah pada kulit. Sekiranya pesakit mempunyai simptom-simptom di atas dan kawasan rumah pesakit adalah kawasan wabak Denggi, sila rujuk klinik terdekat secepat mungkin.

Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?

Simptom demam Denggi adalah simptom yang umum dan tidak spesifik. Terdapat jangkitan-jangkitan lain yang mempunyai simptom yang sama. Tetapi, adalah penting untuk mendapatkan nasihat doktor untuk memastikan pesakit tidak mempunyai jangkitan Denggi. Justeru, bertindak awal adalah sangat penting.

FAKTA EMPAT

Nyamuk Aedes betina adalah vektor (pembawa) virus ini. Selalunya membiak dalam air jernih yang bertakung lama (3 hari dan ke atas). Seperti yang dinyatakan dalam fakta di atas, kebanyakan kes berlaku di kawasan bandar. Tempat-tempat yang perlu diberi perhatian lebih ialah tayar-tayar buruk yang ditinggalkan dan pasu-pasu bunga atau bekas-bekas yang menakung air hujan. Kalau pembaca tengok dalam air yang bertakung lama begini, cuba suluhkan lampu, pembaca akan nampak jentik-jentik yang bergerak secara zig-zag. Jentik-jentik ini menjadi aktif apabila disuluh cahaya.

Mengapa kita perlu tahu fakta di atas?

Tugas mengenalpasti dan merawat adalah bidang tugas doktor tetapi mencegah pembiakan nyamuk dan mencegak jangkitan adalah tanggungjawab semua. Ingat, mencegah itu adalah sentiasa lebih baik daripada merawat. Kalau saya ingin panjangkan artikel ini, tentunya saya pilih untuk menulis lebih panjang dalam fakta ini.

Pencegahan

Ini adalah tugas yang mesti dipandang berat dan diberi perhatian lebih oleh pembaca.
Luangkan masa 10 minit setiap hari untuk memastikan tidak ada takungan-takungan air yang boleh menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes. Kalau saudara biarkan, nyamuk bukan sahaja boleh menjangkiti saudara, bahkan jiran-jiran yang berdekatan. Takkan nak tunggu ahli keluarga kita menemui ajal akibat denggi, baru kita nak ambil tindakan serius? ataupun mungkin kita yang menjadi mangsa. Tentunya ia sudah terlalu lewat untuk mencegah apabila jasad tidak lagi bernyawa.
Mudah-mudahan sedikit coretan ini mampu menyumbang kepada kesedaran dalam menangani wabak Denggi. Saya galakkan pembaca mencari lebih banyak maklumat mengenai Denggi dan ia mudah didapati di mana-mana. Selamat membaca!
Allahu a'lam.

Dr Naim

Baca Selanjutnya...