Hijrah Ke Arah Merealisasikan Iman
Nabi & Para Sahabat berhijrah ke arah merealisasikan iman; menzahirkan, menyatakan dan menghidupkan iman mereka di atas bumi. Ketika di Makkah, kaum Muslimin terpaksa menempuh pelbagai dugaan yang menekan jiwa; ada yang terpaksa menyembunyikan iman di tempat awam, ada yang didera secara fizikal, diugut dengan nyawa & maruah, dihalau oleh keluarga, bahkan ada yang dipaksa mengucapkan kekufuran. Terlalu banyak kekangan yang menghalang mereka menonjolkan iman mereka ke permukaan dan hidup harmoni dengan iman mereka.
Hijrah merubah segalanya. Kini mereka hidup dibawah kepimpinan & keadilan Islam; mereka berupaya mempamerkan otot-otot Islam dan mampu meyakinkan puak-puak jauh dari perimeter Madinah untuk turut memeluk Islam. Ketika itu, alam mampu merasai nikmat tertonjolnya sebuah gerakan manusia yang mensucikan Allah dari segala perbandingan di langit dan bumi serta menyeru manusia lain agar bersama dalam nada tasbihnya. Nikmat terzahirnya sebuah keimanan bukan semata-mata memerdekakan individu, tetapi mengesani para makhluk yang disentuh arusnya.
Sahabat-sahabat semua, kita juga perlu berhijrah utk merealisasikan iman. Iman yang sudah terpaku di hati; Iman yang mengakui bahawa Allah itu Esa dan penentu segala urusan; Muhammad itu hambaNya dan contoh penghambaan terbaik; dan Al-Quran itu peraturan yang ditetapkan ke atas hamba-hambaNya.
Namun, kita kini hidup dalam suasana keimanan kita dicabar. Beriman pada hari ini ibarat menggenggam bara api. Ada saja elemen yang ingin mencuri atau memesongkan iman kita. Elemen itu kian kuat kecuali apabila kita berhijrah daripadanya. Ya, kekangan kita hari ini adalah al-hawa atau nafsu yang mendorong kita memalingkan diri dari keimanan. Ia pula disokong oleh propaganda-propaganda yang mengajak agar memenangkannya (nafsu). Maka salahlah kiranya kita memandang enteng urusan hawa nafsu ini. Sebaik kita mengambil mudah, ia akan diapikan oleh suasana jahiliyah yang menunggu kesempatan. Akibatnya, terhakis sensitiviti iman sedikit demi sedikit dan akhirnya tewaslah jiwa ke lembah kehinaan. Lagi dalam kita jatuh, lagi payahlah jalan mendaki semula ke puncak keimanan.
Hijrahlah, sahabat sekalian, ambil iktibar dari peristiwa hijrah Nabi & para sahabatnya. Berhijrahlah:
1) Dari persembunyian kepada keberanian. Dari Keimanan yang sorok-sorok, segan menyatakan identiti kepada berani tampil menzahirkan diri dgn aqidah & fikrah yang didokong, dengan nama & ciri-cirinya yang jelas. Tonjolkan jatidiri anda sebagai Muslim yang beriman yang sayangkan agamanya dan dambakan SyurgaNya. Dengan terzahirnya rupa paras keimanan sebenar, akan gentarlah musuh-musuh dan akan tunduk mereka yang selama ini ragu. Terlontarlah satu resolusi baru buat masyarakat yang dahagakan ketenangan dan rahmat Allah.
2) Dari suasana mencabar & menggelapkan iman kepada suasana ukhuwwah & keimanan yang terang & terbuka. Daripada suasana pergaulan yang menyimpangkan hati atau suasana individualistik yang membuka pintu syaitan kepada suasana yang kondusif untuk menyuburkan iman serta khalwat hati bersama Tuhan yang Maha Mengetahui isi hati. Berpindahlah dari kehidupan yang diselubungi atau dikelilingi maksiat atau suasana2 yang mendorong hati kepada maksiat atau suasana yang menyibukkan dengan kelalaian, kepada sebuah penempatan iman, yang dikelilingi orang soleh, yang hidup mentaati Allah dan takut melangkau batasanNya; Yang tak putus bekerja dan bersemangat waja untuk agama. Suasana ini akan mempengaruhi kita dengan menghidupkan iman dan membentuk sebuah tasawur masyarakat soleh yang kita idam-idamkan, yang satu tujuannya dan lurus jalannya.
