Majlis Hari Raya Aidilfitri PEMBINA DHL




Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL bersama warga kampus UniKL-MFI

Bangi 9 September 2009 - PEMBINA Daerah Hulu Langat telah mengambil bahagian dalam Hari Kesedaran Pengguna Islam anjuran UniKL-MFI dengan membuka gerai jualan dan meja pameran PEMBINA.

Ini merupakan salah satu usaha PEMBINA DHL untuk mendekati warga kampus, dan juga memperkenalkan PEMBINA kepada para pelajar dan staf UniKL-MFI.

PEMBINA DHL sangat berpuas hati dengan sambutan yang memberangsangkan dari siswa-siswi MFI. Sepanjang pameran berlangsung, PEMBINA DHL berjaya menarik sebanyak 19 sukarelawan untuk berdaftar.

Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada pihak UniKL MFI yang sudi menjemput & memberi ruang kepada PEMBINA DHL membuka gerai serta mempromosikan aktivitinya.

Baca Selanjutnya...

Program Ramadhan: Beliawanis PEMBINA Ceria Bersama Di UNITEN

KAJANG, 4 September 2009 – Satu majlis berbuka puasa telah berjaya dianjurkan oleh ahli-ahli PEMBINA dari kalangan mahasiswi-mahasiswi UNITEN. Tujuan program adalah untuk mempertautkan ukhuwwah antara ahli-ahli PEMBINA, mengalu-alukan kedatangan mereka yang menuntut di IPT lain untuk melawat kampus UNITEN serta memperkenalkan PEMBINA kepada pelajar-pelajar yang berminat menyertainya.

Majlis dimulakan seawal jam 6 petang di tepi tasik UNITEN bagi beramah mesra sesama ahli-ahli PEMBINA yang turut hadir dari insitusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar daerah Hulu Langat seperti Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Pendidikan Islam (IPGM-KPI), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Program diteruskan dengan berbuka puasa dan solat Maghrib bersama di Masjid UNITEN. Sementara menanti waktu Isyak dan solat Tarawikh, satu sesi penyampaian cenderahati oleh pihak penganjur diadakan. Cenderahati yang disampaikan berbentuk sebatang pen dan pensel yang terukir nama “Universiti Tenaga Nasional”. Majlis kemudian diakhiri dengan salam yang penuh dengan kehangatan ukhuwwah.

Diharap dengan majlis ringkas yang diadakan hasil usaha ahli-ahli PEMBINA di UNITEN ini akan diselit dalam lipatan kenangan semua yang menghadirinya dan menjadi pendorong untuk sama-sama memajukan belia di peringkat IPT masing-masing.


Baca Selanjutnya...

PEMBINA DHL Beramah Mesra Dengan Mahasiswa MMU Cyberjaya

Cyberjaya, 2 September 2009 – Satu majlis ramah mesra antara wakil-wakil PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) dan mahasiswa Multimedia University (MMU) Cyberjaya telah berjaya dilangsungkan di Surau MMU. Tujuan program adalah untuk mempertautkan ukhuwwah antara PEMBINA DHL dan ahli-ahli PEMBINA dari kalangan mahasiswa MMU, disamping memperkenalkan PEMBINA kepada pelajar-pelajar yang berminat menyertainya. Ia juga merupakan salah satu program yang dirancang oleh ahli-ahli PEMBINA di MMU sempena bulan Ramadhan.

Program ini telah bermula dengan majlis iftar diikuti solat Maghrib dan makan malam bersama. Program diteruskan dengan satu sesi ringkas memperkenalkan PEMBINA yang disampaikan sendiri oleh Ketua PEMBINA DHL , Saudara Aizuddin Khalid. Beliau telah memperkenalkan PEMBINA sebagai sebuah persatuan belia unik yang menganjurkan program-program untuk menyalurkan tenaga belia yang dinamik dan bersemangat untuk manfaat Islam.


Alhamdulillah, majlis ramah mesra ini berjalan dengan baik dan berjaya mencapai objektifnya. PEMBINA DHL mendoakan ahli-ahli PEMBINA di MMU terus maju mempelopori amal-amal Islam di MMU serta menjadi qudwah yang baik dalam akademik, peribadi dan amal Islami secara amnya.

