Rehlah Beliawanis PEMBINA Bangi de' UPM


Bukit Ekspo atau lebih dikenali sebagi Taman Pertanian Universiti, Universiti Putra Malaysia telah menjadi tempat kunjungan beliawanis PEMBINA Bangi pada hari Ahad, 21 Mac, baru-baru ini.

Sekitar jam 9 pagi, para beliawanis PEMBINA telah berkumpul bagi menjayakan Rehlah de’ UPM di bawah kelolaan Biro Sukan dan Rekreasi PEMBINA Bangi. Tujuan rehlah ini diadakan adalah untuk mengeratkan lagi silaturrahim sesama beliawanis melalui aktiviti sukan dan riadah di samping merancang aktiviti Pembina Bangi beliawanis.

UPM telah menjadi destinasi pertama pada rehlah kali ini dan Bukit Ekspo menjadi tempat pilihan. Bagi mereka yang tidak pernah mengunjungi Bukit Ekspo UPM pasti akan terpesona dengan keindahan semulajadi yang terdapat di sini. Malah, di kalangan beliawanis yang hadir, ada yang bekerja di UPM namun tidak menyangka tempat sebegini wujud di dalam UPM. Dikelilingi oleh pohon-pohon yang rendang dan dihiasi dengan alat-alat senaman menjadikan Bukit Ekspo tempat yang paling sesuai bagi aktiviti-aktivi riadhah dan rekreasi.

Berbekalkan sedikit juadah sarapan bagi membuka selera dan menambah tenaga, perbincangan dimulakan dan disusuli dengan aktiviti fizikal. Walaupun beliawanis sentiasa bersedia untuk melakukan aktiviti riadhah yang lebih mencabar, namun disebabkan kebanyakannya tidak memakai kasut yang sesuai, maka cukuplah sekadar bola beracun. Adakah ini alasan? Tentu sekali tidak.. Seterusnya, rehlah diteruskan dengan aktiviti ‘brisk walk’ sekitar bukit ekspo dan keliling tasik dan berakhir sekitar 12 tengahari.











Aktiviti rehlah ini akan diteruskan pula bagi bulan-bulan yang seterusnya di IPT-IPT sekitar Bangi seperti UKM, KPTM, UNITEN dan banyak lagi. Nantikan kemunculannya di IPT anda.
Baca Selanjutnya...

Pertandingan Mengarang Sajak Anjuran PEMBINA Bangi 2010



Dalam melahirkan generasi belia yang kreatif dan mampu menghasilkan karya puisi bermutu, Biro Kesenian & Kebudayaan Pembina Bangi, telah mengambil inisiatif untuk mengadakan pertandingan mengarang sajak.


SYARAT DAN PERATURAN PERTANDINGAN MENGARANG SAJAK
(i) Berumur di antara 13-40 tahun.
(ii) Terbuka kepada SEMUA muslimin dan muslimat
(iii) Bilangan penyertaan adalah TIDAK TERHAD.
(iv) Karya yang dihantar mestilah karya yang ASAL, SAHIH, dan ASLI dari jiwa pengarang yang sebenar. Karya sajak TIDAK BOLEH mengandungi unsur-unsur plagiarisme serta TIDAK MENYENTUH isu-isu sensitif.
(v) TEMA meliputi:
- Akhlaq belia
- Ketuhanan
- Tokoh generasi Islam terbilang
- Mujahadah
- Cinta Islami

(vi) Sajak yang dihantar perlu mempunyai tajuk serta penerangan.
(vii) Semua penyertaan MESTI dihantar dengan menggunakan borang penyertaan Online di pautan di bawah.
(viii) Pihak penganjur berhak membatalkan sebarang penyertaan yang tidak mengikut syarat-syarat & peraturan.

Baca Selanjutnya...

Komik: Takkan Sorang Je Bro

Baca Selanjutnya...

Bowling-Day-Out PEMBINA Bangi - UNITEN Muncul Juara


Pada 13 Mac yang lepas, PEMBINA Cawangan Bangi telah menganjurkan satu pertandingan bowling inter-IPT bermula jam 9.30 pagi hingga 1.00 tengahari di pusat bowling South City Plaza, Seri Kembangan. Pertandingan yang dipanggil “Bowling-Day-Out” tersebut telah disertai oleh para penuntut IPT dan IPG dari sekitar Bangi.

Ini merupakan satu lagi pendekatan yang dilakukan oleh PEMBINA dalam usaha mendekati golongan belia. Ternyata sambutan yang begitu menggalakkan daripada para penuntut IPT dan IPG sekitar Bangi seperti UNITEN, UNIKL MIAT, IPGM Kampus Pendidikan Islam dan Kampus Teknik, dan Kolej Mara Banting. Malah turut serta juga para pelajar dari Sekolah Hira’, Shah Alam. Jumlah penyertaan lebih 60 orang iaitu sebanyak 15 kumpulan.

