PEMBINA DHL Menyambut Lawatan PEMBINA Pulau Pinang Dengan Pengisian Fikri & Jasmani



B.B.Bangi, Sabtu, 14 Nov – Kehadiran PEMBINA Pulau Pinang ke Bandar Baru Bangi dalam satu program jaulah anjuran mereka telah disambut dengan baik & meriah oleh PEMBINA Daerah Hulu Langat (DHL). Di samping menyambut tetamu secara tradisi dengan berta’ruf dan menyampaikan sedikit pengisian & perkongsian pengalaman, PEMBINA DHL turut menghidangkan aktiviti riadah sebagai santapan jasmani buat tetamunya kali ini.

Pertemuan kedua cawangan PEMBINA ini bermula dari petang hingga ke malam. Pada sebelah petang, PEMBINA DHL telah menganjurkan program riadah khas untuk menyambut tetamu-tetamu dari Penang ini. Para beliawanis telah berkumpul di Taman Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi untuk beriadah bersama dalam acara-acara sukaneka. Manakala para belia telah disegarkan dengan permainan Futsal 5 sebelah. Permainan Futsal persahabatan ini disusun untuk mempertemukan pasukan Penang menentang tuan rumah dari DHL. Permainan telah dihangatkan dengan pelbagai aksi serta penguasaan permainan yang silih ganti antara pasukan DHL & Penang. Alhamdulillah, PEMBINA P. Pinang telah berpuas hati dengan aktiviti-aktiviti riadah yang telah dipersembahkan oleh PEMBINA DHL.

Pada sebelah malam pula, PEMBINA P. Pinang telah berpeluang untuk mendengar pengisian yang disampaikan sendiri oleh Presiden PEMBINA, Dr. Kamil Azmi Tohiran yang telah sudi untuk meluangkan masa untuk menyambut tetamu dari utara. Beliau, dalam ucapannya, telah menekankan kepentingan melakukan tugas-tugas memperbaiki & membimbing masyarakat, sebagaimana telah diterangkan dalam satu hadis Rasulullah S.A.W., yang mengibaratkan institusi masyarakat seperti sebuah bahtera yang berlayar. Dr. Kamil, yang merujuk penulisan Muhammad Qutb, turut memberi gambaran-gambaran realiti semasa akibat mengabaikan tanggungjawab sosial dalam memimpin masyarakat berlandaskan agama Islam. Akhir sekali, beliau telah menyeru para hadirin untuk berganding bahu agar bersama memikul bebanan dakwah ini yang tak mungkin mampu dilaksanakan secara berseorangan.

Majlis pada malam tersebut juga telah dipengerusikan oleh Ketua Cawangan PEMBINA DHL, Aizuddin Khalid, yang juga turut meluahkan ikatan perasaanya dengan negeri Pulau Pinang kerana sejarahnya bersekolah di sana serta peranan ayahanda mertuanya yang masih bertugas sebagai pegawai kerajaan di Penang.

Diharap pertemuan yang singkat ini telah cukup untuk menyemai kemanisan iman, pertukaran pengalaman, serta melebarkan rangkaian ukhuwwah dikalangan ahli PEMBINA.





Media PEMBINA DHL

1 comments:

sepultos said...

BARCA BARCA BARCA.

Post a Comment