Baca Selanjutnya...

Ijazah dan Risalah



TAHNIAH diucapkan kepada beliawanis PEMBINA yang dengan rasminya telah bergelar graduan pada Majlis Konvokesyen yang telah berlangsung di beberapa buah IPT pertengahan Ogos yang lepas.

Sesungguhnya tanggungjawab sebagai aktivis tidaklah menghalang urusan sebagai seorang mahasiswa/i. Malah ia lebih memberi input tambah kepada belia dalam mengharungi liku-liku kehidupan dengan lebih dewasa. Selain itu, ia juga menambahkan pengalaman yang sememangnya tidak dapat dibayar dengan wang ringgit. Apa yang lebih penting, kita tidak melupakan tanggungjawab sebagai seorang muslim sejati walaupun bergelar mahasiswa/i.

Sesungguhnya juga, di usia inilah peluang untuk kita mengenali rakan-rakan kita di alam kampus terbuka luas dan kesibukan masih belum melanda. Gunakan kesempatan ini untuk mengajak mereka sama-sama menyumbang segala fikiran dan tenaga bagi memajukan agama, umat dan bangsa.


Satu renungan.....

Daripada Sayyid Abu A’la al Maududi:
"...Sukalah saya melahirkan perasaan gembira yang tersemat di hati saya. Apa yang saya lihat di seluruh universiti dan pusat-pusat pengajian di dunia Islam yang beriman penuh dengan aqidah Islam, menyedari tanggungjawab mereka sebagai orang Islam dan sanggup mengorbankan sepenuh tenaga mereka untuk menegakkan semangat Islam di pusat-pusat pengajian tinggi tersebut.

Peranan ini patut sangatlah mendapat sanjungan, penghargaan dan sambutan dari orang yang mempunyai perasaan tulus ikhlas kepada dunia Islam, kerana Allah dengan kemurahanNya telah mengurniakan kepada umatnya yang lemah ini pemuda-pemuda yang tahu tanggungjawab. Mereka ini menunaikan tanggungjawab itu secara aktif dengan penuh kesedaran di pusat-pusat pengajian tinggi dalam semua bidang pendidikan , sekalipun sistem pendidikan di seluruh dunia Islam sekarang ini dikuasai oleh cara berfikir dan tradisi barat"


Zahratul Sobah
PEMBINA DHL

Baca Selanjutnya...

Menyelusuri Dan Menghayati Kemuliaan Dan Kelebihan Bulan Ramadhan Di Daurah Ramadhan


BANDAR BARU BANGI; 22 & 23 OGOS (SABTU DAN AHAD), Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) telah berjaya menganjurkan satu program sempena kedatangan Ramadhan Al-Mubarak iaitu program DAURAH RAMADHAN. Program istimewa ini telah diadakan di Pejabat ISMA Daerah Hulu Langat dengan kehadiran seramai 31 beliawanis sekitar Daerah Hulu Langat.

Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan ialah Pengisian tentang Kesyumulan Islam, Mengenal Allah dan Cara Mendekatkan Diri dengan Allah. Bengkel tentang realiti kehidupan beliawanis di masa kini juga turut dikupas secara dekat dengan kehidupan sebenar pelajar pada masa kini. Daripada bengkel ini kebanyakan para peserta sebelum ini kadang-kadang tidak mengetahui cara penyelesaian kepada satu-satu situasi ketika mereka hadapi. Namun, setelah diberi maklumat dan pengetahuan melalui kajian kes, mereka dapat memahami suatu keadaan dengan jelas dan mengetahui bagaimana langkah yang tepat dan betul seperti yang digariskan oleh syariat cara terbaik untuk menghadapinya. Selain solat berjemaah bersama-sama, para peserta juga sempat membaca ayat suci Al-Quran sebanyak satu juzuk seorang. Selain itu,para peserta juga turut mengisi borang mutabaah Ramadhan agar masing-masing dapat buat semakan diri untuk peningkatan diri dari segi amal ibadah di bulan barakah ini. Semangat berlumba-lumba untuk buat amal kebajikan amat terserlah di kalangan semua beliawanis yang hadir hasil daripada sesi muhasabah tersebut. Yang paling menarik adalah aktiviti berjalan kaki bersama-sama ke Masjid Hasanah yang terletak berdekatan dengan pejabat untuk iftar, solat maghrib, isyak dan tarawikh di sana.