Program “Bowling-Day-Out” tersebut berakhir dengan majlis penyampaian anugerah kepada para pemenang dan sedikit ucapan daripada Ketua PEMBINA Cawangan Bangi, saudara Aizuddin b Khalid.



“Umumnya, belia mempunyai sifat energetic dan flexibility. Inilah kelebihan belia berbanding kanak-kanak dan orang berumur. Rugi sekiranya tenaga-tenaga ini tidak disalurkan kepada urusan-urusan agama dan kebaikan. Bahkan paling rugi sekiranya disalurkan kepada perkara yang tidak diredhai Allah. Justeru, Bowling-Day-Out hari ini merupakan langkah pertama PEMBINA mengajak para belia untuk menyertai program-program yang dapat menyalurkan elemen-elemen tadi,” ujar saudara Aizuddin.

Tahniah kepada peserta dari UNITEN, UNIKL MIAT, dan IPGM Kampus Pendidikan Islam yang telah menggondol anugerah kumpulan dan individu terbaik, serta kepada semua peserta yang telah menjayakan aktiviti Bowling-Day-Out tersebut. InsyaAllah, ukhwah yang terjalin serta semangat kesukanan yang tersemat dalam jiwa masing-masing akan mempertemukan mereka kembali dalam aktiviti-aktiviti sukan PEMBINA yang lain.

Penganjur Bowling-Day-Out,
PEMBINA IPGM KPI & KPTEK








Baca Selanjutnya...

RETREAT 2010 “MEMACU AKTIVISME BELIA”

Anjakan proaktif PEMBINA Bangi dalam menyumbang kepada usaha pembinaan generasi belia yang mampu menjadi aset bernilai tinggi kepada Islam, negara dan bangsa diperkemaskan lagi dengan mengadakan Retreat 2010 dengan tema “ Memacu Aktivisme Belia” pada 28 Februari 2010 di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Bangi.




Para beliawanis bersama menyumbang ideaPeserta belia mendengar penerangan


Dengan objektif memupuk kefahaman mengenai kepentingan aktivisme belia dan menyusun program-program sepanjang tahun 2010, memperkenalkan jawatankusa PEMBINA BANGI 2010 dan halatuju PEMBINA, seramai 30 orang ahli PEMBINA Bangi dari seluruh Bangi termasuk siswa-siswi dari institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) sekitar Bangi hadir memberi komitmen untuk bersama-sama melontar idea dan bekerjasama untuk menjayakan program-program PEMBINA merangkumi program PEMBINA peringkat cawangan dan IPT. Diskusi memfokuskan kepada program-program cawangan dan perancangan setiap biro bagi takwim PEMBINA Bangi 2010.

Pemilihan tema Retreat pada tahun 2010 iaitu ‘Memacu Aktivisme Belia” adalah sinonim dengan matlamat dan halatuju PEMBINA. Peri pentingnya melahirkan generasi belia yang mempunyai nilai jati diri yang mantap, berkeperibadian mulia, berilmu pengetahuan dan kemahiran tersendiri adalah bagi menyediakan golongan pewaris yang bakal menentukan warna-warni dan corak hala tuju kemajuan negara, bangsa dan agama kelak.

Kejayaan sesebuah organisasi bukan terletak pada kebolehan ahli-ahli melaksanakan segala arahan, namun ia terletak pada penjiwaan ahli-ahli terhadap agenda organisasi tersebut. Seruan ini adalah antara intipati penting ucapan Ketua Cawangan, Saudara Aizuddin Khalid dalam Retreat 2010. Alhamdulillah, segala perancangan telah direncanakan dengan sebaik mungkin dalam Retreat kali ini dan penterjemahan perancangan itu pastinya bergantung kepada action dan usaha ahli PEMBINA sebagai aktivis dan menyediakan diri sebagai volunteer kepada aktivisme. Peranan ahli PEMBINA dalam memacu aktivisme belia adalah berusaha sedaya upaya untuk melaksanakan perancangan tersebut, namun hasilnya milik Allah kerana dakwah itu milikNYA.

Ayuh! Belia dan Beliawanis PEMBINA, persiapkan diri. Mulakan langkah jika belum bermula, teruskan langkah dan usah berundur jika telah bermula dalam menjadikan diri sebagai permata belia negara, bangsa dan agama.




