Program Kembara Dakwah JAKIM - Catatan II

Hari Keempat
Jam 8.00 pagi, rombongan memulakan perjalanan menuju Alor Setar, Kedah untuk lawatan ke negeri Kedah Darul Aman. Rombongan singgah di Kawasan Rehat Tapah dan Kawasan Rehat Gunung Semanggol sebelum tiba di Kompleks Hijau Kuning untuk makan tengahari.

Figure 6 Kenangan di Alor Setar, Kedah

Jam 2.30 petang, rombongan dibawa untuk lawatan sosial ke Muzium Padi Gunung Keriang dan kompleks beli-belah Pekan Rabu. Sambil membeli-belah, peserta diberikan tugasan khas untuk berinteraksi dengan para pelawat di sana. Jam 9.00 malam, aktiviti seterusnya diadakan dalam kumpulan yang telah diwujudkan. Tugasan pertama, membentangkan peringkat-peringkat nafsu iaitu Nafsu Amarah, Nafsu Lawammah dan Nafsu Mutmainnah. Tugasan kedua pula, setiap kumpulan harus membina satu pulau dengan ciri-ciri yang diinginkan dalam sebuah negara dan membentangkannya kepada peserta yang lain untuk dibincangkan. Aktiviti berakhir jam 11.00 malam.


Hari Kelima
Rombongan meneruskan perjalanan ke Pusat Bimbingan Islam Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (PUSBA), Sungai Petani. Rombongan tiba jam 9.00 malam dan disambut dengan mesra oleh warga PUSBA. Pengetua PUSBA dan pihak urusetia program memberikan ucapan alu-aluan dan diikuti dengan minum pagi. Peserta mengambil peluang beramah mesra dengan pelajar PUSBA yang kebanyakannya terdiri daripada golongan muallaf yang baru berjinak-jinak dan ingin mendalami agama Islam.

Aktiviti disambung dengan Forum bertajuk “Menjana Insan Gemilang” dengan ahli panel dari Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Jabatan Agama Islam Perak. Tamat forum, para hadirin menikmati jamuan makan tengahari dan menunaikan solat di surau PUSBA. Sebelum berangkat pulang, pihak PUSBA berbesar hati menghadiahkan buah tangan berupa gelas minuman kepada setiap peserta Kembara Dakwah. Perjalanan disambung ke ILIM pada jam 2.30 petang. Rombongan singgah di Kawasan Rehat Tapah dan mengharungi kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Lembah Klang (NKVE) dan Lebuhraya ELITE sebelum tiba di ILIM pada jam 8.00 malam.

Jam 9.00 malam, para peserta bersama-sama bertukar jd “chicken ” untuk membina keyakinan diri dalam menjalankan aktiviti dakwah Islamiyah. Selepas itu, setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyediakan logo kumpulan, lagu kumpulan dan hukuman untuk setiap kesalahan yang dilakukan dalam aktiviti-aktiviti kumpulan.

Hari Keenam
Perjalanan diteruskan ke Pusat Pemantapan Akidah, Jelebu, dengan melalui kawasan peranginan Sungai Tekala, Semenyih. Rombongan tiba di PPAJ pada jam 10.00 pagi, dan taklimat diberikan oleh pengurusan PPAJ sebelum aktiviti Kembara Minda diadakan. Kembara Minda melibatkan aktiviti fizikal, merentas hutan belantara di luar PPAJ dan menjalankan tugas di setiap “check point” yang ditetapkan.

Figure 7wajah-wajah ceria dan letih dari peserta..

Petangnya dihiasi dengan aktiviti sukan, iaitu bola tampar dan futsal. Sebelah malam, persembahan kumpulan dan hidangan BBQ. Selain itu, hadiah turut disediakan untuk pemenang setiap aktiviti. Persembahan terbaik dimenangi oleh kumpulan Salahuddin dan kumpulan terbaik aktiviti Kembara Minda dimenangi oleh kumpulan Belia 3B, walaupun kumpulan tersebut paling lewat menamatkan kembara. Para peserta juga diberikan peluang untuk berkaraoke dengan alunan lagu-lagu nasyid.

Hari ketujuh
Peserta bergerak pulang ke ILIM pada jam 9.00 pagi dan tiba lebih kurang jam 11.00 pagi. Tengah hari, aktiviti kumpulan diadakan dengan setiap kumpulan ditugaskan menjalankan analisis SWOT yang merangkumi strength-kekuatan, weakness-kelemahan, opportunity-peluang, dan threat-ancaman.
Aktiviti petang adalah lawatan sosial ke kompleks beli-belah Alamanda Putrajaya. Setiap kumpulan diberikan sejumlah wang untuk dibelanjakan dan memerhatikan tingkah laku masyarakat di kompleks tersebut. Kami pulang ke ILIM pada jam 6.00 petang.
Sebelah malam, setiap kumpulan diberikan tugas untuk menyiapkan laporan aktiviti sepanjang Kembara Dakwah untuk diserahkan kepada urusetia program, selain menikmati makanan ringan daripada bungkusan-bungkusan hadiah yang diterima di PPAJ.

Hari kelapan
Perasmian penutup dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr. Mashitah Ibrahim. Sijil penghargaan diberikan kepada setiap peserta program.

Peserta terbaik lelaki dimenangi oleh Mohd Hamdan bin Mohd Sharif dari Persatuan Belia Islam Nasional, manakala peserta terbaik wanita dimenangi oleh Nur Hazwani binti Abdul Rani dari Universiti Putra Malaysia.

Kumpulan Terbaik diangurerahkan kepada kumpulan I U Islam, dan Kumpulan Popular dimenangi oleh kumpulan Salahuddin. Tamat majlis, para peserta beramah mesra dan bertukar-tukar maklumat untuk aktiviti seterusnya di kemudian hari.

Insya Allah, kami akan bersama lagi untuk Kembara Belia MABIMS bulan hadapan, dengan turut disertai rakan-rakan peserta dari negara Brunei Darussalam, Indonesia, dan Singapura.

Mohd Syakir bin Ibrahim
KP PEMBINA-MIAT

0 comments:

Post a Comment