Forum Perwakilan Mahasiswa: Gilap Potensi Belia melalui PEMBINA


Bangi, 2 Jun 2009 - PEMBINA DHL dengan kerjasama wakil-wakil dari pelajar universiti di sekitar Daerah Hulu Langat telah menganjurkan Forum Perwakilan Mahasiswa yang disertai hampir 20 orang pelajar. Objektif program ini adalah agar para perwakilan pelajar dapat berkongsi pengalaman dan berdiskusi berkenaan aktiviti-aktiviti PEMBINA hal ehwal pelajar di Universiti masing-masing.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Saudara Muadz Md Zain selaku Ketua PEMBINA DHL. Beliau menyatakan rasa gembira atas kejayaan PEMBINA DHL dalam usaha menjayakan Program Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis yang lepas. Beliau mengulas lagi, para pelajar dilihat perlu lebih bekerja keras agar aktiviti dan agenda PEMBINA DHL dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan tersusun pada masa akan datang.

Sesi diteruskan dengan mengimbas kembali aktiviti-aktiviti dan program yang melibatkan PEMBINA DHL sepanjang separuh awal tahun 2009. Para perwakilan mahasiswa berpeluang bertukar-tukar idea dan pendapat dalam merancang aktiviti PEMBINA DHL untuk baki tahun 2009 yang mendatang. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang oleh PEMBINA DHL, antaranya Pertandingan Futsal, Majlis Sukarelawan, Kembara, Booth Day dan banyak lagi. Justeru itu, PEMBINA DHL mengajak para belia untuk sama-sama menyertai program-program yang telah dirancang ini pada masa akan datang, dan seterusnya bersama-sama menggilap potensi dan bakat belia Malaysia khususnya di Daerah Hulu Langat.

0 comments:

Post a Comment