Usai solat tarawikh, para peserta berjalan kaki beramai-ramai pulang ke pejabat ISMA DHL untuk menikmati jamuan moreh dan meraikan hari ulang tahun kelahiran Ukht Shazamawati, ahli senior PEMBINA yang mesra dikenali sebagai Kak Shaza. Mereka semua berpeluang merasai kek batik dan air bandung cincau ais yang disediakan khas sempena hari ulang tahun kelahiran beliau. Disamping menikmati jamuan tersebut, para peserta sempat mengambil peluang untuk saling berkenalan dan bersilaturrahim antara mereka. Secara tak langsung, program ini dapat memantapkan ukhuwwah sesiapa yang hadir.

Para peserta juga mengambil sedikit masa membaca surah Al-Mulk sebelum tidur. Kemudian, Daurah Ramadhan diteruskan dengan qiamullail di sepertiga malam dan seterusnya solat subuh secara berjemaah. Usai solat subuh, para peserta dan ajk mengisi masa dengan membaca mathurat beramai-ramai. Mereka semua juga berkesempatan untuk solat dhuha berjemaah sebelum pulang ke tempat masing-masing. Semoga segala aktiviti yang dijalankan dapat memberi manfaat dan semangat kepada para peserta dan ajk untuk terus menambah amalan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Saya ingin mengambil peluang ini sebagai wakil daripada kumpulan Media, Teknikal dan Dokumentasi kami ingin mengucapkan Ramadhan Kareem... Moga ramadhan kali ini (1430H) adalah lebih baik daripada tahun sebelumnya.

Siti Nurfarehan
Wartawan
Media, Teknikal dan Dokumentasi Pembina DHL

Baca Selanjutnya...

Jemputan ke Hari Kesedaran Pengguna Muslim 2009

PEMBINA UniKL MFI ingin menjemput semua ahli & sahabat PEMBINA, serta semua belia & beliawanis Malaysia ke Hari Kesedaran Pengguna Muslim 2009 UniKL MFI. Perincian program seperti di bawah:

Klik pada gambar untuk lebih jelas
Baca Selanjutnya...

Antibiotik: satu perkongsian



Artikel kali ni akan menyentuh tentang antibiotik. Persoalan yang sering diajukan: Kenapa kena habiskan? Adakah antibiotic membunuh virus? Apa kesan antibiotik berlebihan? bagaimana antibiotik bertindak dalam badan? antibiotik dan kanak-kanak..bagaimana?

Pengenalan
Antibiotik adalah perkataan latin. ”anti” bermakna berlawanan (against) dan ”bios” bermaksud hidupan (life). Antibiotik adalah sejenis ubat yang mempunyai kesan toksid yang khusus ( selective toxicity) di mana ia akan membunuh organisma yang mengjangkiti tubuh tanpa memberi kesan buruk kepada tubuh itu sendiri.
Akan tetapi, dos perlu berada dalam lingkungan yang selamat dan mampu untuk membunuh organisma, ini dipanggil theraputic effect. Kurang dos menyebabkan antibiotik tidak berkesan manakala berlebihan boleh menyebabkan toksid.

Kenapa antibiotik perlu dihabiskan?
Antibiotik dan bakteria yang menjangkiti tubuh pesakit mempunyai perkaitan yang sedikit aneh. Bakteria mempunyai kapasiti untuk menjadi ”kebal” (resistant) daripada antibiotik tersebut seandainya ia tidak dihapuskan sepenuhnya. Kesannya, antibiotik tersebut tidak akan berkesan lagi untuk jangkitan seterusnya.
Walapun simptom pesakit bertambah baik, ia tidak bermakna semua bacteria telah dihapuskan. Oleh itu, dos antibiotik yang diberi, perlu dihabiskan agar bakteria tersebut hapus sepenuh seterusnya mengelakkan fenomena resistance berlaku.