Setiausaha, Noorazilawati menyampaikan idea-idea kumpulannya
Saudara Rusman tekun menghadap laptop


Hakim & Nazmie dari Sohwah mendendangkan nasyid buat para hadirin
Baca Selanjutnya...

Pengumuman: Pertandingan Bowling Anjuran PEMBINA Bangi di South City Bowl, Seri Kembangan (Lelaki sahaja)



Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) cawangan Bangi akan mengadakan suatu pertandingan boling 4-a-side pada hari Sabtu, 13 Mac, 2010. Acara yang julung-julung kalinya dianjur oleh PEMBINA ini ialah untuk merapatkan persaudaraan di antara pelajar-pelajar di pelbagai institusi pengajian tinggi di sekitar Bangi serta untuk memperkenalkan PEMBINA kepada para peserta. Berikut adalah maklumat tentang pertandingan tersebut:

Tarikh: 13 Mac, 2010 (Hari Sabtu)
Masa: 9.00 pagi hingga 12.30 tgh
Tempat: South City Plaza
Penyertaan: 4 orang (lelaki sahaja) satu pasukan.
Yuran penyertaan: RM 15.00 seorang (3 game + sepasang kasut + makan pagi)
Contact person:
Hussain - 0196263686

Dijemput semua untuk datang beramai-ramai untuk memeriahkan lagi pertandingan ini. Jika anda tiada pasukan, anda boleh datang untuk menubuhkan pasukan ad hoc pada hari tersebut. Penyertaan anda amat dialu-alukan. Sekian, terima kasih. Baca Selanjutnya...

MaulidurRasul - Seungkap Nama Seribu Rasa

Baru-baru ini, sempena sambutan Maulidur-Rasul, beberapa belia dan beliawanis ditemuramah akan pengertian hari kelahiran Nabi dan cara masing-masing menterjemahkan kecintaan mereka kepada Baginda s.a.w, mari sama-sama kita selusuri..

Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Maulidur Rasul mengingatkan tentang kelahiran Nabi untuk membawa risalah dari Allah dan kita perlu bersyukur, kerana dengan lahirnya Muhammad SAW, hari ini kita hidup di dalam iman yang mana tak semua orang dapat menikmatinya.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Cara untuk menghargai baginda SAW adalah dengan mengikut risalah baginda SAW secara total dan turut menyebarkannya.

Azhari, 24, HUKM


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Maulidur Rasul wajib diingati sebagai hari yang memberi nafas baru,dengan lahirnya seorang insan mulia yang memberi nafas segar kepada manusia yang ketika dalam jahiliah dan sesak nafas.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Bagi saya, untuk menzahirkan cinta pada Rasulullah bersempena maulid nabi ini, kita perlu lahir semula ke dunia, lahir dengan nafas baru, azam baru, dan semangat baru seolah-olah kita adalah orang yang baru dan penuh dengan cita-cita melihat dunia baru Islam kembali memimpin dunia. Jazakallah..

Aizam, 26, MMU


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Erti maulid rasul bagi saya: Sambutan maulid bagi saya bukan hanya sekadar berarak atau selawat mahupun berzanji semata-mata. Tapi yang lebih penting lagi adalah mengkaji kenapa Allah turunkan Nabi Muhammad SAW (i.e. menjadi role-model dan bagi memberi dakwah/peringatan). Sepertimana ayat awal surah Al-Mudatsir (Qum Fa 'Anzir). Jadi, cubalah ikut jalan dakwah yang Nabi Muhammad SAW gariskan dengan pemahaman Islam yang betul.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Cara menzahirkan cinta: Antaranya, mengumpul duit - ziarah Masjid Nabawi.wallahua'lam

Saifullah Maslul, 21, MMU


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Maulidur rasul bererti hari kelahiran Rasulullah. Lahirnya pemula kepada cahaya keimanan daripada zaman kegelapan kepada zaman cerah. Oleh itu, maulidur rasul boleh dikatakan sebagai hari kelahiran cahaya.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Dengan berselawat, mengikuti sunnahnya, mengamalkan dan mematuhi ajaran Rasulullah.

Naza, 26, Beliawanis UKM


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Satu hari untuk mengajak umat Muhammad untuk kembali mengingati nabi sepanjang masa kerana mengingati Nabi bukan pada hari maulid nabi sahaja bahkan sepanjang masa kerana nabi masih lagi ingat akan umatnya pada saat kematiannya.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Berusaha mendekatkan diri kepadaNya dengan cara amar ma’ruf nahi mungkar. Misalnya memperbaikkan amalan-amalan wajib dan perbanyakkan amalan-amalan sunat siang ataupun malam. Sesungguhnya semakin kita cuba merapatkan diri kepada Allah, semakin rapat Allah kepada kita.

