Manis Yang Membunuh
Ketika wabak H1N1 melanda, seluruh dunia panik dan takut. Orang awam ketakutan dan mengambil langkah berjaga-jaga. Virus H1N1 seolah-olah menjadi satu racun yang tersebar ke seluruh dunia, dan semua orang sibuk memperkatakannya.
Kenapa?
Kerana ia mudah menjangkiti manusia. Hanya perlu menghirup titisan air hembusan daripada orang yang dijangkiti, maka kita adalah terdedah kepada jangkitan H1N1.
Malangnya, kita terlepas pandang tentang penyakit yang merebak hampir ke seluruh dunia, malahan ia cukup dikenali ramai.
Mengapa ia tidak ditakuti sepertimana H1N1?
Kerana ia tidak merebak secara berjangkit. Lebih malang lagi, akibat sikap tidak berjaga-jaga, pengidap penyakit ini menunjukkan peningkatan dari segi bilangan pengidapnya. Kajian menunjukkan 48% daripada mereka yang berumur 30 tahun ke atas, tidak menyedari mereka menghidap penyakit ini. Penyakit yang bahaya ini adalah kencing manis atau Diabetes Mellitus.
Apakah maksud kencing manis?
Kencing manis terjadi apabila badan tidak mampu mengawal paras gula (glukosa) dalam darah. Kesannya, paras gula dalam darah menjadi tinggi dan menyebabkan banyak komplikasi terhadap tubuh badan.
Apa faktor-faktor yang menyebabkan badan tidak dapat mengawal gula dalam darah?
Terdapat beberapa faktor risiko yang menyebabkan badan gagal untuk mengawal paras gula dalam darah. Antaranya ialah obeisiti, gaya hidup yang tidak aktif, mengambil makanan yang mempunyai kandungan kalori, gula atau lemak yang tinggi, mengandung dan keturunan. Pengambilan makanan yang mempunyai paras gula yang tinggi dalam tempoh yang panjang juga, dikatakan boleh menjadi antara faktor penyebab kepada terjadinya penyakit kencing manis.
Apakah simtom atau tanda-tanda paras gula tinggi dalam darah?
Tanda-tanda penyakit kecing manis ialah kerap bangun di waktu malam untuk kencing, cepat dan selalu berasa haus, cepat lapar, cepat letih dan hilang berat badan.
Komplikasi kencing manis
Gula yang terlalu tinggi dalam darah akan menyebabkan banyak komplikasi yang melibatkan banyak organ dalam tubuh. Salur darah terdapat di mana-mana dan paras gula yang tinggi dalam darah akan menyebabkan kerosakan pada salur darah seterusnya menyebabkan kerosakan pada organ.
Kencing manis yang tidak dikawal akan menyebabkan kerosakan pada organ-organ penting terutamanya mata (boleh menyebabkan buta), buah pinggang serta urat saraf. Kaki dan tangan akan menjadi kebas dan luka-luka pada tubuh badan sukar untuk pulih. Luka-luka yang tidak pulih ini akan merebak dan menyebabkan bahagian yang mati itu terpaksa dipotong.
Kegagalan buah pinggang untuk berfungsi menyebabkan pesakit terpaksa menjalani dialisis untuk membersihkan racun dalam tubuh badan. Meskipun, ia membersihkan racun dalam badan, teknologi tersebut tentunya tidak dapat menapis sebagus buah pinggang ciptaan Allah swt.
Selain itu, pesakit kencing manis mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk mendapat penyakit jantung yang boleh menyebabkan jantung rosak atau kematian secara tiba-tiba.
Pencegahan
Perlu diingat, bahawa kencing manis adalah penyakit yang tidak boleh dipulihkan (irreversible). Ia hanya boleh dikawal agar tidak menjadi teruk. Oleh itu, pencegahan adalah amat penting. Kandungan gula yang diambil dalam pemakanan seharian perlu dikawal. Cuba kurangkan tabiat memakan makanan manis serta amalkan gaya hidup yang sihat.
Pastikan anda menjalani riadhah setiap minggu, dan masa perlu diluangkan untuk bersukan sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 30 minit setiap satu sesi. Bagi mereka yang mempunyai faktor risiko seperti umur melebihi 30 tahun, keturunan, obeisiti, simtom-simtom kencing manis, sila dapatkan nasihat di klinik-klinik berhampiran. Mungkin anda boleh menjalankan ujian saringan sekirangan anda mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat kencing manis.
Isu-isu pengajaran
Sepanjang pengalaman saya menjadi pelajar perubatan, saya seringkali melihat pesakit yang mengidap kencing manis. Bilangan mereka sangat ramai. Ada di antaranya terpaksa dipotong kaki. Ada yang kehilangan penglihatan. Ada yang terpaksa menjalani dialisis pada umur yang muda. Hati saya benar-benar sayu melihat keadaan pesakit yang terpaksa berhadapan semua ini sedangkan ianya boleh dicegah sekirannya langkah awal diambil.
Ini mendorong saya menulis artikel tentang kencing manis dengan harapan ia memberi kesedaran kepada pembaca betapa pentingnya pencegahan penyakit ini sebelum ia terjadi.
Komplikasi penyakit ini adalah dahsyat sehingga boleh menyebabkan kecacatan kekal pada tubuh (eg: buta, potong kaki, rosak buah pinggang)
Unsur yang paling penting dalam kesedaran ini ialah masyarakat menyedari ia BOLEH DICEGAH dan dikawal daripada melarat.
Mudah-mudahan sumbangan yang kecil ini boleh membantu meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat.
Bayangkan, anda terpaksa mengharungi hari tua dengan keadaan kaki yang telah dipotong, hanya kerana tidak mengambil langkah-langkah pencegahan awal. Mahukah ianya terjadi? Renung-renungkan dan selamat beramal!
Naim Yaakob
PEMBINA DHL
Pelajar Perubatan PPUKM
0 comments:
Post a Comment