PEMBINA DHL Tawan Gunung Dato' Buat Kali Kedua Dalam 2009
Rembau 7 November 2009 - Puncak Gunung Dato’ sekali lagi menjadi saksi dalam misi ahli-ahli dan sahabat Pembina PEMBINA Daerah Hulu Langat menawan Gunung Dato’ yang mempunyai ketinggian setinggi 2900 kaki.
Ekspidisi bermula pada jam 10:30 pagi waktu tempatan dan disertai oleh 9 orang pendaki termasuk Ketua PEMBINA cawangan Hulu Langat, Sdr Aizuddin bin Khalid serta seorang pendaki cilik berumur 11 tahun. Semua peserta berkumpul di kediaman ahli Pembina di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan ke Rembau pada pukul 9:30 pagi. Perjalanan ke Rembau memakan masa selama 45 minit dan cuaca pada hari tersebut seakan berpihak kepada peserta walaupun di dalam cuaca yang tidak menentu dek musim hujan yang sedang membadai seluruh Malaya.
Saudara Abdul Shakur selaku Ketua Ekspidisi untuk misi kali ini telah memberikan beberapa taklimat perjalanan dan keselamatan sebelum diteruskan pula oleh acara warming up oleh seorang wakil peserta daripada UNITEN. Dengan berbekalkan azam, doa dan tawakkal serta sedikit bekalan makanan dan minuman, peserta ekspidisi melangkah gagah meredah hutan belantara untuk menawan puncak Gunung Dato’ ini.
Perjalanan ke puncak diselang-seli dengan Ice Breaking di kalangan peserta. Aktiviti ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh peserta untuk melepaskan lelah dan mengatur kembali nafas setelah bertungkus-lumus meredah trek yang merupakan antara yang tercabar di Malaysia. Setelah 1 jam setengah mendaki dengan penuh kesabaran, para peserta tampak begitu kaget dan terpesona melihat saujana pemandangan yang begitu mengasyikkan. Penat dan lelah seolah-olah terbayar dengan kecantikan yang lama menanti para peserta selama ini.
Peserta mula turun kembali ke kaki gunung setelah melihat awan Columbus yang begitu hitam yang hanya menunggu masa untuk mencurahkan rahmat dari Allah s.w.t. Beberapa keping gambar kenangan sempat diambil untuk ditunjukkan kepada warga Hulu Langat nanti. Dalam perjalanan turun juga, peserta sempat mengalaskan perut dengan beberapa keping roti yang berintikan sardin. Peserta begitu menginsafi akan nikmat sekeping roti yang dikunyah dek kepayahan mendapatkan hidangan yang lazat di tengah hutan belantara tersebut.
Perjalanan untuk turun juga memakan masa selama 1 jam setengah dan peserta terus bergegas memasuki kenderaan masing-masing kerana titisan air hujan mula menyambut kepulangan para pejuang yang baru berjaya melaksanakan misi mereka dengan jayanya. Alhamdulillah, perjalanan naik dan turun selama 3 jam dilindungi oleh Allah dari bahaya dan hujan.
Peserta kembali ke pekan Rembau untuk solat Zohor dan Asar secara jama’ dan qasar di Masjid Rembau dan menyantap makanan tengah hari bersama di sebuah gerai di medan selera Rembau. Sedikit perkongsian dan santapan rohani diberikan setelah peserta menjamah makanan masing-masing. Antara input penting yang diberikan oleh AJK Kreks iaitu Sdr Abdul Hakim adalah mengenai kekitaan (ukhuwwah) diantara sesama Islam. Antara pengajaran lain yang dikongsi bersama adalah sikap bersungguh-sungguh yang perlu ada dalam diri setiap muslim dalam menempuhi cabaran-cabaran di dalam hidup.
PEMBINA DHL ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta atas kerjasama dan sokongan yang diberikan. Diharap pada masa akan datang, aktiviti-aktiviti sebegini akan diperbanyakkan lagi dalam usaha mengisi masa-masa para belia dengan aktiviti yang mampu membina jatidiri sebagai seorang muslim.
Abdul Shakur bin Zamani
AJK Program
PEMBINA DHL
0 comments:
Post a Comment