Adakah antibiotik membunuh virus?
Tidak. Antibiotik tidak membunuh virus. Mungkin akan lebih difahami dalam huraian soalan seterusnya. Jangkitan virus mempunyai beberapa persamaan dengan jangkitan bakteria. Pesakit akan mengalami demam, sakit tekak, selsema dan batuk. Tetapi ada beberapa kriteria pembeza yang saya tidak berhasrat untuk menjelaskan di sini kerana mungkin tidak berapa sesuai dan boleh menyebabkan artikel terlalu panjang.
Mungkin cukup sekiranya saya nyatakan, sekiranya doktor suspek pesakit mempunyai jangkitan virus, doktor tidak akan memberi antibiotik. Ubat yang dipreskripsi akan lebih menjurus kepada rawatan simptom seperti ubat batuk, demam dan selsema. Jangkitan virus akan hilang dalam seminggu atau 2 minggu sekiranya tidak berlaku sebarang komplikasi.

Bagaimana antibiotik bertindak?
Antibiotik akan bertindak pada peringkat sell (cellular level). Caratindak antibiotik boleh dibahagikan kepada beberapa cara. Sebahagiannya bertindak dengan menghentikan proses sintesis protein bakteria, ada yang menghalang pembentukan dinding sel, dan ada yang menghalang proses metabolisma dalam sel bakteria tersebut. Oleh sebab cara tindak yang begini, antibiotik tidak berkesan terhadap virus. Virus mempunyai struktur kejadian yang berbeza.


Antibiotik dan kanak-kanak?
Secara generalnya, antibiotik boleh diberikan kepada kanak-kanak sekiranya jangkitan bakteria berlaku kepada mereka. Apa yang berbeza ialah seleksi (pemilihan) jenis antibiotik untuk mereka. Bayi, kanak-kanak dan perempuan mengandung adalah kumpulan-kumpulan pesakit yang khas, yang memerlukan pemilihan antibiotik yang sedikit berbeza daripada golongan remaja dan dewasa. Ada sesetengah antibiotik mempunyai kesan kepada pertumbuhan kanak-kanak. Justeru, ia perlu dielakkan.

Kesan sampingan antibiotik?
Satu perkara yang mesti kita ingat, setiap ubat ada kesan sampingan. Justeru, jangan ambil mudah dengan ubat.
Antara kesan sampingan yang boleh berlaku kesan pengambilan antibiotik ialah alahan. Adalah penting untuk memastkan pesakit tidak allergy pada antibiotik sebelum antibiotik diberi kepada pesakit, bagi mengelakkan alahan berlaku.
Selain kesan toksid akibat daripada pengambilan berlebihan. Oleh itu, adalah sangat penting untuk makan antibiotik dalam dos yang ditetapkan.

Penutup
Kesedaran masyarakat tentang keperluan untuk menghabiskan antibiotik masih lagi kurang. Ini boleh menyebabkan fenomena resistance berlaku dalam masyarakat dan mengakibatkan antibiotik biasa tidak lagi berkesan dalam merawat jangkitan bakteria. Oleh itu, kesedaran dan maklumat ini perlu disebarluaskan untuk mendidik masyarakat menjadi lebih tahu seterusnya mengelakkan fenomena resistance ini daripada berlaku.

Mohon maaf segala kekurangan. Sebarang soalan, boleh diajukan pada ruangan komen. InsyaAllah, akan dijawab setakat termampu. Allahu a’lam.

Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM
Baca Selanjutnya...

Pantun Ramadhan Beliawanis PEMBINA-DHL 1430H



Kehadiranmu dinantikan,
Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan,
Bulan Penuh Keberkatan,
Lailatul Qadr menjadi Idaman.

Pahala 1000 bulan, mana nak dapat,
Sedangkan hidup seketika cuma,
Infaq dan zakat mendapat berkat,
Kaya di dunia, kaya di syurga.

Qiyamullail dilakukan jiwaku tenteram,
Segala amalan tidaklah berat,
Jika dihayati dengan mendalam.
InsyaAllah diberkati dunia akhirat.

Mega Sale telah tiba,
Para pembeli berlumba-lumba,
Bulan Ramadhan sudah tiba,
Pahala menjadi berganda-ganda.

Anak-anak bermain guli,
Bermain guli di siang hari,
Ramadhan datang setahun sekali,
Kalau tak rebut pasti rugi.


Ramadhan 1430H
Beliawanis PEMBINA-DHL



Baca Selanjutnya...