Delegasi Pembina MMU Melaka ke DHL perluas jaringan ahli PEMBINA



Bangi, 29 mei 2009
- Buat julung-julung kalinya PEMBINA cawangan Daerah Hulu Langat (PEMBINA-DHL) telah menerima kunjungan dari PEMBINA-MMU Melaka dalam rangka program jawlah mereka sempena cuti semester. Jawlah merupakan satu kosa kata arab yang bermaksud ‘kembara’. PEMBINA-DHL dipilih sebagi ‘pit stop’ kerana lokasinya yang strategik yang berdekatan dengan Putrajaya dan MMU Cyberjaya.

Majlis bermula dengan sesi ta’aruf (pengenalan diri) antara tuan rumah dan tetamu. Antara ahli PEMBINA-DHL yang sempat hadir dalam majlis ini ialah Sdr. Abdul Shakur Bin Muhamad Zamani (JK Program), Sdr. Abdul Hakim B Adzman (JK Kesenian, Rekreasi dan Kesukanan), Sdr. Afizhi b Atan (Media PEMBINA Pusat) dan Sdr. Luqman (wakil PEMBINA MMU Cyberjaya).

Para tetamu kemudiannya diberikan sedikit pengenalan oleh Sdr. Abdul Shakur tentang keadaan semasa serta aktiviti-aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan oleh PEMBINA-DHL.

Sebelum bersurai, penganjur telah menjemput Ustaz Annuar Salleh yang juga merupakan Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin Malaysia cawangan Daerah Hulu Langat (ISMA-DHL) untuk membekalkan sedikit penajam minda kepada para hadirin. Antara perkongsian yang disampaikan oleh beliau ialah tentang peri pentingnya belia terlibat dalam persatuan yang dapat membimbing diri mereka kepada kebaikan. Realitinya, sesebuah persatuan atau organisasi tidak memerlukan tenaga kita, tetapi kitalah yang perlu mencari dan mendapatkannya dalam menjamin masa depan yang cemerlang di dunia dan di akhirat sana.

Ustaz Annuar juga turut sama berkongsi pengalamannya ketika sama-sama berjawlah sewaktu usia remaja dahulu. “Ust dulu tahan lori jer untuk nak sampai ke tempat yang nak ust pergi”, tambah beliau sambil berseloroh.

Jawlah ini merupakan satu inisiatif PEMBINA MMU Melaka untuk memperkenalkan wakil PEMBINA MMU Cyberjaya kepada peserta yang akan berpindah ke MMU Cyberjaya pada tahun hadapan.

Kedatangan peserta ke Bandar Baru Bangi ini digunakan juga untuk melawat Pejabat Aman Palestin (AP) yang terletak di Seksyen 3. AP merupakan sebuah badan yang memperjuangkan isu Palestin dan telah mengadakan pelbagai program berkenaan Palestin di seluruh negara. PEMBINA-DHL pernah bekerjasama dengan AP dalam mengadakan Malam Palestin pada awal tahun ini dan juga Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis di PWTC pada bulan lepas di bawah PEMBINA Pusat. Seterusnya, para peserta bergerak menuju ke Putrajaya untuk meneruskan aktiviti di sana.

Abdul Shakur Bin Muhamad Zamani
AJK Program PEMBINA Cawangan Daerah Hulu Langat (DHL)


0 comments:

Post a Comment