Retreat Sulung PEMBINA DHL

Dengan Nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah, pada hari ini, PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL) telah berjaya mengadakan 'Retreat' buat julung-julung kalinya. Retreat merupakan perkataan bahasa Inggeris yang membawa maksud pengunduran. Namun ianya bukanlah pengunduran disebabkan kekalahan, tetapi pengunduran yang memang dirancang untuk mengatur strategi dan langkah untuk mendepani masa depan.

Program yang bermula pagi hari ini telah dihadiri lebih daripada 40 peserta, terdiri belia dan beliawanis aktivis PEMBINA yang datang daripada pelbagai strata masyarakat dari sekitar daerah Hulu Langat, Selangor.


Peserta telah diperkenalkan dengan jawatankuasa PEMBINA DHL 2009, halatuju PEMBINA dan kemudiannya mengadakan perbincangan mengikut pecahan biro, merencanakan program dan projek yang akan dilaksanakan dalam tahun ini.

Jawatankuasa yang diketuai oleh saudara Muadz bin Mohd Zain ini dibahagikan kepada 4 biro utama.

1) Biro Dakwah & Kebajikan
2) Biro Media, Teknikal & Dokumentasi
3) Biro Rekreasi, Sukan & Kebudayaan
4) Biro Ekonomi

Perbincangan yang dilakukan lahir dengan output berupa ide-ide kasar tentang penetapan sasaran (KPI-Key Performance Index), projek, belanjawan, keperluan latihan pembangunan skil dan sumber manusia serta penetapan tarikh di dalam taqwim.



Kehadiran ahli Jawatankuasa PEMBINA Pusat turut memeriahkan program ini. Presiden dan Naib Presiden PEMBINA sendiri masing-masing telah memberikan ucap-rasmi pembukaan dan penutupan program. Beberapa poin-poin penting telah disuluh agar diberikan lebih perhatian oleh para aktivis PEMBINA dalam melaksanakan tugasan mereka.

Besar harapan penganjur agar segala hasil perbincangan dalam program Retreat ini akan berbuah menjadi amal nyata dan membawa faedah kepada diri aktivis sendiri serta masyarakat daerah Hulu Langat amnya.

0 comments:

Post a Comment