Program Kembara Dakwah JAKIM - Catatan I

3-10 Julai 2009 - Tiga orang ahli PEMBINA DHL telah berkesempatan menghadiri program kembara dakwah yang telah dianjurkan oleh pihak JAKIM. Program yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak JAKIM tersebut melibatkan pimpinan mahasiswa dan belia di sekitar lembah kelang. Antara persatuan dan institusi yang menyertai program ini adalah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor, Kolej Darul Hikmah, Darul Quran, KLIUC, UPM, Persatuan Belia Islam Nasional(PEMBINA), Persatuan Belia Masjid Selangor(PBMS) dan juga sebilangan peserta dari JAKIM sendiri.

Figure 1 Dari kiri : Zuhdi (Pembina DHL), Hamdan (Pembina Melaka), Usamah (Pembina KL), suria (Pembina KL), Syakir (Pembina DHL), Aizam (Pembina Melaka), Zulfakar (Pembina DHL)

Hari Pertama
Pendaftaran para peserta dijalankan di foyer Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), diikuti dengan taklimat pertama program pada jam 5.00 petang. Para peserta kemudiannya ditempatkan di Asrama ILIM untuk keseluruhan seminggu tempoh program berlangsung. Jam 9.00 malam, sesi “ice-breaking” diadakan dengan para peserta memperkenalkan diri masing-masing dan persatuan yang diwakili. Alhamdulillah, pada malam tersebut juga kami dapat bertemu ahli-ahli pembina yang lain (Hamdan, Aizam) PEMBINA MELAKA dan(Usamah , Suria) KUALA LUMPUR. Setelah selesai sesi ice breaking, para peserta telah dibahagikan kepada 4 kumpulan yang terdiri daripada ahli-ahli IPT dan persatuan yang berbeza. Sesi berakhir jam 11.00 malam.

Hari Kedua
Para peserta mengadakan aktiviti “senam seni” bersama Ketua Pengarah Operasi JAKIM pada jam 8.00 pagi. Walaupun agak kekok melakukan senaman ala aerobic,kami berpuas hati kerana dapat berpeluh setelah sekian lama ‘bercuti’ di rumah masing-masing. Kemudian, Ketua Pengarah Operasi JAKIM melepaskan peserta dalam satu acara simbolik perlepasan para peserta program Kembara Dakwah.


Jam 11.00 pagi, para peserta dibawa ke dua masjid utama di Kuala Lumpur iaitu Masjid Negara dan Masjid Wilayah Persekutuan dengan diiringi pasukan Polis Trafik. Tiba di Masjid Negara, peserta dibawa ke Dewan Persidangan untuk taklimat oleh pihak pengurusan Masjid Negara. Para peserta menikmati makan tengahari sebelum dibawa oleh pemandu pelancong melawat kawasan masjid seperti Dewan Solat Utama dan Makam Pahlawan.

Selepas Solat Zohor di Masjid Negara, para peserta dibawa pula ke Masjid Wilayah Persekutuan. Taklimat diberikan oleh pihak pengurusan masjid, dan sesi tersebut diakhiri dengan pemberian cenderamata istimewa, iaitu senaskhah Al-Quran Mashaf Malaysia untuk setiap seorang peserta Kembara Dakwah. Hidangan minum petang yang enak telah disediakan untuk para peserta.

Kemudian, para peserta dibawa ke tempat-tempat menarik di sekitar masjid seperti Dewan Pernikahan, dataran masjid, dan Dewan Solat Utama. Kami menunaikan Solat Asar di Masjid Wilayah Persekutuan sebelum kembali ke ILIM untuk aktiviti sebelah malam.
Sebelah malam selepas solat Isyak, aktiviti dalam kumpulan dijalankan, dengan tujuan untuk memantapkan semangat berpasukan antara setiap ahli yang telah dibahagikan kepada 4 kumpulan: I U Islam, Raudhatus Sakinah, Belia 3B dan Salahuddin. Aktiviti berakhir jam 11.00 malam.

Hari Ketiga
Rombongan melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Melut, Dengkil. Pelbagai aktiviti diadakan seperti sukaneka dan jamuan makan bersama masyarakat Orang Asli. Petangnya, peserta program menjalankan tugas menghantar bungkusan barang makanan kepada setiap rumah untuk merapatkan hubungan dan mendekatkan masyarakat Orang Asli kepada agama Islam.


Sebelah malam, sesi Iktibar Kehidupan diadakan dengan para peserta dibawa mendalami asal usul kejadian sebagai manusia. Sesi yang penuh emosi ini, berjaya meruntun hati setiap peserta untuk menghargai kejadian sebagai manusia, dan menghargai kesusahan orang lain, iaitu ibu dan bapa dalam membesarkan kita sebagai amanah daripada Allah S.W.T.

0 comments:

Post a Comment