3) Daripada statik, pasrah & berserah nasib kepada berusaha ke arah kejayaan iman. Daripada sekadar berdoa dan berharap Allah membinasakan musuhnya & memenangkan agamanya kepada berusaha sama dan komit untuk menjayakan agama Allah. Nabi S.A.W. menegur Khabbab Al-Arat di Makkah yang meminta Nabi berdoa mempercepatkan kemenangan.
3.1) Menjadi tanggungjawab kita sendiri untuk membangunkan iman kita, mengajak diri kita kepada amal soleh dan meninggalkan kesia-siaan. Bukannya sekadar mendoakan hidayah, tetapi terus leka dalam maksiat dan dosa lalu mengharap Allah meredhai atau berserah kepada ketentuan Syurga & Neraka. Bukan begitu cara dunia ini berfungsi. Penyucian diri harus disertai taubat dan amal bersungguh-sungguh yang menyental jiwa dari kekotoran dan menjauhkan diri dari jahiliyyah silam. Jangan rela jiwa dicemari dengan noda. Dengan kesungguhan taubat & amal, insyaAllah, Allah akan memberkati dan mengukuhkan tapak kita di atas jalan Islam.
3.2) Kita perlu menelusuri jalan-jalan yang menyampaikan kepada kejayaan Islam agar dakwahnya diterima dan difahami masyarakat umum. Kita perlu berusaha membangkitkan iltizam dan motivasi serta memberi nasihat-nasihat praktikal kepada masyarakat agar ia konsisten dalam pegangannya dan menolak Jahiliyyah dengan sebenarnya. Bukan semata-mata berdoa dan berserah kemudian meninggalkan agama kepada Pemiliknya sedang kita leka dalam kehidupan peribadi kita. Benar, Allah akan memenangkan agamaNya, tapi bukankah satu nikmat besar jika Allah memenangkan agamaNya melalui tangan-tangan kita? Bukankah "lebih baik dari dunia & seisinya" sekiranya seseorang mendapat hidayah dari usaha-usaha kita? Oleh itu, bersungguhlah dan usah beramal seperti melepaskan batuk ditangga, dan mengharap Allah menyempurnakan urusannya dengan usaha manusia yang longlai; tapi susunlah langkah yang tepat dan beramallah seolah-olah itu kunci anda ke pintu Syurga.
Sahabat-sahabat sekalian,
Selamat menempuh tahun baru Hijrah. Teguhlah dalam berazam, wahai belia. Kadang-kala kita perhati orang yang panjang umur yang meremehkan konsep memperbaharui azam, lalu dia gagal mengambil pengajaran dari peristiwa-peristiwa yang sepatutnya mengesani hati. Janganlah jadi seperti itu. Tinggikanlah azam & tentukan matlamat-matlamat kita walau apa diperkata orang.
Ya, semua orang akan mengharungi saat tahun baru Hijrah. Sama ada dgn keazaman baru atau perasaan lesu. Dan "..barangsiapa yang berhijrah kerana Allah & Rasul, maka hijrahnya kerana Allah & Rasul. Dan barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang dikejarnya atau perempuan yang ingin dikahwininya, dia berhijrah kepada apa yang dia hijrahkan."
Aizuddin Khalid
Ketua Cawangan
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Daerah Hulu Langat
2 comments:
Salam, semoga PEMBINA Hulu Langat berjaya mencapai objektif tahun 2010 ni.. Ana rasa bagus gak dimaklumkan kepada semua apa objektif kita tahun ni & pencapaian kita tahun lepas secara ringkas kot..
"Labels: Kalam Presiden" - macam ada yang tak kena... yer tak?
Jai.
salam ziarah dr pembina johor
moga kita istiqamah..
minta link kan blog baru kami ni ya :)
terima kasih..
Post a Comment