Diskusi Minda – Membuka Mata Para Belia



BANGI, 10 April 2010 – Buat julung kalinya, PEMBINA Bangi telah berjaya menganjurkan program “Diskusi Minda” bertempat di Dewan Budiman, Universiti Kebangsaan Malaysia. Penganjuran “Diskusi Minda” ini merupakan yang pertama dalam siri Diskusi Minda yang bakal berlangsung sepanjang tahun di Bangi. Program dihadiri hampir 50 peserta lelaki dan perempuan.

Diskusi Minda yang pertama ini membawa tema dan tajuk “Islam Yang Semestinya Difahami”. Penceramah jemputan adalah Saudara Mohd Noor Azib b Asmangi, Naib Yang DiPertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Daerah Hulu Langat. Pembentangan menarik beliau merujuk kepada buku “Asas-asas Islam” oleh Abul a’la Al-Maududi, “Maza Yakni Intima’i lil Islam” oleh Fathi Yakan serta banyak buku lagi karangan ulama’ tersohor. Sejurus selepas pembentangan, para peserta dibahagi-bahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil untuk membincangkan soalan bengkel yang disediakan penganjur. Peserta kemudian membentangkan kepada para hadirin hasil perbincangan kumpulan serta resolusi yang dikemukakan.

“Penglibatan aktif dari para peserta membuktikan kefahaman terhadap pengisian yang dibentangkan”, ujar saudara Rusman Arief, hos Diskusi Minda, yang juga merupakan Penolong Ketua Cawangan PEMBINA Bangi. Beliau merujuk kepada penerimaan peserta terhadap idea-idea dan konsep-konsep yang membuka mata yang dibawakan oleh Saudara Azib.

Diskusi Minda merupakan siri pembentangan mengenai asas-asas Islam dan sejarah Islam bertujuan memupuk kefahaman & penghayatan Islam serta mengajak para peserta agar beramal untuk Islam. Diskusi Minda merupakan usahasama anjuran PEMBINA Bangi dan ISMA Cawangan Daerah Hulu Langat.







0 comments:

Post a Comment