Potensi Beliawanis Dalam Pembinaan Tamadun

Oleh: Nor Hasni Hayati Binti Hanapi, PEMBINA Daerah Hulu Langat

Kedatangan Islam telah berjaya membawa satu perubahan agung dalam pembinaan tamadun manusia. Islam melihat bahawa setiap manusia, sama ada lelaki atau wanita, sempurna mahupun kurang upaya, mempunyai kebolehan, kebijaksanaan dan potensi yang tersendiri dalam memajukan dan mentadbir dunia. Jika kita melihat ke belakang, sejarah dunia telah mencatatkan peristiwa hitam di mana golongan wanita diperlekehkan malah dibunuh sejak masih bayi lagi.

Adam Jones dalam bukunya yang bertajuk “Gendercide and Genocide” telah mengupas sejarah pembunuhan anak-anak perempuan disebabkan pemikiran-pemikiran sempit dan kolot. Pada zaman Greek Purba, di kalangan 6000 buah keluarga, hanya 1 peratus darinya mempunyai 2 orang anak perempuan. Sewaktu zaman Renaissance pula, anak-anak kurang upaya sewenang-wenangnya dibunuh. Manakala dalam masyarakat Hindu, mereka mempunyai sistem kasta dimana anak-anak perempuan dibunuh atas alasan keluarga tidak mampu membayar mahar perkahwinan (dowry) mereka yang tinggi apabila anak2 mereka berkahwin kelak. Mereka juga menganggap anak-anak perempuan lemah dan tiada nilai sedangkan anak lelaki mempunya kudrat yang kuat untuk bekerja dan manjaga ibu bapa apabila ibu bapa telah tua. Berdasarkan bancian statistik yang dibuat dalam The Toronto Star, 1994, sebanyak 196 bayi perempuan dibunuh dari tahun 1993 hingga 1994 di kalangan masyarakat Tamil Nadu. Di kalangan mereka, ada yang dibiarkan mati kelaparan, di suap beras sehingga menembusi kerongkongnya, diberi makan serbuk baja beracun, dan dicekik dengan tuala. Masyarakat di tanah besar China pula membunuh anak-anak perempuan sebelum pengasasan People’s Republic pada tahun 1949 lagi. Pada tahun 1979 pula, kerajaan China telah memperkenalkan polisi “Satu Keluarga Satu Anak” dengan tujuan untuk mengawal populasi penduduk di China. Sesiapa yang melanggar polisi ini akan dikenakan hukuman potongan gaji dan disekat dari menggunakan sebarang perkhidmatan sosial. Tidak ketinggalan, masyarakat di zaman Arab Jahiliyah menanam anak-anak perempuan hidup-hidup kerana malu dengan status sosial wanita yang rendah di sisi masyarakat. Begitulah kolotnya pemikiran dan tindakan golongan yang tidak bertamadun.

Kini, kita melihat bawah Islam telah mengangkat darjat wanita sedangkan seluruh dunia seolah-olah tidak nampak langsung peranan wanita di muka bumi ini. Semenjak Islam mengubah persepsi masyarakat terhadap wanita, wanita telah berjaya membuktikan satu persatu keupayaan mereka. Lihat sahaja peranan Siti Khadijah Binti Khuwaylid, isteri kepada tokoh terpenting dunia, Muhammad Bin Abdullah. Beliau adalah seorang isteri kepada seorang Rasul. Begitu besar peranannya sebagai isteri dalam memastikan tugas suaminya berjalan lancar dalam menyampaikan risalah Islam kepada masyarakat. Begitu juga peranan isteri kedua Rasulullah yang bernama Siti Aishah Binti Abu Bakr, yang mempunyai keupayaan menghafal kata-kata dan mengingati perlakuan-perlakuan suaminya yang sehingga kini menjadi rujukan seluruh ummah. Anak Rasulullah yang bernama Fatimah Az-Zahra, juga tidak ketinggalan memainkan peranannya sebagai penghibur Rasulullah tatkala Rasulullah dilanda dugaan. Dialah yang membersihkan kepala ayahnya tatkala kepala ayahnya ditabur pasir-pasir dan segala jenis kotoran. Lihat pula Ummu Aiman yang turut menggalas beban membantu memberi minum kepada para mujahid di medan perang, Ummu Sulaim yang menggerakkan seluruh anggota keluarganya menyumbang kepada dakwah Islam dan Umm Nidal yang mewakafkan anak-anaknya mempertahankan bumi Palestin sehingga syahid kesemuanya. Tidak cukup nama-nama wanita-wanita yang telah banyak berjasa kepada sejarah peningkatan tamadun manusia untuk dikongsikan di sini. Namun, apa yang pasti, mereka telah membuktikan kehebatan dan potensi yang lahir daripada jantina yang telah diangkat darjatnya oleh Islam.

Di Malaysia, para wanita turut ke hadapan dan menonjol dalam agenda pembangunan negara. Namun begitu, ada juga yang agak ketinggalan dalam mengejar arus ketamadunan. Para wanita, terutama yang muda dan masih tergolong dalam lingkungan umur belia perlu mengambil inisiatif untuk bersama-sama mengorak langkah dalam menggarap segala potensi diri dan seterusnya menyumbang kepada agama, bangsa dan negara. Sekiranya para belia, terutamanya beliawanis dapat membuktikan kemampuan dan kehebatan diri, insyaAllah mereka akan dapat menjamin masa depan ummah yang berjaya dan diredhaiNya.


Beliawanis PEMBINA DHL

0 comments:

Post a Comment