Ramadhan: Bulan Menuju Ketaqwaan


Assalamualaikum wrt.

Alhamdulillah, kita panjatkan segala pujian & kesyukuran kepada Allah S.W.T. yang mengizinkan kita bertamu ke bulan Ramadhan yang melimpah ruah berkatnya. Ramadhan Mubarak! (Blessed Ramadhan!)

Suasana Ramadhan adalah suasana yang menakjubkan. Manusia dimudahkan untuk beramal dan merasa diawasi Tuhan. Bahkan Ramadhan mampu mengembalikan manusia yang alpa sepanjang tahun kepada Allah. Di bulan ini, ramai yang berkunjung ke masjid, membuka lembaran2 Quran, ringan tangan berinfaq, dan mengerjakan pelbagai lagi amalan yang menggalakkan. Maka manfaatkanlah momentum Ramadhan ini untuk meningkatkan prestasi amal kita sendiri. Kelolakan diri kita agar mampu bermujahadah mengerjakan ibadah & amal2 di luar kebiasaan kita. Tinggalkanlah maksiat & dosa serta apa jua perbuatan yang tidak menggambarkan kehidupan seorang Muslim. Jadikanlah Al-Quran & zikir sebagai pendamping kita, taubat sebagai jalan kita. Ibadahkanlah setiap detik kita termasuk saat-saat kita tidur. Dan jadikanlah taqwa sebagai misi kita.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulul daripada kamu, supaya kamu bertakwa" (2:183)

Agenda kita di bulan Ramadhan adalah untuk menggapai ketaqwaan; paling kurang ia meningkat berbanding setahun yang lalu. Erti Taqwa secara mudah adalah menjunjung dan melaksanakan segala suruhan Allah dan menjauhi serta meninggalkan segala larangan Allah. Ia merupakan benteng daripada maksiat, penyubur iman dan perintis amal2 mulia. Bulan Ramadhan merupakan jalan yang Allah S.W.T. telah bentangkan khas untuk melonjakkan manusia menuju ketaqwaan. Maka ukurlah & sedarilah tahap ketaqwaan kita sebelum memasuki Ramadhan dan berusahalah agar ia mekar bercambah dengan nur & rahmat Allah di bulan mulia ini. Taqwalah unsur yang perlu kita gauge di awal, pertengahan & akhir Ramadhan untuk memastikan Ramdhan kita benar-benar sukses & bermakna.

يا بنى آدم قد أنزلنا عليكم لباسًا يوارى سوآتكم وريشًا، ولباس التقوى ذلك خير

Ertinya : Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat (7: 26)

Disamping itu, pelajarilah & telaahlah bagaimana para generasi salaf telah mengisi Ramadhan mereka. Apakah ibadah-ibadah yang telah mereka kerjakan. Apakah sunnah-sunnah Nabi yang istimewa yang ditunaikan khusus di bulan Ramadhan. Inilah pengisian-pengisian yang harus kita kaji dan telusuri. Dengan amalan berteraskan ilmu yang sahih, InsyaAllah, kemanisan Ramadhan akan lebih terasa; kita akan lebih teruja untuk beramal meneladani Rasul & para salafus-soleh, berbanding beramal kerana ikutan awam semata2.

Akhir sekali, bersyukurlah kerana diberi kesempatan ini untuk disampaikan kepada Ramadhan, kerana kita sedia maklum bahawa ramai manusia yang tidak berpeluang berkunjung ke Ramadhan kerana takdir mendahuluinya. Oleh itu, hargailah peluang ini & penuhilah Ramadhan ini semaksima mungkin dengan ibadah-ibadah serta amal-amal soleh. Sekiranya ini Ramadhan terakhir kita, jadikanlah ia Ramadhan terbaik yang kita boleh persembahkan kepada Allah S.W.T.

Ayuh, belia Islam! Pintu Syurga telah terbentang luas. Mari menuju ketaqwaan & meraih redha Allah di bulan Ramadhan ini! Semoga amal-amal kita diterimaNya dan digandakan ganjarannya.

“Barangsiapa puasa bulan Ramadhan karena iman dan mengharap pahala dari (Allah), niscaya diampuni dosa-dosanya yang telah lalu. “ (Bukhari dan Muslim)

Aizuddin Khalid
Ketua PEMBINA
Cawangan Daerah Hulu Langat

0 comments:

Post a Comment