Aishah, 21, Beliawanis KPTEK


Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Sudah tentu ia amat bererti kepada saya kerana ia adalah sambutan buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana kita merayakan sambutan perayaan-perayaan lain di Malaysia. Sambutan sempena maulidur Rasul juga patut diadakan secara besar-besaran. Kita juga patut meraikan hari kebesaran nabi kita menandakan betapa cinta dan sayangnya kita sebagai umat kepada junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Selain mengamalkan sunnah baginda, selalu berselawat kepada baginda tanda kita selalu ingat padanya. Sebagaimana yang disarankan oleh Rasulullah, “ sesiapa yang tidak berselawat kepadaku apabila mendengar namaku, sesungguhnya ia tergolong dalam orang yang kedekut.” Selalulah berselawat dan mendoakan baginda serta ahli keluarga dan para sahabat.

Azizah, 22, Beliawanis IPGM



Apakah erti maulidur rasul kepada anda?
Rindu dan rindu dan rindu pada Rasulullah s.a.w. Muhasabah diri, sejauhmana saya mengamalkan sunnah dan mengaku diri mencintai Rasulullah s.a.w.

Bagaimana anda menzahirkan cinta kepada Rasulullah?
Amalkan sunnah Rasulullah s.a.w. Banyakkan selawat, membaca buku sirah supaya lebih tahu, faham dan dekat dengan cara hidup baginda. Dan sudah pasti, terus berjuang di jalan dakwah ini.

Anum, 22, Beliawanis UPM

Baca Selanjutnya...

PEMBINA MMU Menghayati Maulud Nabi di Gelanggang Futsal

Pada 26 Februari 2010, bersempena cuti Maulidur Rasul, PEMBINA Bangi mengambil kesempatan untuk menganjurkan acara Futsal di Kompleks Komuniti Cyberjaya. Program dianjur khas oleh ahli-ahli PEMBINA di Universiti Multimedia (MMU) bagi mengumpul para siswa MMU untuk bersama dalam aktiviti sihat disamping mengenang dan memahami tujuan perutusan Rasulullah.

Program ini dihadiri lebih 20 belia bersemangat, kebanyakkannya mahasiswa & warga MMU. Program juga turut dimeriahkan dengan kehadiran 2 bekas penuntut MMU dari PEMBINA Shah Alam. Acara penuh tenaga ini berlangsung selama 2 jam tanpa henti, bergilir-gilir bermain antara pasukan-pasukan yang dibentuk.

Seusai permainan, para peserta berkumpul untuk mendengar tazkirah yang disampaikan oleh Saudara Hamdan yang dijemput dari PEMBINA Shah Alam, yang merupakan mantan Ketua Majlis Perwakilan Pelajar MMU. Sempena Maulidur Rasul, beliau mengajak para peserta memahami tujuan perutusan Nabi Muhammad S.A.W., iaitu menyampaikan risalah Islam, dan mengajak para hadirin untuk meletakkan matlamat yang sama ke atas keberadaan kita di bumi. Seterusnya, Saudara Hamdan menyeru agar para belia berpegang teguh kepada Al-Quran & Sunnah Rasul, konsisten dengan amal-amal wajib & sunnat, dan mencontohi Rasulullah S.A.W. sebagai model aplikasi Islam dalam kehidupan.

Saudara Aizuddin Khalid, Ketua Cawangan PEMBINA Bangi, turut diberi kesempatan memperkenalkan PEMBINA serta menyampaikan perkembangan-perkembangan terkini PEMBINA. Menurut beliau, golongan belia akan berminat untuk menghampiri Islam apabila ia ditampilkan dalam realiti semasa yang praktikal kepada masyarakat. Beliau berkata, sejak penubuhannya, PEMBINA telah berjaya menonjolkan keluasan ufuk Islam dalam kehidupan dan menarik ramai golongan belia kepada aktivisme belia Islam.

Saudara Aizam yang juga pengarah program menutup program dengan mengungkap bahawa nilai-nilai Islam dan batas-batas syariat merupakan pembeza utama antara seorang Muslim dengan bukan Muslim. Oleh itu, prinsip-prinsip ini perlu dipatuhi oleh setiap Muslim bagi menjamin kebenaran identitinya. Beliau turut mengajak para siswa MMU untuk bersama dengan PEMBINA membangunkan para belia untuk menjadi generasi harapan negara.

Program keseluruhannya telah berjalan dengan baik, mengikat ukhuwwah antara PEMBINA dan siswa-siswa MMU, serta memupuk kesedaran dan semangat untuk bersama PEMBINA memartabatkan Islam demi menyambung perjuangan Rasulullah tercinta.


Baca Selanjutnya...