PEMBINA DHL bersama warga kampus UNITEN



Bangi 3 Mac 2009 – Pada 3 hingga 6 Mac yang lalu, PEMBINA cawangan Daerah Hulu Langat (DHL) telah dijemput untuk membuka gerai pameran dan jualan sempena program SERIKANDI edisi ketiga di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN). Program ini telah dianjurkan oleh Biro Hal Ehwal Wanita Islam (HELWANI) Persatuan Pengajian Islam(PPI) Uniten dengan harapan objektif untuk memberi kesedaran kepada masyarakat sekitar khususnya warga Uniten akan kepentingan maruah dan kehormatan diri seorang wanita.

Antara objektif yang ingin dicapai oleh PEMBINA melalui pameran dan jualan seperti ini adalah untuk memperkenalkan PEMBINA kepada warga kampus, membina hubungan dua hala antara PEMBINA dan persatuan-persatuan di dalam IPT, serta menjana ekonomi PEMBINA sendiri. Pameran ini turut memberi peluang kepada PEMBINA membina hubungan dengan wakil-wakil persatuan luar yang lain seperti Nisa’.


Sepanjang pameran berlangsung, PEMBINA telah memanfaatkan kesempatan yang ada dengan memaparkan tayangan video pengenalan serta aktiviti-aktiviti yang pernah dijalankan, mengedarkan pamphlet PEMBINA kepada orang ramai yang hadir, mengadakan jualan seperti t-shirt Nauwar dan kerepek yang dibungkus sendiri oleh PEMBINA, serta membuka penyertaan kepada warga kampus yang berminat untuk menjadi sukarelawan PEMBINA. Penyertaan sukarelawan mendapat sambutan bukan sahaja dari kalangan pelajar kampus malahan dari kalangan staf-staf di Uniten.

Setinggi tinggi penghargaan diucapkan kepada sukarelawati UNITEN yang bersedia turun padang dan meluangkan masa bagi membantu mengurusi pameran dan jualan ini. Diharapkan program ini mengeratkan silaturrahim antara sukarelawan-sukarelawan dan PEMBINA. Sekalung tahniah buat pihak penganjur di atas kejayaan program yang telah dilancarkan. Semoga ruang ruang kerjasama seperti ini dapat terus diwujudkan pada masa hadapan.

0 comments:

Post a Comment