Aspirasi Pembina-DHL

Sejarahwan menyebut, kejayaan sesuatu tamadun bergantung kepada bagaimanakah keadaan para belia atau pemudanya pada ketika itu. Kerana apa? Kerana para belia inilah dalam masa 10-20 tahun bakal menjadi peneraju sesuatu tamadun yang menentukan halatujunya. Maka timbullah slogan “Pemuda Harapan Bangsa”, “Pemuda Tiang Negara” dan banyak lagi kata-kata yang memberi gambaran tentang peri penting kedudukan belia dalam pembangunan sebuah tamadun.

Kenyataan ini menyebabkan kita memalingkan kepala memerhatikan generasi belia kita yang ada dewasa ini. Kita melihat dengan hati yang gundah-gelisah kerana kita tidak pasti apakah yang tersimpan di masa hadapan kita yang berada di tangan mereka. Adalah suatu yang biasa bagi kita apabila kita terdengar belia-belia ini terlibat dalam pelbagai gejala sosial: mat rempit, dadah, bohsia, budaya hedonisme dan segala macam lagi. Namun, pada hakikatnya, PEMBINA merasakan di sana masih lagi ada jiwa-jiwa yang bersih yang sedar dan menginginkan perubahan. Cumanya, mereka memerlukan tangan-tangan untuk memandu mereka. Mereka perlu lihat sebuah panji, panji PEMBINA, untuk mereka berkumpul di bawahnya dan sama-sama merealisasikan harapan sebuah tamadun yang gemilang.

Atas kesedaran inilah, PEMBINA, dan PEMBINA-DHL secara khususnya menyediakan latihan-latihan untuk mempersiapkan para belia memacu tamadun ini menjadi sebuah tamadun yang menaungi dunia. Dengan ini, tercapailah misi PEMBINA untuk melahirkan generasi belia Islam yang beriman, berilmu, prihatin, seimbang dan dinamik. Marilah kita sama-sama bersungguh-sungguh merealisasikannya.

Allahlah sebaik-baik pembantu.



Yang berkhidmat,



Muadz M. Zain
Ketua
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)
Cawangan Hulu Langat (DHL)

0 comments:

Post a Comment